Trip mancing ini sebenarnya dah lama tapi saja nak up sebagai kenangan antara kami berlima. Berbeza dengan trip yang pernah hadapi, trip ini adalah yang mencabar buat kami berlima. Bukan mencabar sebab menghadapi ribut, tetapi kami berhadapan dengan keadaan air laut permukaan umpama cermin… tiada angin panas terik dengan arus yang tidak bergerak.
Walau bagaimana pun kami dengan sedaya upaya memujuk ikan dasar atau sedap panggil ikan sisik. Sememangnya ikan sisik menjadi spesies sasaran utama setiap kali kami berjigging di Port Dickson.
Pembuka selera seawal pagi Abam Mie Nderk dapat menjinakkan si baracuda anggaran sekilo lebih.. ia sedikit sebanyak buat kami bertambah semangat. Sangkaan kami meleset, tiada sekor ikan selepas itu yang dapat kami pujuk terutama ikan dasar.
Ads
Menyedari situasi yang amat kurang memberangsangkan, skipper tersohor Shariman Are-pex mengambil keputusan drastik mengubah teknik pancingan apung.
Kami berlima seolah-olah menjadi pekerja part time membersihkan sampah sarap di permukaan laut, hasilnya sangat memberangsangkan. Ikan pecah periuk atau ikan patipok berjaya kami daratkan dengan keadaan agak kelam-kabut sedikit, kami berlima strike serentak.
Ads
Selepas habis mengerjakan ikan patipok kami bergerak menuju ke arah lain pula. Trit… trit… trit… bunyi menandakan ikan berada di dasar laut. Kami meneruskan teknik jigging, namum si talang yang menyambar jig. Hafizuliz Amri Ariffin berjaya memujuk saiz talang raya yang sangat besar.
Manakala saya jugak berjaya memujuk talang menggunakan set light jigging, memang osem kena buli teruk (jangan kecam abam). Hahahha.
Ads
Sesi petang pula kami mencari spesies senangin. Sekali lagi Abam Mie berjaya menjinakkan senangin bersakala 3kg. Situasi yang lucut… rabak jig sangkut tidak terkira.
Akhirnya saat kecemasan Shahrul Nizam berjaya menaikkkan baracudda bersakala 6kg. Kami semua gumbira…. hahahaha.
Biarpun hasil tidaklah seberapa namun ia tetap menggembirakan kami. Kalau nak kira ia satu hasil yang padu juga jika nak dibandingkan dengan factor air pada hari tersebut. Kalau kumpau sekali pun ia tetap menggembirakan kerana bukan selalu kami dapat mancing bersama.
Oleh: Usop Jr
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sebaik tiba, ahli-ahli komplot dengan tidak sabarnya terus melempar umpan ke dasar. Pelbagai variasi umpan dihidangkan kepada penghuni dasar mengharapkan ia dijamah oleh ikan.
Pada masa ini, pemancing perlu peka dengan umpan apa yang dipasang bagi setiap pancing yang digunakan. Seandainya ada ragutan dari penghuni dasar yang dikehendaki spesiesnya, lebihkan penggunaan umpan mengikut apa yang telah dimakan oleh ikan sasaran.
Umpan udang segar dan ruat lebih banyak mengundang gerombolan ikan duri dan gelama untuk menjamah umpan.
Kombinasi pelbagai umpan selain untuk mencari umpan terbaik, juga bertujuan untuk mengelakkan kebosanan menunggu ikan sasaran. Gerombolan duri dan gelama ini menjadi hiburan kami sementara menunggu kemunculan ‘tetamu’ undangan.
Di tengah kerancakan duri membaham umpan, tiba-tiba joran Viper Venom berumpankan ruat milik saya mengendur talinya. Tindakan pantas penulis menterjemahkan seekor jenahak selepas melalui pertempuran yang mendebarkan.
Amir pula berbangga apabila jorannya yang berumpankan udang pasar membuahkan seekor kerapu bersaiz sederhana.
Pak Lang Rahimi pula hanya mampu termenung apabila rentapan kasar yang diperolehi putus di tengah jalan. Selepas aksi tersebut, keadaan kembali seperti sedia kala.
