Trip Memori Lama – Sebarau Sungai Som

Share

 

Hujan lebat yang turun menyebabkan sungai di bahagian hilir menjadi terlalu keruh. Lantas kami menukar rancangan ke Lubuk sebarau yang lain iaitu Sungai Tekai yang terletak 3 jam bermotosikal dari penempatan Lepar Utara.

 

Tepat jam 11 pagi, saya disertai empat lagi rakan yang lain, Wan, Bang Chik, Mat dan Saidin menaiki lima buah motosikal menuju ke destinasi.

 

Tiba di laluan balak, sekali lagi kami diuji dengan jalan yang cukup teruk terpaksa meredah lopak selut yang dalam. Beberapa kali, motosikal kami tersangkut di dalam selut dan terpaksa bergotong-royong menolak motosikal.

 

Sekitar jam 3 petang barulah kami tiba di gigi air Sungai Tekai. Nampaknya air Sungai Som tidak terjejas walaupun hujan melanda beberapa hari.

 

Kami menggunakan masa dengan sebaiknya kerana masa agak terhad. Saya, Mat dan Saidin turun ke sebelah hilir, Bang Chik dan Wan bercadang memancing teknik bottom di satu lubuk.

 

Selepas melalui satu selekoh, Mat yang mempertaruhkan gewang ‘killernya’ Yozuri 3D dengan bentuk dan warna ikan seluang menerima sambaran awal.

Ikan yang digelar panglima sungai kerana memiliki tanda calit satu bersakala 800gram berjaya dinaikkan.


Ujar Mat, dia agak kehairanan kerana sungai ini pada trip sebelumnya boleh tahan juga hasilnya tetapi tidak kali ini. Kami mendapat beberapa ekor lagi, tetapi semuanya bersaiz juvenil.

 

Kami akhirnya mengesyaki lokasi itu telah dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjwab. Ada tanda-tanda sungai ini telah dikaran atau dituba, kerana suasana begitu sepi.

 

Beberapa lubuk lain yang berpotensi, seperti di kawasan pokok tumbang dan sisa balak tenggelam langsung tiada sebarang reaksi apabila gewang dilontarkan.

 

Pelbagai jenis dan jenama gewang dan sudu terutamanya Rapala X-Rap, ShadRad sehinggalah gewang cap ayam serta Yozuri Altima 12gram turut tidak mendapat sambutan.

Biasanya port cantik macam tu, jika dilontarkan gewang pasti ada tindak balas. Kalau tiada sambaran kasar, pasti ada sebarau juvenile yang sudi menyambar.

 

Kecewa dengan keputusan yang diperoleh, saya dan Saidin bercadang untuk naik semula ke tempat Bang Chik dan Wan. Manakala Mat berseorangan bergerak lagi ke bahagian hilir. Wan pula berjaya menaikkan beberapa tengas daun dengan berumpankan cacing.


Sambil menunggu Mat, beberapa baung bersaiz kecil berjaya dinaikkan. Sejam menunggu, Mat pulang, tetapi hasilnya kosong.

Nampaknya Sungai Tekai sudah teruk diancam kepupusan kerana khabarnya sudah banyak geng 4×4 menjengak ke sungai ini.

 

Tak tahulah apa yang mereka lakukan, sama ada memancing, memukat atau karan! Yang pasti Sungai Som sudah kurang ikannya walaupun di bahagian hilirnya terdapat lubuk-lubuk berpotensi.

Published by
Amang