Trip Pari Hari-Hari Mau (VIDEO)!!

Share

 

Trip memancing ikan pari bukanlah trip eksklusif sebagaimana trip memancing ikan tengiri, jenahak mahupun ikan-ikan bernilai tinggi lain.

Malah trip khusus pancingan pari turut jarang kedengaran kecuali sesi pancingan pantai yang menjadikan pari sebagai subjek sasaran utama.

 

Namun sesuatu trip memancing yang ada mendaratkan pari tidak pernah tidak menarik perhatian saya.

Apatah lagi apabila melihat para tekong memuat turun deretan tangkapan pari di laman sosial.

Hati segera berkata kenapalah bukan aku yang berada di atas bot berkenaan dan merakam pengalaman tersebut.

 

Apabila tekong memancing tersohor perairan Pelabuhan Klang di pangkalan Persatuan Pengail Selangor (Pengail) yang lebih dikenali dengan nama timangan Pokmud mencari

teman untuk memancing secara santai, saya segera menawarkan diri dan mencadangkan pari sebagai spesies sasaran sesi pancingan santai tersebut.

 

minta jenahak, dapat jenahak

 

Berikutan pada tarikh tersebut pasang surut air laut dalam keadaan menyorong laju dan kurang sesuai untuk memancing pari maka kami mulakan sesi awal pagi dengan pancingan utama memburu ikan jenahak.

Sambil menotok atau pancingan dasar sambil berhanyut, saya turut berjigging.

 

Namun arus laju ditambah dengan angin kencang menyebabkan sesi tersebut kurang praktikal.

Lalu kami mengambil keputusan mengikat bot pada boya dan memancing ikan-ikan pelagik seperti cencaru dan pelata dengan menggunakan apollo hingga penuh satu tong.

 

Menjelang tengah hari kami berlabuh pula di suatu lubuk berpotensi. Dalam pada menanti pemangsa mengambil umpan sotong kurita dan pelata hidup, kami turut mengunjun umpan besi atau jigging.

Penat memancing kami berehat dan melelapkan mata seketika. Sedang asyik dibuai alun dan angin, salah satu joran Pokmud mengena dan seekor jenahak anggaran berat hampir dua kilogram berjaya didaratkan.

Apabila tiupan angin mula berkurang kami kembali menyambung sesi menotok. Setelah hampir tiga jam kami menghabiskan masa tanpa sebarang hasil, akhirnya kami sepakat hati menamatkan pemburuan.

 

Berbaki masa sedikit masa sebelum pulang ke pangkalan, berlabuh pula di kawasan cetek pinggir selat bagi menghabiskan saki baki umpan sotong kurita memancing sembilang dan saudara maranya yang bersengat.

 

Dalam pada ikan duri dan gelama yang didaratkan bersilih ganti, tiba-tiba salah satu joran milik Pokmud dihenjut kuat.Pari! Ujar Pokmud sejurus memegang joran yang dihenjut kasar tersebut.

Secara spontan saya bersorak riang kerana hasrat saya tercapai juga walaupun Pokmud belum habis bertarung dan kelibat mangsa sama ada pari atau spesies lain belum dapat dipastikan.

 

rimau jantan saja yang mau

 

Setelah hampir sepuluh minit bertarung akhirnya mangsa memperlihatkan kelibatnya di permukaan.

Ternyata ia sememangnya pari malah lebih manis ia adalah seekor pari harimau seberat 14 kilogram.

 

(Video mendaratkan pari)

 

Published by
Amang