Trip Mensasar Merah Ruby Di Bumi Makassar

Share

 

(Oleh: Zam Desa) Bagai tak disangka, trip santai bersama isteri yang dirancang ke New Zealand pada awalnya bertukar ke Makassar, Sulawesi, Indonesia kerana kosnya yang lebih ekonomi.

Antara yang turut serta untuk trip kali ini ialah Hj Toskhan, Hj Abu Bakar, Hj Kamaruddin Othman (KO), Hj Nasir, Mustaffa Awang, Mohd Zam, Amir Ali dan Nadzri Mohamad bersama para isteri.

 

Perjalanan kami menaiki pesawat Air Asia dari KLIA 2 menuju ke Lapangan Terbang Ujung Padang mengambil masa kira-kira 3 jam 15 minit.

Setelah tiba di bumi Sulawesi, kami meneruskan perjalanan menaiki bas yang disewa khas untuk rombongan kali ini menuju ke Hotel M Regency yang menjadi pilihan kami untuk menginap.

Kesempatan tiba awal ini kami manfaatkan dengan rehat secukupnya sebelum turun berjuang di perairan Makassar keesokan harinya.

 

 

Keesokan pagi, seawal jam 6.15 pagi kami berkumpul ke lobi hotel untuk bersarapan dan mendengar sedikit taklimat daripada ketua trip kali ini iaitu saudara Mustafa Awang bersama wakil pemandu pelancong untuk trip kami di sini.

 

Usai taklimat, para suami terus mempersiapkan senjata kelengkapan memancing masing-masing sebelum menuju ke Pelabuhan Paotera. Manakala, para isteri pula akan dibawa berjalan-jalan dan membeli-belah di tempat-tempat menarik yang ada di Makassar.

 

Setibanya di Jeti Paotera, kami disambut oleh pemilik bot pancing Makassar iaitu Tuan Hj Mokhtar yang baru berusia 32 tahun.

Tanpa membuang masa, kami terus memunggah kelengkapan memancing ke dalam bot dan meneruskan perjalanan ke lubuk pertama yang mengambil masa perjalanan 3 jam setengah.

 

PERTARUNGAN BERMULA

 

Kami tiba di lubuk pertama dengan kedalaman 195 meter. Namun, tekong kami iaitu Pak Udin mempunyai masalah untuk menurunkan sauh di kedalaman ini dan memaksanya untuk menukar ke lokasi yang lain.

Di sepanjang perjalanan, kami dihidangkan dengan juadah tengah hari berlaukkan ikan singgang, sup sayur dan sambal tempe. Memang nyaman bila menjamu selera sambil ditemani bayu laut.

 

Setibanya di lubuk kedua, masing-masing terus sahaja melabuhkan umpan. Sedang yang lain banyak mengaplikasikan teknik bottom, saya memilih untuk mencuba teknik jigging.

Dengan menggunakan set jigging PE 2-4 yang dipadankan dengan kekili Shimano Twin Power 8000 HG dengan kekuatan tali 40 lb dan bermodalkan jig Yozuri biru putih seberat 120 gram.

 

Setelah setengah jam mencuba dan tiada hasil, saya memberikan set ini kepada Amir untuk mencuba.

Mungkin tuah orang baru agaknya, tak sampai 5 minit beraksi dengan set jig, Amir menerima sentapan yang kuat dari penghuni lautan.

Lebih kurang 10 minit pertarungan berlangsung akhirnya timbul di permukaan seekor dogtooth tuna seberat 2.3 kg.

 

“Walaupun kecik, tapi kudratnya memang luar biasa,” kata Amir yang menjadi orang pertama hanyir di dalam bot ini.

 

 

Saya yang kempunan menarik baby dogtooth tuna tadi terus mencuba lagi teknik jigging ini di belakang bot.

Tak lama menunggu, saya juga berjaya menerima rentapan kuat dari penghuni dasar, namun, sayang, pertarungan itu tidak bertahan lama dan memihak kepada spesies yang tidak diketahui.

