Biasanya saya akan mengikut nenek dan sepupu bila memancing. Daripada merekalah saya mendapat pengetahuan tentang betapa seronoknya memancing. Bila waktu ini, saya selalu berkunjung ke rumah nenek yang tidak jauh dari rumah saya.
Yang seronoknya bila saya datang, semua peralatan pancing telah pun sepupu saya sediakan sehinggalah bab nak pasang umpan cacing.
Kami akan berbasikal atau berjalan kaki di permatang berhampiran tanah sawah milik nenek. Bila ada lokasi berpotensi dan nampak deburan air, tanda ikan bermain, terus sahaja umpan dihulur.
Ads
Paling seronoknya, ialah bila ikan puyu menjamah umpan, hujung joran teleskopik melentur habis.
Kadang-kadang, bila saya lambat sedikit je sentap, ikan puyu berjaya masuk ke celah pokok kangkung air. Ada kalanya, saya bersama sepupu berlumba siapa yang paling banyak berjaya menaikkan ikan.
Selain ikan puyu, ikan lain seperti haruan, selat dan keli juga berjaya saya naikkan. Sebenarnya nama-nama ikan ini saya ketahui dari nenek saya. Pernah saya terperanjat dan lari lintang-pukang sampaikan menangis sebab terkejut bila saya terpancing ular.
Ads
Tetapi nenek dan sepupu saya terus sahaja ketawa sebab katanya itu bukanlah ular, tapi sebenarnya belut yang telah pun memakan umpan saya. Kemudian barulah saya tahu, rupa-rupanya itu adalah belut, bukannnya ular dan boleh di makan.
Ads
Nenek selalu memberikan sihat kepada saya dan sepupu yang lain, memancing ini perlu sentiasa sabar, tidak boleh bising dan kena hormati hak makhluk lain.
Kata nenek, kalau kita tidak mahu ikan tersebut, hendaklah lepaskannya semula. Begitu juga dengan saiz yang kecil, sebaiknya kita hendaklah lepaskannya semula.
Ikan puyu memang sedap dimakan, lebih-lebih lagi dimasak pedas, lemak, bahkan goreng pun sedap. Yang seronoknya, bila selesai memancing, nenek sudah tahu apa yang ingin dimasak. Selalunya apa yang nenek masak memang sedap.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan Patin Mekong (panggilan tempatan) atau Mekong giant catfish (Pangasianodon gigas; disebut pla buk / pla buek di Thailand) adalah spesies catfish yang sangat terancam pupus dalam keluarga shark catfish (Pangasiidae), berasal dari Lembangan Mekong di Asia Tenggara.
Ia memiliki warna badan kekelabuan ke putih dengan corak jalur yang pudar. Patin Mekong dapat dibezakan dengan spesies patin besar yang lain melalui ketiadaan barbel (sesungut) dan tidak bergigi.
Spesies juvenil dibekalkan dengan barbel namun ia mula menghilang seiring bertambahnya usia. Patin Mekong gergasi ini pernah menduduki carta teratas Guinness World Records untuk ikan air tawar terbesar di dunia pada tahun 2005.
Menurut catatan tidak rasmi, spesies ini mencapai panjang 3meter, ia mampu membesar dengan sangat cepat hingga mencapai 150kg hingga 200 kg) dalam tempoh 6 tahun. Dilaporkan beratnya mampu mencapai 350kg.
Tangkapan terbesar yang dicatat di Thailand sejak rekod catatan disimpan dimulai pada tahun 1981 adalah speskimen betina berukuran panjang 2.7meter dan berat 293kg. Spesimen ini ditangkap pada tahun 2005, secara luas diakui sebagai ikan air tawar terbesar yang pernah ditangkap.
Jabatan Perikanan Thailand mengeluarkan telurnya sebagai sebahagian dari program pembiakan, untuk membebaskannya kembali ke habitat asal, tetapi ikan itu mati di dalam kurungan dan dijual sebagai makanan kepada penduduk desa setempat.
