Trip Kekili Berdesing Di Perairan Mersing

Share

 

Setibanya di Mersing, kami singgah sebentar di sebuah kedai menjual peralatan memancing. Beberapa peralatan yang dirasakan masih tidak mencukupi, segera kami topup. Tidak terkecuali umpan udang hidup dibeli sebanyak RM100 (170 ekor) sebagai taruhan selain bekalan makanan.

 

Selepas selesai memunggah barang ke dalam bot dan menyimpan kereta, bermulalah perjalanan trip ini yang akan dikemudikan oleh Tekong Rosli dan awak-awaknya Pak Mat Siren. Kami tiba di lokasi pertama sekitar jam 12.35 tengah hari dan masing-masing tidak sabar untuk melabuhkan pancingan joran mereka.

 

 

Tidak sampai 5 minit, kekili Banax GT4000 milik Haji Azmi melentur kuat sambil kami berdebar menanti apakah ikan lesen pertama yang dinaikkan. Tidak lama kemudian, seekor bawal cermin dalam skala 2 kg timbul di permukaan, sambil Hj Azmi tersenyum lebar.

 

Sedang Haji Azmi sibuk bergambar dengan ikan miliknya, Pak Mat Siren pula berteriak di bahagian depan bot sebelah kanan tekong. Pak Mat Siren berantakan melayan spesies yang menyambut ambornya ke kiri ke kanan dan akhirnya maka muncul seekor jemuduk berskala 3 kg.

 

 

Mahfiz yang duduk di belakang bot pula yang terkena karan. Mahfiz dengan cool melayan aksi spesies yang menyambut umpan udang hidup miliknya dan akhirnya beliau berjaya mendaratkan ebek berskala 4 kg.

 

Hotspot kedua.

 

Selepas makan, kami menyambung kembali tugasan. Laut kuat bergelora dan beberapa orang rakan termasuk saya ‘tumbang’ (muntah). Apa lagi kami semua masuk ke kabin mencari port untuk berehat dan tidur. Sebaik terjaga, bot tekong sudah pun sampai ke hot spot baru dan hari pun sudah beransur senja.

 

 

Rupa-rupanya geng di luar sedang rancak mencandat sotong. Tekong Ros agak sibuk membantu menyediakan umpan sotong segar dan selayang potong untuk jadikan umpan. Sebaik sahaja hari beransur gelap, Mahfiz yang sejak tidak putus asa jigging di belakang bot, kelihatan bergasak dengan ikan pemangsa.

 

Tidak lama kemudian kami dikejutkan dengan bunyi nyaring tali dari drag spool milik Mahmud yang keluar begitu laju. Selepas 30 minit bergasak, akhirnya spesies mega, iaitu pari seberat 27 kg berjaya dinaikkan.

 

Dalam dingin subuh, kami terus melayan. Haji Azmi yang menyepi sejak sekian lama, turut mendapat rezeki, kali ini ebek pula yang mendominasi tangkapan. Selang beberapa minit kemudian, giliran saya pula menerima tentangan dan berjaya menaikkan ebek seberat 3.5 kg.

 

 

Hotspot ketiga

 

Haji Azmi senyap-senyap telah mencangkukkan umpan anak ikan tamban hidup secara drift untuk tenggiri. Tetapi lain pula yang menyambar, spesies yang gemar membuat akrobatik di udara, sang belitung pula yang menyambar umpan. Selang beberapa minit melayan, Haji Azmi berjaya mendaratkan ikan belitung dalam skala 8 kg.

 

Seperti perancangan asal, pada jam 11 pagi, kami pulang ke darat sementara iaitu berehat di chalet Kampung Mukut di Pulau Tioman untuk tujuan merehatkan badan seketika sambil makan, solat, mandi dan melelapkan mata sekejap.

 

 

Selepas solat Asar,kami semua kembali ke bot untuk beraksi di hot spot keempat. Setibanya di lokasi, kami terus sahaja melabuhkan joran melayan teknik bottom dan jigging. Tidak  mengecewakan, apabila umpan dan teknik kami disambut rancak oleh spesies cupak sekitar 1-2 kg, jemuduk 1-2 kg dan tambak 1 kg.

 

Sedang seronok melayan asakan, tiba-tiba awan kelihatan gelap dan serentak dengan itu, angin menderu kuat menghampiri lubuk kami ini. Apa lagi kami semua terus sahaja lincah menggulung tali joran dan untuk berpindah ke lokasi yang selamat.

 

 

Bot kemudiannya dihalakan ke hotsport berikutnya. Di lokasi ini, ragutan kurang diterima. Sekian lama menanti barulah kedengaran kekili berbunyi nyaring. Kali ini tuah memihak kepada Rofizi yang telah lama menanti pagutan big gamenya dari hari pertama.

 

Dalam suasana remang senja, giliran Zul Gemang pula diuji. Joran PE 2-3 dengan gandingan kekili Shimano Sienna 4000 melentur agak teruk. Sehinggakan dia terpaksa dipegang semasa menahan asakan pemangsa. Selepas 20 minit bertarung, akhirnya seekor lagi pari seberat 22 kg berjaya dinaikkan dengan berumpankan potongan ikan selayang.

 

 

Menjelang tengah malam, sekali lagi trip kami diuji. Tiupan angin kencang tiba-tiba sahaja datang berserta hujan yang lebat. Pukulan ombak begitu kuat melambung bot kami. Waktu ini masing-masing telah mencapai jaket keselamatan dan berpaut di tempat duduk masing-masing.

 

Penutup trip

 

Sebelum menamatkan trip pada hari ketiga, tekong menyarankan kami sekali lagi melayan appolo dan pancingan bottom di sebuah unjam. Memang tidak terlayan dibuatnya, kali ini anak-anak kerapu dan anak merah bawah 1 kg mendominasi tangkapan.

 

 

Jam 9.30 pagi, trip ditamatkan dan semasa perjalanan pulang, kami semua membahagikan hasil tangkapan. Hasil trip memang berbaloi. Purata masing-masing embawa pulang satu setengah tong Coleman setiap orang yang penuh dengan pelbagai saiz dan jenis ikan.

 

Published by
Amang