Trip Memori – Pengalaman Pertama Memancing!!

Share

 

Hampir 4 tahun aku tinggal di bandar Jengka. Inilah kali pertama aku pergi memancing ikan bersama kawan-kawan.

Pada mulanya aku memang tak mau join dia orang, bukan apa, aku memang tidak minat aktiviti yang sangat membosankan. Lagipun, memancing perlukan kesabaran.

Tetapi aku akui, bukanlah seperti mereka. Tetapi selepas dipujuk aku termakan juga dengan dengan pujuk rayu mereka.

 

Kami bertolak ke Sungai Tepus dan saya melengkap diri dengan berpakaian baju hujan dan tidak lupa membawa bekal makanan. Cuaca agak mendung, maklumlah ketika ini musim hujan dan adakalanya ia turun tidak menentu.

 

Bukan apa, sebagai pemancing haruslah mengutamakan keselamatan. Kami terpaksa melalui sebuah lading kelapa sawit dan jalannya memang cukup becak dan licin.

Kami tiba di tebing sungai dan airnya memang keruh, macam teh tarik. Set peralatan ringan milik Udin saya gunakan, kerana memang saya tidak berapa tahu pasal peralatan pancing.

 

Tapi mujurlah mereka banyak membantu terutama membuat perambut, mengikat mata kail dan bermacam-macam lagi. Pendek kata semua barang pancing, milik Udin.

Dengan berumpankan cacing, Udin dan Bang Mat silih berganti menaikkan beberapa ekor baung kecil.

 

Tiba-tiba hujung pancing melentur dan Udin yang berada di sebelah saya menyuruh saya segera menggulung tadi, kerana katanya umpan pancing saya sudah dimakan ikan.
Alangkah terkejutnya saya kerana, menaikkan makhluk seperti ular.

Tetapi Udin terus menggelakkan saya sambil mengatakan adalah itu adalah sejenis ikan, iaitu tilan bukannya ular.

 

Nasib baik kata saya di dalam hati. Tiba-tiba Bang Mat mengeluarkan sesuatu dari dalam botol dan saya terkejut apakah benda tersebut. Katanya inilah umpan tapa, umpan yang diperbuat daripada jeruk ikan yang baunya cukup busuk.

 

Saya tidak sanggup untuk memegangnya, tetapi bila mana Bang Din mula menaikkan baung seekor demi seekor, saya teruja untuk menggunakannya.

Tetapi sebelum itu saya menggunakan plastik yang dibalut di tangan sebelum saya berani memegangnya. Merah padam juga saya kerana puas digelakkan oleh Bang Mat dan Udin. Kata mereka, kalau nak jadi pemancing haruslah berani.

Kami memancing sehingga hari malam. Tetapi pada malam itu, hujan mula turun dan kami mengambil keputusan untuk segera pulang.

Ini kerana kami cukup bimbang jikalau kawasan tempat kami memancing tersebut dinaiki air. Pengalaman kali pertama memang sangat seronok, tetapi saya akui, perlu banyak bersabar menunggu ikan memakan umpan.

(oleh: Mohd fadzil)

Published by
Amang