Populasi ikan ini kian menyusut dengan pengurangan spesimen juvenil ditemui. Sementara penangkapan luar kawasal di Kemboja ketika musim ia membiak memburukkan lagi keadaan.
Sementara larva pula berhadapan ancaman fragmentasi habitat karena pembangunan empangan yang menjadi semakin meningkat.
Patin Mekong adalah spesies yang terancam di Lembangan Mekong, dan konservasionis telah memfokuskannya sebagai spesies utama untuk mempromosikan konservasi di sungai.
Meskipun projek kajian sedang berlangsung, relatif sedikit yang diketahui tentang spesies ini. Secara sejarah, jangkauan alami ikan dari Mekong yang lebih rendah di Vietnam (di atas air payau yang dipengaruhi delta sungai) sampai ke bahagian utara sungai di Provinsi Yunnan, China, yang meliputi hampir 4800km panjang sungai.
Kerana ancaman, spesies ini tidak lagi mendiami sebahagian besar habitat aslinya. Sekarang diyakini hanya ada dalam populasi kecil yang terisolasi di wilayah Mekong tengah. Spesies ini berkumpul di awal musim hujan dan bermigrasi ke hulu untuk bertelur.
Mereka hidup terutama di saluran utama sungai, di mana kedalaman air lebih dari 10 meter, sementara para peneliti, nelayan dan pegawai rasmi telah menemukan spesies ini di Sungai Tonle Sap dan Tasik di Kamboja, Cagar Biosfer UNESCO.
Pada masa lalu, para nelayan melaporkan ikan-ikan itu di sejumlah anak sungai Mekong. Namun hari ini, pada dasarnya tidak ada penampakan yang dilaporkan di luar saluran sungai Mekong utama dan wilayah Tonle Sap.
Pemahaman tentang pola migrasi spesies tidak lengkap. Ikan-ikan tersebut diandaikan dipelihara terutama di Mekong dan danau Tonle Sap di Kamboja dan bermigrasi ratusan kilometer ke utara ke tempat pembiakan di Thailand.
Fragmentasi yang disebabkan oleh pembangunan infrastruktur empangan menjadi ancaman yang semakin umum terjadi pada ikan larva dan mengurangi kemampuan pembiakan. Penangkapan yang berlebihan, pembentungan, penghancuran pembiakan, dan tempat berkembang biak telah mengambil korban di habitat spesies.
Ketika waktu fry (benih), spesies ini memakan zooplankton di sungai dan dikenal sebagai kanibal. Setelah kira-kira satu tahun, ikan menjadi herbivora, memakan alga berfilamen, mungkin menelan larva dan perifiton secara tidak sengaja.
Ikan tersebut kemungkinan mendapatkan makanannya dari algae yang tumbuh di permukaan berbatu yang terendam, karena tidak memiliki jenis gigi.
Patin Mekong adalah herbivor tak bergigi yang hidup dari tanaman dan algae di sungai. Melalui kajian (pembedahan perut) ikan ini dikenal pasti memakan zooplankton dan fitoplankton.
Suatu masa dahulu, mendengar nama pulau jerejak pasti ramai yang berasa gerun kerana pulau ini pernah menjadi tapak kuarantin bagi pesakit kusta, tibi dan juga penjara bagi pesalah jenayah.
Malah, ada yang pernah menggelar pulau ini sebagai ‘Pulau buangan’ Dan ‘Pulau Alcatraz Malaysia’.
Namun, di sebalik tinggalan kisah lampau ini, Pulau Jerejak ini mendapat tempat sebagai antara lokasi pilihan memancing yang popular di perairan Pulau Mutiara.
Pulau dengan keluasan 362 hektar dan terletak 1.5 batu nautika dari tanah besar ini menjadi habitat bagi pelbagai spesies flora dan fauna.
Siapa sangka sebuah pulau kecil yang dahulunya mencatatkan 1001 kini menjadi antara spot pancingan yang popular di utara tanah air.
