Perairan Tanjung Tuan menjadi lokasi studio dan kumpulan pemancing yang aktif mengunjun di perairan Tanjung Tuan, tim Ojang Lite Jigger dipilih sebagai pelakon utama bagi menjinakkan spesies-spesies pelagik yang mendiami karang dan kawasan kapal karam di laluan kapal.

 

Tanggal 6 dan 7 bulan hijrah pada asasnya bukanlah tarikh terbaik untuk aktiviti jigging atau mengunjun, sebaliknya lebih sesuai untuk pancingan dasar atau bottom ekoran

pergerakan arus yang lemah atau air mati, namun berbekalkan keazaman tinggi penggambaran tetap diteruskan dengan harapan masih ada pelagik-pelagik yang sudi menyambarkan kepingan besi yang diunjunkan.

 

 

Di sebalik arus yang lemah ada pula kelebihan lain kepada kami. Sekurang-kurangnya tidaklah teruk dipukul alun sehingga menyebabkan mabuk laut meskipun ada krew produksi yang pening-pening lalat.

 

Selesai rakaman di daratan pada sesi hari pertama, dua buah sampan fiber bersama 9 anggota menuju persekitaran Tanjung Tuan bagi memulakan cabaran. Pasang surut laut banyak memainkan peranan di perairan Tanjung Tuan.

 

Ketika air surut dan tenang, kawasan tanjung berbatu Tanjung Tuan agak berkucah dan berarus. Keadaan yang diperlukan untuk aktiviti jigging.

Namun hampir dua jam mengunjun kepingan besi pelbagai warna dengan berat 40-80 gram, tiada seekor ikan sasaran pun berjaya diperdaya.

 

 

Apabila air laut mula bergerak pasang dan berarus, kumpulan yang diketuai oleh Apek, tekong muda yang berpengalaman luas ini menukar lubuk pencarian ke laluan kapal yang mana terdapatnya kawasan kapal karam.

 

Berpandukan pengesan koordinat dan pengimbas bunyi, lokasi lubuk dan kumpulan ikan ditemui.

Setelah beberapa kali berhanyut dan kembali ke radius kapal karam, tatkala otot-otot lengan mula terasa sengal dek kerja-kerja mengunjun, kulit-kulit tubuh terasa perit

dibakar matahari secara langsung di atas kepala, akhirnya ada pelagik yang sudi menjamah kepingan jig yang diunjun berulangkali.

 

 

Seekor talang sebuah senyuman. Berbunga hati penulis kerana berjaya memecah kebuntuan. Sekaligus menjadi kepada perangsang krew produksi untuk memenuhkan pita rakaman.

 

Menjelang petang tanpa sambaran berikutnya, kelibat burung-burung camar menyambar kumpulan ikan-ikan bilis, segera dimanfaatkan sepenuhnya.

Jika ada burung-burung camar berpesta menyambar bilis, pastinya ada juga ikan-ikan pemangsa yang turut sama memburu.

Hasilnya, seekor lagi talang berjaya didaratkan di samping beberapa sambaran lain terlucut atau lebih berpihak kepada pemangsa.

 

 

Setelah seharian dibakar matahari sehingga rentung, sesi hari kedua berkemungkinan ditimpa hujan sehingga lencun. Seawal pagi lagi langit mendung menyambut ketibaan kami.

Ditambah pula dengan faktor air mati, harapan untuk merekodkan lebih banyak tangkapan mula luntur.

 

Namun apa yang adalah sebaliknya. Kerapu, talang dan alu-alu lebih galak menyambar kepingan jig besi yang disuakan.

Sehinggalah ke petang dan kembali ke pantai, tiada setitik hujan pun yang turun melainkan panas terik di sebalik kumpulan awan hitam. Sekaligus merentungkan lagi kulit yang sedia rentung.

 

 

Meskipun tidak banyak tangkapan berjaya dipunggah dan tiada ikan-ikan bersaiz monster untuk dimegahkan, ternyata usaha Aksi Ikan Malaysia (AIM 2) memaparkan perairan Tanjung Tuan sebagai destinasi pancing wajar dipuji.

Penulis sendiri berpuas hati mencuba aksi jigging walaupun terpaksa pulang dengan kulit merentung dan tangan melecet.