Hanya duri dan gelama yang sudi menjamah umpan, yang kesemuanya dilepaskan kembali. Tidak perlu disimpan kesemua tangkapan, hanya ambil apa yang ingin dimakan.
Menjelang senja, gerombolan sembilang karang pula menyerang. Bukan setakat umpan pancing, umpan ikan di dalam perangkap ketam juga di lahapnya.
Penggunaan perangkap ketam kadang kala membuahkan hasil yang tidak disangka. Kami bukan sahaja dapat memerangkap ketam, bahkan ikan kerapu, belangkas dan sotong katak.
Pernah dalam satu kejadian, kami mendapat seekor siakap yang mungkin berhasrat membaham ikan tamban yang dijadikan umpan memerangkap ketam.
Ironinya dalam kejadian tersebut, kami mendapat seekor ketam yang membaham umpan pancing. Sayangnya, kamera tidak dibawa bersama untuk merakamkan kejadian tersebut.
Pancing yang diletak di bahagian belakang togok direntap kasar. Penggunaan loceng sebagai tanda amaran amatlah efektif untuk mengelakkan kejadian pancing terbang dan ikan terlepas.
Tentangan kasar yang diberi amatlah mengujakan. Hasilnya, penulis berbangga dengan siakap bersaiz kasar. Melewati waktu Isyak, di saat air laut mula bergerak pasang, keadaan kembali rancak.
Seketika, kami terhenti sejenak apabila joran kepunyaan Firdaus direntap kasar. Firdaus yang telah bersedia bertindak membuat henjutan balas.
Sekali lagi perlawanan yang mengujakan kami membuahkan spesies yang dicari-cari, iaitu seekor jenahak berskala kasar.
Selepas sesi bergambar, joran kepunyaan penulis pula digetu sesuatu namun putus di tengah jalan. Mungkin dari spesies yang sama kerana kebiasaannya jenahak memburu secara berkumpulan.
Seketika, keadaan menjadi sunyi. Kesempatan yang digunakan sepenuhnya untuk menjamu selera, menjamah bekal yang dibawa. Malang tidak berbau, milo ais ikat tepi penulis tertumpah ke baju.
Nasib baik baju tambahan ada dibawa bersama. Jika tidak, bersejuklah sepanjang malam tatkala baju dibasuh.
Hasil seterusnya menjadi milik Shahida apabila jorannya direntap halus. Rentapan sederhana oleh Shahida dibalas dengan lompatan oleh mangsa.
Mangsa akhirnya menyerah kalah apabila ruang-ruang untuk memboloskan diri tidak ditemui. Shahida berbangga dengan ikan siakap pertamanya.
Kami dihidangkan dengan hiburan apabila Khairi memperolehi seekor ketam bunga bersaiz besar yang membaham umpan udang pasar miliknya.
Menjelang tengah malam, kami sekali lagi dihidangkan dengan aksi-aksi rancak. Joran milik penulis dan salah seorang rakan pancing, Khalis, berjaya memerangkap ikan jenahak.
Shahida pula memperolehi seekor ketuka, manakala Khairi berbangga dengan tangkapan kerapu bersaiz kasar. Joran berumpankan udang pasar yang dilabuhkan bersebelahan togok ternyata mendatangkan tuah buat Khairi.
Umpan udang hidup, ruat, dan potongan ikan tamban laku umpama goreng pisang panas, dengan hasil yang sangat memberangsangkan. Adat memancing, ada kalanya hasilnya banyak, ada ketika ‘membangau’ sahaja. Apa yang penting, jangan berputus asa.
Sentiasalah rajin bertanya kepada pemilik kelong dan pemancing tempatan mengenai tarikh yang sesuai, juga umpan yang efektif. Rajin bertanya, mewahlah hasilnya.
Pulang dari komplot, segala hasil yang diperolehi dibawa ke kedai makan untuk dijadikan menu hidangan. Tiada yang dibawa pulang memandangkan anggota-anggota komplot terdiri daripada orang bujang.
Secara keseluruhannya, setiap daripada kami berpuas hati dengan hasil dan juga perjalanan komplot.
Memandangkan ada di antara kami yang tinggal jauh dari sini terutama anggota Team Moh Redah, komplot ini menjadi wadah mengeratkan silaturahim yang terjalin.
