Trip Pancing Tenggiri!!

Share

 

Apabila dipelawa oleh Kamal, seorang rakan untuk menyertai trip mencari tenggiri, penulis mengambil sedikit masa untuk memberikan persetujuan.

 

Pertama sekali, bajet pun nak kena ambil kira jugak. Begitu juga dengan set peralatan.

Penulis minta pandangan member-member yang pernah memancing tenggiri di perairan Sedili terlebih dahulu.

 

Rata-rata memberikan pendapat yang hampir sama, kos memancing di perairan Sedili agak tinggi ekoran kemasukan ramai pemancing dari Singapura dan tenggiri di Sedili agak culas memakan umpan dan kelengkapan yang tepat saja mampu menewaskannya.

 

Setelah bersetuju untuk menyertai trip tersebut, penulis temui lagi Kamal untuk mengetahui teknik dan kelengkapan yang diperlukan.

Selain joran dan kekili yang sepadan, kelengkapan penting yang perlu digunakan adalah tangsi cristal clear 20lb sebagai tali utama, floroucarbon halimunan 25lb sepanjang 3 depa sebagai perambut dan juga kabel 20lb untuk mengikat mata kail bersaiz 2/0.

 

Ekoran bot mengalami sedikit masalah teknikal, trip asal selama 3 hari 2 malam dipendekkan menjadi 2 hari 1 malam saja.

Satu kelegaan juga kerana kos trip dapat dijimatkan sedikit. Sekitar jam 9.30 malam, kami berempat bertolak dari Kajang menuju terus ke Kota Tinggi.

 

Penulis yang sememangnya sukar untuk melelapkan mata dalam kenderaan, terasa iri juga melihat rakan yang lain mudah saja untuk tidur.

 

Tepat jam 3.00 pagi, kami tiba di jeti Sedili Besar. Sementara menanti ketibaan tekong Pak Deris dan awak-awaknya, sempatlah juga kami membungkus nasi dagang dan nasi lemak untuk sarapan nanti. Tepat jam 4.00 pagi, bot pun bergerak keluar dari jeti.

 

Sejurus keluar dari muka kuala, barulah kehadiran angin dapat dirasakan. Sekaligus membuatkan permukaan laut agak berkucah.

Sementara tiba di unjam untuk mencari umpan hidup, penulis mengambil kesempatan untuk melelapkan mata. Bot yang membuai membuatkan penulis benar-benar dialun mimpi.

 

Bila celik mata, hari sudah pun cerah dan rakan-rakan yang lain sudah pun memulakan pemburuan tenggiri dengan kaedah drift atau menghanyutkan umpan ikan tamban hidup. Langsung tidak sedar saat dan ketika bot berlabuh untuk mendapatkan umpan hidup.

 

Penulis bangkit dengan perasaan yang kurang enak. Sama ada kurang atau bot yang sedikit membuai menyebabkan kepala terasa pening. Pening tak pening, misi mesti dilaksanakan.

 

Penulis mengambil tempat dan segera menghulurkan umpan tamban hidup di belakang bot dan membiarkannya hanyut ke arah pelampung penanda unjam.

 

Tak sampai 5 minit kemudian, kekili Penn 320GT2 milik Kamal direntap kuat dan alarmnya berdesing nyaring. Sekitar dua tiga minit melayan tangkapan sulungnya, seekor aya kurik atau tongkol berskala 3kg berjaya digancu oleh tekong Pak Deris.

 

Setengah jam kemudian, giliran Bob pula membuktikan kehandalannya menjerat tenggiri. Dengan tenang beliau melayan kerenah pemangsa membedal umpan hidupnya.

Dengan set kekili Tica Taurus 6000 dan joran Shimano Beast Master Bob tiada masalah untuk mendaratkan tenggiri berskala 10 kg.

 

Sehingga tengah hari, dan berapa kali bertukar lubuk, tiada lagi tenggiri yang dinaikkan. Hanya Kamal sekali lagi berjaya menaikkan ikan tongkol. Sementara Fikri pula yang rajin melayan apollo, tidak menang tangan menanggalkan cencaru dari mata kailnya.

 

Menjelang petang, keadaan laut tidak kelihatan akan kembali tenang sebaliknya kian bergelora. Laut kian berombak dan berkucah keluar masuk ke dalam bot.

Malah untuk berdiri sekali pun harus berpaut satu tangan pada badan bot. Tahap ketahanan penulis sampai ke penghujungnya.

 

Kepala yang pening semakin menyucuk memaksa penulis berehat panjang di kabin. Fikri yang rancak melayan appolo turut sama tumbang.

Hanya Kamal dan Bob yang sudah biasa dengan alunan perairan Sedili saja meneruskan misi memburu tenggiri dengan teknik bottom.

 

Dari petang hinggalah ke malam, penulis hanya mampu mendengar dan melihat aksi-aksi di atas bot namun tak terdaya untuk bangkit.

Untuk merakam aksi pertarungan pun tak terdaya, apatah lagi dengan keadaan bot yang teroleng-oleng sedemikian rupa.

 

Tersedar dari tidur buat sekian kalinya, barulah penulis terasa segar dan segala pening hilang. Laut juga juga terasa tenang dan nyaman. Namun, apabila diperhatikan sekeliling… rupanya bot sampai di jeti!

Ekoran angin tenggara yang menyebabkan laut berkucah dan bergelora, Kamal dan Bob bersepakat dengan tekong Pak Deris untuk memendekkan trip 2 hari 1 malam kepada 1 hari 1 malam saja.

 

Dalam pada berasa lega, penulis terasa ralat juga kerana gagal menyumbang sesuatu dalam trip ini.

Namun penulis dapat pengajaran berguna dalam trip ini, selain menumpukan perhatian pada persediaan kelengkapan yang tepat, penulis abaikan soal perkara yang maha penting iaitu rehat atau tidur yang cukup sebelum memulakan trip.

 

Tanpa tidur yang cukup dan tanpa ubat mabuk laut, peluang untuk menyentap ikan akhirnya bertukar menjadi trip menyentap tali perut!

 

Published by
Amang