Pulau Jerejak yang terletak di selatan Pulau Pinang kini semakin mendapat tempat di hati kaki pancing sejak mula berubah wajah untuk dibangunkan menjadi sebuah kawasan peranginan.
Menurut penduduk sekitar, kunjungan kaki pancing perairan Pulau Jerejak ini semakin meningkat saban hari terutama hujung minggu dan cuti umum.
Apa tidaknya, hasil laut yang ada di sini bolehlah dikategorikan sebagai gred A. Dari spesies jenahak, kerapu, siakap, pari, talang, dan GT, semuanya pernah dinaikkan di pulau ini.
Malah, ada suatu ketika dikatakan kawanan ikan merah pernah singgah di perairan pulau ini.
Dengan bayaran serendah RM15 bagi satu kepala, anda boleh memancing di pulau ini dari pagi hingga ke lewat petang.
Malah, ada juga pemancing yang memilih sesi malam hingga awal pagi untuk menduga ikan di kepulauan kecil ini.
Bagi pemancing yang ingin berkunjung ke sini, mereka boleh memilih sendiri lokasi memancing pilihan mereka.
Tidak kiralah di hadapan atau belakang pulau, semuanya anda boleh deal dengan boatman yang membawa anda ke sana.
PANGGILAN PULAU
Kunjungan saya ke pulau ini tidak dirancang sama sekali. Kunjungan ke rumah rakan sewaktu di IPT dahulu, membuatkan saya mengajaknya untuk merasai pengalaman memancing di sini.
Saya memilih sesi pancingan dari pagi hingga lewat petang untuk beraksi di Pulau Jerejak ini. Untuk trip kali ini, tiada spesies sasaran yang disasarkan, cuma lebih kepada mengharapkan ikan yang bersaiz memuaskan dapat dinaikkan.
Seawal jam 8.00 pagi saya bersama seorang rakan tiba di Jeti Batu Maung untuk menuju ke Pulau Jerejak.
Tepat jam 8.30 pagi kami pun memulakan perjalanan ke lokasi pilihan kami. Kami memutuskan untuk mencuba nasib di bahagian belakang pulau yang berhampiran dengan sangkar ikan. Spot ini sememangnya top di kalangan kaki pancing.
KEBERKESANAN UMPAN DI SEKITAR PULAU JEREJAK
Melalui pengalaman rakan saya yang telah beberapa kali berkunjung ke sini, diet utama ikan di kawasan pulau ini ialah udang hidup dan belanak yang banyak bermain di kawasan pulau ini.
Oleh sebab itu, kami telah standby awal-awal membawa jala untuk mencari umpan hidup. Sebagai pilihan, kami juga telah bersedia dengan umpan hirisan ikan termenung dan sotong sebagai umpan alternatif lain sekiranya bekalan umpan hidup sukar diperolehi.
Nasib kami agak baik. Kerana sewaktu tiba, air bergerak pasang turut membawa ratusan udang dan anak ikan ke pesisir pantai.
Rupanya begitu mudah sekali mendapatkan bekalan umpan hidup di sini. Namun, ujar rakan saya, pernah dalam kunjungannya dahulu begitu sukar mencari umpan hidup.
Justeru itu, bagi pemancing yang ingin berkunjung ke sini dinasihatkan bersedia dengan back-up plan andai kata terjadi situasi bekalan umpan hidup sukar diperolehi.
BABY GT PENGUBAH SUASANA
Selesai sahaja mendapatkan bekalan umpan hidup, kami terus memulakan aktiviti pancingan.
Di sesi awal ini, hanya menyaksikan beberapa ekor ikan gerut-gerut dan duri tumpas di tangan kami.
Mungkin disebabkan faktor air yang masih surut tatkala itu menjadikan hanya ikan kecil yang mendominasi tangkapan.
