Trip Mancing Disertai Makhluk Misteri

Share

 

Kisah ini berlaku pada saya dan suami kira-kira 12 tahun yang dulu. Lama dah tapi ingat sampai sekarang. Kami suami isteri memang minat memancing. Pada waktu itu saya, suami dan seorang adik angkat saya telah pergi memancing di tepi pantai.

 

Kami tiba di sana di waktu petang. Biasalah bila dah sampai sana apa lagi, kami pasang khemah dan menyiap barang-barang pancing kami. Tapi rupanya pada hari tu hujan turun tak henti setelah 3 jam kami berada di sana. Hujan berlarutan hinggalah ke lewat malam.

 

Kami memang berniat memancing 2 hari tapi keadaan begini mengundang kami pulang pada keesokan harinya. Bila malam tiba, biasalah kalau dah kaki pancing, masih memancing walau pun hujan turun.

 

 

Kami bertiga berteduh di dalam khemah dan kami biarkan kesemua 7 joran kami tersusun tegak di tepi pantai. Kami tidak tutup pintu khemah jadi kami boleh melihat hujan yang turun dengan lebat sekali. Walaupun hujan tapi suasana tak gelap sangat kerana pancaran dari lampu di jalanraya.

 

Dari khemah, kami masih boleh melihat joran kami di luar dari jauh. Bercahayakan lampu yang khas untuk khemah, kami semua duduk di dalam menghadap laut, sambil berbual dan berborak-borak, saya beralih pandangan ke joran kami.

 

Di dalam hujan, saya ternampak bahawa salah satu dari joran suami telah diangkat dan seperti seseorang sedang memancing ikan. Tetapi tidak kelihatan. Saya terus suruh suami dan adik angkat saya melihat.

 

 

“Korang tengok kat joran tu. Korang nampak apa yang aku nampak?”

 

Mereka terus diam. Suami pula lagi boleh buat lawak. Dia berkata, “Sudah biarkan. Tempat dah gelap. Harapkan lampu jalan. ‘Dia’ nak join pancing biarkan lah. Mana tahu dapat ikan. Mana tahu dia tak pernah try pancing pakai joran. Hehehe… Jangan tegurlah. Sekali dia jelma depan mata lagi satu kerja. Dah buat bodoh. Awak tu lemah semangat…”

 

Selepas suami kata begitu sambil kami memerhatikan joran itu, tiba-tiba seperti benda itu tahu yang kami melihat apa yang dia buat dan terus joran itu dia letak kembali semula ke tempat asal.

 

 

Ingatkan dah berhenti. Rupanya selang setengah jam dari kejadian itu satu dari joran saya pula dibuat main. Tapi joran saya semua ada saya letak loceng.

 

Jadi bila benda itu seperti bermain dengan joran saya, locengnya berbunyi. Selepas itu ia berhenti. Ia seakan-akan ingin mencuba semua joran itu.

 

Kelakar tapi menyeramkan kerana tidak dapat melihat. Inilah satu kejadian yang saya alami ketika memancing.

 

Published by
Amang