Biarpun ada di antaranya baru pertama kali bersua, namun mesra umpama telah kenal lama. Itulah istimewanya hobi memancing.
Suatu ketika dahulu atau masih kekal diperkatakan sehingga ke hari ini, sungai-sungai di Sarawak cukup sinonim dengan dua perkara; buaya dan udang galah. Sekali gus menepati kata-kata orang, kalau ada udang, ada buaya. Atas sebab itulah penulis sangat teruja apabila berpeluang untuk memancing udang galah atau jenggo di Sarawak.
Pancingan udang galah mungkin tidak segah atau sepopular pancingan ikan di sungai mahupun laut dalam. Namun ia memiliki keunikan dan keseronokan tersendiri. Penulis sendiri amat menggemari pancingan santai ini. Apatah lagi berpeluang memancingnya di sungai yang menjadi banglo sang jenggo ini. Keterujaan yang sama turut dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Masing-masing mula membayangkan berapa kilo udang galah seorang yang bakal dibawa pulang.
Perjalanan seawal pagi dari Bandaraya Miri ke Batu Niah memakan masa sekitar 1 jam. Setibanya di jeti Kampung Sepupok, papan tanda yang mempamerkan amaran kewujudan sang bedal di sungai tersebut sedikit sebanyak menyentap keterujaan kami.
Suasana bertukar krik krik krik seketika. Kami yang tak biasa memancing di lubuk yang turut menjadi kediaman buaya sudah tentu kecut perut dibuatnya. Khususnya wakil media dari Australia yang sejak dari sesi briefing lagi sudah cuak apabila diberitahu oleh juru pandu pancing tentang kewujudan buaya air masin di lokasi pancingan udang. Walau bagaimana pun kerisauan itu tidaklah terlalu mengganggu fikiran ekoran insiden melibatkan buaya di sungai tersebut hampir tidak pernah berlaku.
Hanya makluman daripada penyewa bot memancing di sungai tersebut agak merenjat keterujaan kami. Menurut beliau, tarikh dan waktu yang kami pilih untuk memancing udang tidak bagus. Udang agak sukar untuk diperolehi ekoran faktor air masin yang jauh memasuki sistem sungai. Air sungai menjadi agak masin dan perlu jauh mudik ke hulu sungai untuk mencari udang.
Anehnya faktor ini langsung tidak dinyatakan ketika perbincangan penyewaan bot sebelumnya. Pendapat yang sama turut disuarakan oleh jurumudi bot yang bakal membawa kami. Kesimpulannya, waktu itu lebih sesuai memancing ikan berbanding memancing udang galah.
Namun apa kan daya, alang-alang bot pun dah disewa, kelengkapan memancing udang semuanya dah pun disiapkan, sama ada musim atau bukan, trip memancing udang galah harus dilangsungkan juga.
Berumpankan anak udang hidup, empat buah bot fiber dengan saiz bot dan kuasa enjin yang berbeza menuju ke hulu Sungai Niah. Dari kawasan sungai yang airnya masih masin, payau dan tawar sepenuhnya dijelajahi. Dari kawasan air masin dan payau, hasil tangkapan menjurus kepada ikan duri.
Sementara di kawasan air tawar pula didominasi ikan belida dan baung. Si jenggo yang menjadi sasaran utama ternyata sukar untuk dicari. Dari empat buah bot fiber, ada bot yang langsung gagal mendaratkan walau seekor udang ‘megi’.
Seharian ke hulu ke hilir dengan hasil yang amat mengecewakan, akhirnya jurumudi membuka mulut punca sebenar kesukaran untuk memburu udang galah. Faktor air masin hanyalah penyebab kecil, punca sebenar adalah angkara ketamakan individu yang mahu mengaut keuntungan dengan mudah dan pantas.
Ekoran harga udang galah yang kian meningkat di pasaran sehingga jauh lebih mahal berbanding di semenanjung, justeru menuba sungai adalah cara yang paling efektif untuk mengutip udang galah.
Malah, sebelum kedatangan kami, sistem sungai itu sudah beberapa dituba oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Hanya sedikit rezeki pada kami kerana dapatlah juga menaikkan beberapa ekor udang galah.