Namun segalanya berubah apabila air mulai pasang menjelang tengahari. Umpan udang hidup yang saya lontarkan berhampiran kawasan berbatu rakus disambar penghuni dasar.
Menjerit reel ekonomi Ajiking Wahoo yang saya gunakan sewaktu ditarik spesies yang belum menunjukkan rupa ini.
Dengan pantas penulis melakukan karauan apabila sang ikan laju meluru ke kawasan terumbu karang.
Tak sampai 5 minit bertarung, muncul kilauan putih yang sudah keletihan di atas air. Rupa-rupanya seekor baby GT berskala 1 kg yang menyambar umpan saya.
Nyata saya amat gembira kerana, inilah ikan GT pertama yang penulis daratkan dengan teknik bottom.
Terkulai sahaja baby GT di dalam box ikan, kami semua mulai bersemangat melontar joran. Tidak lama selepas itu, giliran joran Mat pula disambar ikan.
Meliuk lentuk rod yang diletakkan dibatu apabila disambar spesimen bersaiz kasar. Tidak perlu menunggu lama, terkulai seekor jenahak berskala 800 gram yang membaham umpan belanak hidup.
Pada hari itu sahaja pelbagai spesies ikan yang kami perolehi. Namun yang paling rajin menggetu umpan ialah ketuka yang begitu menggemari umpan udang hidup yang kami hidangkan.
Selain itu, plotan (duri bersaiz kasar), tetanda, gerut-gerut dan pelbagai spesies karang lain turut tumpas di tangan kami.
Apabila air mulai penuh kami cuba juga menggunakan pelampung yang berumpankan ikan belanak dan udang hidup untuk memburu siakap, namun, tiada seekor pun yang sudi pada trip kali ini.
Apapun, kami masih berpuas hati dengan hasil-hasil pancingan sepanjang seharian kami di pulau ini.
PENGAKHIRAN CERITA
Menjelang jam 6 petang, kami mula berkemas dan bersedia untuk pulang ke jeti.
Sepanjang perjalanan pulang, kami dihidangkan dengan pemandangan indah lautan dan flora yang menghijau di sekitar Pulau Jerejak ini.
Pulau Jerejak sememangnya wajar boleh diketengahkan menjadi kawasan memancing yang popular di Malaysia.
Saya juga percaya, jika dijaga dengan rapi, pasti pulau ini dapat menggamit lebih ramai kaki pancing dari dalam dan luar Malaysia.
Trip repeat pasti akan saya rangka lagi dalam masa terdekat nanti untuk memburu spesies gred A lain yang masih bersembunyi di ‘Pulau Buangan’ ini.
Perairan Sedili sememangnya sudah cukup gah dengan pelbagai khazanah laut yang sentiasa membuat pemancing terigau-igau. Pelbagai spesies lautan yang berupaya melemahkan kepala lutut pemancing apabila bertarung dengannya.
Terdapat banyak spesies gred A boleh di pancing di perairan ini. Jika berkesempatan ke Sedili anda boleh cuba menerokai lubuk lubuk yang sememangnya menjanjikan pulangan lumayan jika kena cara dan waktunya.
Kemudahan bot-bot pancing di Sedili boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘darat & laut’. Bot darat membawa pemancing di kawasan sekitar Tukun Batu & Tukun Yu. Sesuai dengan namanya bot darat, servisnya adalah menduga lubuk lubuk sekitar 2 jam perjalanan dari jeti.
Walaupun tidak jauh dari pantai terdapat juga spesies ikan mega yang mampu membuat pemancing keletihan melawan asakan. Tenggiri, alu alu, aruan tasik, merah, ketarap malah yu kemejan sebesar budak 12 tahun pernah menjamah pancing sepanjang lawatan saya ke Sedili.
Kategori bot laut pula membawa pemancing jauh ke tengah sekitar Karang Ngah, Karang Long, Karang Laut , Pulau Aur dan Pulau Tinggi. Terdapat beratus-ratus lubuk ikan yang terbentuk disebabkan kapal karam, karang dan juga kawah dasar laut. Unjam-unjam persendirian yang dibuat sendiri oleh masyarakat nelayan Sedili juga banyak.
