Apabila hasil pancingan di Empangan Banglang ini mula tersebar di media sosial oleh pemancing negara kita melangsungkan trip ke sana, seperti ada kuasa magnet yang kuat

menarik penulis untuk tidak ketinggalan mengutip pengalaman memburu sebarau Thailand pula.

 

Hasrat penulis seperti segera terkabul apabila ada rakan rapat berjaya menemui seseorang yang aktif mengatur trip memancing ke Empangan Banglang.

Tanpa bertanya lanjut tentang tempoh dan kos trip, secara spontan penulis terus cakap jadi!

 

Sejurus melepasi sempadan Pengkalan Hulu – Betong, seawal pintu sempadan di buka pada 7.00 pagi (8.00 pagi waktu Thailand), rombongan kami seramai 14 orang pemancing

dengan empat buah kenderaan, bersarapan dahulu di warung tepian sungai pergunungan dalam daerah Yala.

Soal makan minum malah bahasa pertuturan tidak menjadi masalah kerana majoriti penduduk di Yala beragama Islam dan fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan.

 

Sekitar jam 10.00 rombongan kami yang diketuai Neo Narul Ezam tiba di pangkalan rumah bot Sri BangLang yang diusahakan oleh penduduk tempatan, Burhang Ko.

Tanpa banyak melengahkan masa kami memindahkan barang kelengkapan ke rumah bot, menyiapkan peralatan memancing dan menaiki perahu atau bot pancung dengan enjin ekor biawak muatan dua orang pemancing, bersama seorang tekong.

 

 

Panorama dan bentuk geografi Tasik Empangan Banglang tidak banyak bezanya dengan tasik empangan di negara kita.

Ads

Justeru ia tidak menimbulkan rasa canggung kecuali perlu menyesuaikan diri buat seketika untuk casting di atas bot pancung yang kurang stabil untuk berdiri.

 

Saya tidak berharap sebarang sambaran apabila mula melontar gewang pada jam 12.00 tengah hari waktu tempatan.

Namun sebarau Banglang kelaparan tanpa mengira waktu. Rakan seperahu, Anhar membuka akaun sebarau Siam apabila mendaratkan seekor sebarau juvenil.

Seperti biasa, kami akan lepaskan kembali sebarau yang bersaiz kecil.

 

Di spot berikutnya gewang spingulf pertaruhan Anhar menerima sambaran sejurus naik hampir di permukaan.

Sebarau berskala 1.5kg itu segera didaratkan ke dalam perahu dan tekong kami, Sahak segera meminta kami agar tidak melepaskan kembali sebarau tersebut.

Dia mempunyai alasan tersendiri agar tidak melepaskan kembali sebarang tangkapan seterusnya nanti.

Kami akur dengan permintaannya tambahan pula kami memang tidak berhajat untuk melepaskan kembali spesimen sebesar itu.

Ads

 

Respon positif dari penghuni Tasik Banglang membuatkan kami enggan kembali  ke rumah bot untuk makan tengah hari walaupun hujan renyai mula turun.

Saya meminta tekong membawa kami ke sungai terdekat. Tekong menurut saja permintaan kami walaupun kedudukan sungai itu berada di dalam ‘kawasan orang Siam’.

Namun banyak masa dibazirkan berikutan tiada sebarang sambaran sepanjang alur sungai yang kian mengecil ke hulu.

 

Kami kembali ke kawasan tasik terbuka dengan menjadikan kawasan pokok-pokok mati, bahagian tanjung daratan dan dinding berbatu sebagai lokasi sasaran.

Selain itu saya turut banyak menghabiskan masa dengan mencuba pelbagai jenis gewang dan gaya aksi yang mampu membuka selera sebarau Siam ini.

 

Tidak tahan melihat gelagat tekong yang kerap menaikkan sebarau hanya menggunakan satu-satunya sesudu yang dibawanya, membuatkan saya akur demi mencari ‘lesen’.

Ads

Jika pulang ke rumah bot tanpa ‘lesen’ maka bernanahlah telinga dibahan rakan-rakan yang lain.

Dengan menggunakan sesudu klon ala Abu Island dan menggayakan dengan cara paling asas (rendam, jerk dan karau lajau), dalam masa singkat saya memperoleh `lesen’.

 

Sebelum matahari tenggelam, tekong sempat membawa kami ke satu spot yang dinamakan lubang pokok.

Sepohon pokok balak mati yang agak besar di mana terdapat lubang di perdunya yang dipercayai menjadi rumah untuk sebarau bermalam.

Beberapa ekor sebarau berjaya didaratkan di sini namun kami berdua lebih asyik melayan gewang permukaan dan banyak menerima sambaran walaupun seekor dua sahaja yang berjaya didaratkan.

 

 

 

Sesi hari pertama ini kami bukan saja tidak pulang untuk makan tengah hari malah antara yang lewat pulang.

Namun ia dirasakan amat berbaloi kerana kami bukan saja pulang dengan hasil terbanyak, malah memegang rekod spesimen terbesar juga.

Dan lebih indah lagi apabila ikan-ikan bersaiz kasar pada malam dijadikan juadah yang tidak akan ditemui di mana-mana jua kedai tomyam di Malaysia.

 

… bersambung.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI