“Boleh je… nanti kita try main kat Vikram.”
Sebagaimana yang diduga, Apex Kecik cukup mudah berkompromi dengan kehendak pelanggannya. Malah itulah keistimewaan Apex Kecik sebenarnya.
Berbanding tekong-tekong (tekong jigging) lainnya, Apex Kecik tidak terlalu taksub kepada sesatu konsep memancing.
Apa yang penting baginya adalah kepuasan pelanggan. Yang penting pelanggan dapat ikan!
Dalam perjalanan ke Vikram (lubuk kapal karam), Apek Kecik singgah dahulu untuk mencuba nasib di salah satu lubuknya yang berpotensi untuk memancing tenggiri.
Berikutan arus lemah dan waktu pula adalah tempoh air banir, saya menggunakan set spinning dan jig perlahan 80 gm sahaja.
Setelah agak lama mengunjun jig di dasar dan mengarau naik jig dengan agak laju, hanya tinggal beberapa meter untuk tiba ke permukaan, jig leper seperti badan sotong katak saya itu disambar sesuatu dan dibawa pergi dengan agak deras.
Berdasarkan corak tekanan dan pecutan, saya beranggapan ia adalah penangan tenggiri bersaiz kecil. Apabila mangsa memperlihatkan identitinya di permukaan air, ternyata betul ia adalah tenggiri.
Namun bukanlah tenggiri batang sebaliknya spesies buruan utama trip ini iaitu tenggiri bunga.
Memandangkan misi utama sudah terlaksana pada tangkapan pertama lagi dan persekitaran lubuk berkenaan kelihatan berpotensi untuk diteruskan aktiviti maka spesies sasaran beralih kepada tenggiri batang pula.
Dalam misi memburu tenggiri ini Shahrul Nizam muncul sebagai pembuka tirai apabila jig Papang Diamond Skyfall 200 gm Silver yang digunakan oleh Shahrul Nizam di permukaan dasar menjaya mendaratkan seekor tenggiri batang saiz sederhana.
Setelah berpindah lubuk dan beberapa kali kejadian kevlar dan perambut putus dikerjakan predator bergigi tajam ini, giliran Hafizuliz pula berjaya mendaratkan seekor lagi tenggiri batang dengan selamat.
Menjelang tengah hari, Apex Kecik membuktikan gelarannya sebagai tekong buntat terbukti benar apabila mendaratkan tenggiri batang anggaran berat empat kilogram.
Dan sebelum kami menamatkan sesi memburu tenggiri dan mencari spesies bersisik pula, Parman tidak mahu ketinggalan mencetak nama apabila berjaya juga mendaratkan seekor tenggiri batang.
Sekali gus menjadi pelengkap sesi setengah hari memburu tenggiri.