Semenjak kunjungan pertama saya ke Sedili hingga sekarang khidmat Tekong Mat Setia dan ayahnya Pak Aris memang menjadi pilihan utama saya. Ini adalah kerana kedua-dua tekong ini serta awak-awaknya Rambo dan Bobby tidak lokek ilmu, rajin dan sentiasa membuat perancangan rapi untuk memilih lubuk-lubuk yang berpotensi.
Lubuk Tenggiri
Tidak sah jika tidak mengaitkan Sedili dengan ikan tenggirinya. Lubuk seperti Karang Ngah dan Karang Long sememangnya amat terkenal dengan populasi tenggiri batang atau nama saintifiknya Scomberomorus commerson.
Spesies pemangsa ini seolah-olah bermastautin di sini kerana ia boleh di pancing sepanjang tahun. Banyak cara tenggiri batang ini boleh dijerat termasuklah dengan kaedah jigging atau mengunjun, namun cara paling popular di lubuk ini ialah dengan drift menggunakan umpan ikan kembong, tamban atau selar.
Kekili mendatar atau spinning boleh digunakan untuk kaedah drift. Penggunaan tali utama fluorocarbon amat sesuai disambung terus dengan coated steel 20lb sepanjang 6 inci. Dua bentuk mata kail Owner atau Gamakatsu (cutting point) mesti diikat pada coated steel itu.
Kebiasaannya tenggiri akan membaham bahagian kepala umpan dan kemudian barulah ia akan menelan semua umpan itu. Jika terasa halangan, tenggiri itu akan memuntahkan semula umpan. Sebab itulah kita selalu melihat umpan dihiris seperti pisau.
Selain itu tenggiri Sedili juga terkenal kerana kepandaian memutuskan tali utama ketika ia berenang laju menuju ke arah bot. Selalunya pemancing akan berhenti mengarau kerana menyangka ikan sudah terlepas. Ketika inilah tenggiri memutuskan tali utama.
Ebek Lubuk 60
Lubuk 60 diberi nama kerana kedalamannya iaitu lebih kurang 60 depa. Lubuk ini berbentuk kawah terletak berdekatan Tukun Yu. Di kalangan nelayan, lubuk ini terkenal dengan ikan ebek atau nama saintifiknya Alectis indicus. Ikan ebek ini sentiasa berlegar di sekitar lubuk mencari makanan. Diet utamanya sotong segar dan udang hidup.
Untuk memancingnya perambut mestilah panjang sekurang kurangnya 2 meter supaya umpan melayang cantik seolah melambai-lambai ebek untuk melahapnya.
Mata kail yang kukuh diperlukan kerana ebek akan memecut dan menjunam ke dasar di awal larian. Setelah letih ikan ini akan mengiring dan sesekali akan memecut membuatkan kita merasa amat letih untuk menaikkan ikan ini.
Set yang selalu saya gunakan untuk bertarung dengan Ebek ialah kekili mendatar Penn siri 50, rod PE 3-5, tali utama Power Pro 50lb dan perambut 3 meter suffix 40lb. Mata kail Gamakatsu saiz 3/0 berumpankan udang hidup kerap menjerat ebek di Lubuk 60. Selalunya ikan ini amat aktif pada sebelah pagi dan senja.
Banyak lagi spesies lain terdapat di perairan Sedili yang mampu memberikan debaran ketika cuba menawannya. Aruan tasik yang terkenal ganas, ikan jahan yang selalu meluruskan swivel Rosco, malah yu kemejan yang akan membuat kita terpaksa bergilir-gilir menahan renangan tanpa hentinya.
Sepanjang minat pancingan saya, Sedili banyak memberikan ilmu dan pengalaman praktikal yang tidak dapat dibeli di mana-mana kedai sekalipun.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...