Trip Layan Apollo Meriah Ya Amat!

Share

 

Setiap kali kami datang ke lubuk ini, pasti ada tangkapan terbaik yang berjaya diperolehi dan menarik yang boleh diceritakan sepanjang memancing di sini. Jadi tidak hairanlah spot ‘rahsia’ yang terletak di perairan di antara Kedah dan Pulau Pinang ini menjadi kegemaran Pro Fishing Team TCE Tackles, lalu kami menggelarnya sebagai ‘Lubuk Puaka’.

 

Sudah menjadi kemestian, cuaca memainkan peranan yang terbesar untuk apa sahaja jenis trip memancing. Jika elok cuaca, pasti kemungkinan besar elok jugalah hasilnya. Tambahan pula, apabila di laut, jika hujan terlalu lebat lebih baik sekiranya tidak memancing. Manalah tahu keadaan air yang kuat bergelora ditambah dengan angin yang kuat boleh mengancam keselamatan pemancing.

 

TEKNIK APOLLO

 

Kami mengaplikasikan teknik pancingan apollo sebaik sahaja sampai ke destinasi. Teknik apollo ini merupakan ladung yang terletak pada bahagian bawah sekali. Jika tidak mahu kehilangan ikan, tangsi yang diikat kemas pada ladung mesti lebih halus sifatnya daripada perambut untuk mata kail dan tali utama.

 

 

Oleh kerana ladung mencecah dasar, peluang untuk tersangkut adalah berpotensi tinggi. Jika tersangkut, masih boleh diselamatkan kail dan ikan kerana tali lebih halus bagi mengikat ladung, akan putus terlebih dahulu.

 

GERUT-GERUT PENAMBAH CERITA

 

Memang diakui ikan gerut-gerut bijak dalam melarikan umpan yang telah digigitnya. Tidak digalakkan sama sekali menggunakan umpan dan mata kail yang terlalu berlebihan saiznya.

 

Seelok-eloknya mata kail yang ingin diaplikasikan tidak begitu besar. Begitu jugalah penggunaan tali perambut. Tali yang punyai kekuatan 10 – 15 lb sudah memadai untuk menjerat gerut-gerut.

 

Kami sempat memerhati keadaan air yang terbaik untuk pancingan ikan gerut-gerut adalah di mana airnya tidaklah terlalu berkelodak dan agak tenang supaya lebih seronok untuk mendaratkannya. Penggunaan sabiki ataupun apollo bersaiz 8 adalah yang terbaik dan cukup ideal untuk merencanakan strategi mendaratkan gerut-gerut.

 

 

Sepanjang mengaplikasikan kedua-dua teknik pancingan sama ada teknik apollo ataupun bottom (pancing dasar), kami langsung tidak menemui masalah. Mungkin faktor lapangan di sini sudah biasa kami jejaki sebagai bonus buat kami berjaya bertempur kemas dengan ikan sasaran.

 

Memandangkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan iaitu kelihatan jelas di langit awan-awan hitam berkumpul memberi pertanda hujan lebat, bagai memberi pertanda hujan lebat, ia jelas sekali menyuruh kami.

 

Kami berpakat untuk pulang awal dan segera menamatkan aktiviti pancingan. Walau bagaimanapun, sempat juga dari belakang bot Samson melayan kerenah ikan selar hasil aplikasi teknik pancingan apollo sebelum kami berangkat pulang.

 

 

Sememangnya trip di ‘lubuk puaka’ ini terpaksa kami rahsiakan lokasinya. Walau bagaimanapun, dari masa ke masa kami terus memberi aksi yang terbaik memancing di sini tidak kiralah pancingan apollo, dasar, tunda dan sebagainya.

 

Sebenarnya lubuk ini berkemampuan dan berpotensi mendaratkan pelbagai spesies ikan air masin. Untuk rekod, di sini kami pernah mendaratkan ikan kerapu bersaiz mega dan kami benar-benar merindui saat itu kembali dan berhasrat untuk mendapatkan yang lebih mega!

 

INFO!

 

Jika turun ke memancing di laut, jangan sesekali terlupa membawa apollo! Ini kerana selain digunakan untuk mencari ikan umpan dan kecil di unjam-unjam, penggunaan apollo juga amat efisien untuk mendaratkan ikan bersaiz sederhana (sila bawa beberapa saiz apollo).

 

 

Jika terlalu panjang (banyak mata apollo), anda boleh modifikasi dengan memotong tali apollo untuk memendekkannya. Selain mudah, ia juga menjimatkan masa.

Published by
Amang