Bulat julung kalinya pemancing-pemancing otai perairan Pelabuhan Klang, yang bernaung di bawah Royal Selangor Yacht Club (RSYC) dan Persatuan Pengail Selangor (PENGAIL) bergabung di bawah satu bumbung bot, memancing bersama tanpa bersaing antara satu sama lain.
Selama 4 hari 3 malam para komiti RSYC & PENGAIL serta jemputan dari Pure Fishing, berkomplot di atas boathouse Sri Gagau, menduga penghuni Tasik Kenyir secara santai.
Penulis yang diundang awal-awal lagi sudah berasa teruja untuk menyertai trip ini. Biarpun tarikhnya serentak dengan event lain, penulis tidak berubah fikiran untuk menyertai trip otai-otai ini. Bukan kerap nak dapat peluang memancing bersama , berkongsi pengalaman dan cerita, dan menimba ilmu memancing daripada pemancing berpengalaman seperti mereka ini.
Kesantaian grup ini terserlah apabila boathouse Sri Gagau mula bergerak keluar dari jeti Pengkalan Gawi, rupanya mereka belum putuskan ke mana destinasi yang hendak dituju. Mengetahui penulis sudah kerap ke Tasik Kenyir, pendapat penulis ditagih untuk sama-sama menentukan lubuk terbaik yang harus dituju.
Memandangkan grup ini tidak memohon permit memancing di taman negara, maka lubuk-lubuk bersempadanan dengan taman negara dicari. Perbincangan bersama tekong boathouse Sri Gagau akhirnya Sungai Lawit menjadi lubuk pilihan.
Selain aktiviti menjaring yang agak berleluasa kerana terletak di luar kawasan taman negara, Sungai Lawit tidaklah terlalu menghampakan. Biarpun di luar musim, paras air tasik yang masih tinggi, senario pancingan di Sungai Lawit hampir tidak banyak bezanya dengan Sungai Terenggan atau lubuk lain di dalam kawasan taman negara.
Banyak teluk, suak dan sistem sungai bagi kaki casting keluar memburu sebarau dan toman. Malah lokasinya juga tidak untuk ke Sungai Papan atau Sungai Lepar. Aktiviti pancingan di atas boathouse juga tidak begitu membosankan. Belida, baung dan lampam agak mudah dipancing.
Malah jauh lebih baik kalau dibandingkan dengan keadaan di taman negara. Dan agak seronok juga menyaksikan gelagat pemancing-pemancing otai laut dalam yang biasa menaikkan pari serta jenahak bagak-bagak ini bertungkus-lumus cuba menjinakkan lampam sungai.
Pelaburan selama 2 malam di Sungai Lawit agak memuaskan hati ahli-ahli grup. 2 ekor belida berskala 4 dan 7 kilogram berjaya dinaikkan dan selamat dijadikan sup bebola istimewa. Baung-baung bersaiz kasar juga banyak didaratkan. Cuma aktiviti mengilat sedikit mengecewakan. Begitu banyak port yang menarik tetapi tiada sambutan dari sebarau mahupun toman. Yang banyak meligan gewang hanya toman rempit atau sebarau remaja.
Hari ke-3, ahli-ahli grup sepakat sekata untuk mencuba nasib di Sungai Mentong pula. Pada hari yang sama juga satu pertandingan kecil di antara ahli grup diadakan. Namun pancingan di Sungai Mentong ini agak menghampakan. Selain daripada aksi 4 kumpulan toman remaja berkongsi satu teluk meligan gewang yang dilontar, selebihnya boleh dikatakan tiada aktiviti yang menarik. Biarpun banyak teluk dan suak yang berpotensi, namun kelibat sebarau mahupun siakap langsung tidak kelihatan.
Rumusannya, trip bersama otai-otai perairan Port Klang ini cukup menghiburkan. Semangat dan disiplin mereka yang seawal 6.30 pagi sudah siap untuk turun casting setiap pagi benar-benar mengagumkan. Mungkin faktor nasib dan masa saja yang tidak menyebelahi mereka. Yang pasti, penulis menaruh harapan mereka masih sudi untuk meneroka sungai-sungai di Tasik Kenyir lagi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...