Trip Memburu Spesies Kelah Made In Sabah

Share

 

Bagi kaki pancing, dapat merasai pengalaman memancing tangkap dan lepas di kawasan tagal ini pastinya sesuatu yang sering diimpikan. Begitu juga bagi saya. Apa yang menarik tentang sungai yang saya terjah ini adalah, ia merupakan sungai bertagal yang 5 hingga 10 tahun tidak pernah dituai langsung!

 

Mujurlah ada kenalan dari Sabah yang mempunyai akses untuk memancing di kawasan tagal ini dan sudi membawa saya dan orang beberapa orang rakan pemancing lain memancing di syurga sungai pergunungan di kaki Gunung Kinabalu ini. Ikuti ekspedisi saya bersama beberapa orang rakan menerjah Hulu Sungai Kiulu yang terletak di daerah Tuaran.

 

 

Hari Pertama

 

8.00 pagi – Inilah hari yang saya nanti-nantikan. Segala persiapan untuk mendapatkan lesen pelian Sabah sudah lengkap dipersiapkan.

11.00 pagi – Perjalanan menuju ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membuatkan hati lebih membuak-buak.

1.00 tengah hari – Berlepas dari KLIA menuju ke Kota Kinabalu. Jam 3 petang, saya selamat tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan seorang rakan telah pun menanti saya dan membawa saya hotel di Tuaran.

4.00 petang – Selesai sesi ‘mengeteh’ dan beramah mesra dengan rakan lain, saya pulang semula ke hotel dan merehatkan badan untuk berjuang keesokan paginya.

 

 

Hari Kedua

 

5.00 pagi – Seawal jam 5 pagi kami sudah bangun untuk bersiap sedia ke lapangan pancing.

 

6.00 pagi – Kebanyakan ahli komplot sudah berkumpul untuk bersama-sama menuju ke lokasi tagal ini.Trip kali ini turut disertai Pemburu Sungai, Rogon Besar, Kadie Calvin, Richard, Ezar, Buinaga Caster dan juga Rosdi Lusi selaku guide kami ke sini.

 

6.15 pagi – Dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda, kami bergerak dari Tuaran menuju ke lokasi tagal di Kiulu. Perjalanan ke lokasi tagal ini memakan masa lebih kurang 45 minit.

 

 

7.00 pagi – Tiba di Kiulu. Selesai meletakkan kenderaan, kami meneruskan perjalanan untuk trekking ke lubuk-lubuk pilihan pula. Untuk ke lubuk pilihan ini, perjalanan mungkin memakan masa 35 minit lagi bergantung kepada lubuk yang ingin dituju.

 

7.30 pagi – Kami mula berpecah untuk ke lubuk pilihan masing-masing. Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan yang begitu mempesonakan. Memang benarlah kami seakan-akan berada di syurga.

 

7.45 pagi – Sedang melalui sebuah jambatan gantung, kami dapat melihat dengan jelas di bawahnya beribu-ribu ikan pelian berenang betul-betul di bawah kami. Perghh… Memang gigil tangan dan kepala lutut dibuatnya!

 

 

8.00 pagi – Sesi pancingan bermula. Semua ahli komplot mempertaruhkan pelbagai jenis gewang untuk menjerat sang raja sungai ini.

 

8.05 pagi – Tak perlu menunggu lama untuk ikan pertama berjaya saya daratkan. Biarpun saiznya sekitar sekilogram sudah mampu membuatkan saya tersenyum lebar. Ikan yang didaratkan ini juga selamat di CnR.

 

8.30 pagi – Suasana menjadi semakin riuh-rendah. Kebanyakan geng komplot berpesta mendaratkan hasil tangkapan. Ada juga geng yang sudah tidak kelihatan kerana meneruskan perjalanan trekking mencari lubuk yang lebih baik.

 

12.00 tengahari – Sesi memancing masih berterusan. Namun, ada juga ahli geng yang sudah melepak di tepi untuk merehatkan badan. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk menambah tenaga dengan bekal yang dibawa.

 

 

2.00 petang – Meneruskan perjalanan ke hulu sungai untuk mencari lebih banyak spot berpotensi.

 

2.15 petang – Melalui sahaja kawasan yang berpotensi kami terus melemparkan gewang. Jika tiada sambaran kami meneruskan perjalanan ke lubuk lain pula. Atau dalam erti kata lain ‘cast & go’.

 

3.00 petang – Sesi casting semakin meriah. Di satu lubuk yang kami singgahi banyak kali berlaku kejadian double dan triple hook up! Memang mengasyikkan melayan ikan-ikan yang tidak segan silu menyambar gewang di sini.

 

 

4.30 petang – Singgah di sebuah kawasan air terjun yang sangat cantik. Kesempatan ini kami ambil untuk bermandi-manda sambil menyejukkan badan. Kepenatan trekking ke lubuk-lubuk ini bagaikan tak dirasa bila berdepan dengan panorama alam semula jadi yang begitu indah ini.

 

6.00 petang – Kami mengambil keputusan untuk menuju pulang ke kawasan parkir kereta. Bagaikan tak disangka impian untuk memancing di kawasan tagal menjadi kenyataan.

 

Harapan untuk renew lesen pelian di Sabah juga sudah termakbul. Spesimen yang terberat berjaya dinaikkan sewaktu trip ini ialah 3.7kg. Memang betul-betul monster! Bagi yang berhajat untuk merasai pelian di sini, boleh sahaja berhubung dengan ketua tagal. Apa yang pasti ia sangat berpatutan dan murah. jika dibandingkan dengan tempat lain.

 

 

HARI KETIGA

 

Saya melalui lagi momen yang sama seperti hari kedua. Walaupun berlainan arah sungai, hasilnya tetap mantap seperti mana anda boleh lihat melalui gambar-gambar yang tertera. Apa yang boleh disimpulkan melalui trip ini ialah ia betul-betul memuaskan hati semua geng-geng komplot.

 

Biarpun hanya dua hari memancing di sini, namun pengalaman bertarung dengan si raja sungai yang semakin sukar didapati di Semenanjung ini benar-benar memberikan impak kepada kami. Apa yang pasti, saya akan kembali lagi ke sini suatu hari nanti.

 

Published by
Amang