Tidak lama selepas itu, sedang saya asyik melayan teknik jigging, joran Hj KO tiba-tiba melendut mencecah air menandakan umpan telah disambar penghuni dasar.

Namun, ternyata set joran Shimano dengan padanan kekili Shimano Beastmaster dan kekuatan tali braided 100 lb belum mampu menewaskan penghuni dasar yang dijangka bersaiz monster itu.

 

SARANG RUBY

 

Saya yang tidak jemu-jemu berjigging dari tadi menerima lagi sentapan kali ini.

Tetapi memandangkan lubuk di sini berkedalaman 220 meter, saya terpaksa bekerja keras dan menggunakan segala kudrat yang ada untuk menarik ikan naik ke atas.

Akhirnya setelah lebih 10 minit bertarung, seekor ruby snapper seberat 5.6 kg muncul di permukaan air dan segera digancu oleh tekong.

 

Pada masa yang sama juga, Tuan Hj Toskan turut berjaya menaikkan seekor baby ruby snapper seberat 1.8kg. Seterusnya, aksi jig mula mendapat sambutan.

Saya bersama tekong Udin, Hj Moktar dan seorang lagi awak-awak secara terus menerus berjigging dan berjaya menewaskan beberapa ekor ruby snapper dan cupak dalam skala 2 kg.

 

Setelah puas berjigging, akhirnya kami mengambil keputusan untuk berpindah lokasi.

Kesempatan yang ada ini kami manfaatkan dengan berehat sambil menghirup kopi ‘O’ dan biskut yang dibawa sambil berbual kosong.

 

Di lubuk baru ini kami menerima kunjungan spesies tak diundang iaitu ikan barracouta yang terkenal sebagai spesies yang suka memutuskan tali utama pemancing di pertengahan air.

Tuan Hj Toskan menjadi orang pertama yang di cukai sang barracouta ini. Selepas itu, satu persatu tali utama diputuskan dan ini menyebabkan ramai yang mengambil keputusan untuk berehat dan melelapkan mata.

 

Hj Nasir yang tidak putus-putus memancing dari tadi secara tiba-tiba menerima rentapan dari penghuni dasar.

Dengan set bangla MT 750 dipadankan dengan rod Lemax PE 3-6 dan braided 120 lb, beliau tidak mengalami masalah untuk menaikkan seekor ruby berskala 6.9 kg.

Tak lama selepas itu, giliran Nadzri pula menewaskan sang ruby seberat 4.6 kg. Puas dapat melayan ikan, masing-masing pun mengambil keputusan untuk melelapkan mata.

 

Pada awal pagi, kami mengambil keputusan untuk terus menghabiskan saki-baki kami di sini dengan memancing.

Mus menjadi pemecah suasana pagi ini apabila berjaya mendaratkan baby ruby seberat 1 kg. Tak lama selepas itu giliran joran saya pula menerima sambaran kerapu seberat 2.5 kg yang terpedaya dengan umpan hirisan ikan.

Menjelang tengah hari, kami terus menamatkan sesi pancingan kami dan menuju pulang ke jeti.

 

 

Memandangkan ikan-ikan yang kami perolehi ini tidak boleh dibawa pulang ke Malaysia, kami mengambil keputusan untuk membawa hasil-hasil ini ke restoran yang ada di Makassar untuk dimasak dan dijadikan hidangan buat kami bersama para isteri.

Memang agak memuaskan hasil yang kami perolehi di Makassar walaupun hanya berpeluang memancing 1 malam di sini.

 

Alhamdulillah, trip santai grup Pemancing Kerdil bersama isteri di Makassar ini berlangsung dengan jayanya.

Insyaallah, kami akan merangka 1 lagi trip ulangan di sini yang mana misi seterusnya untuk memburu sang monster perairan Makassar!

 

Published by
Amang