Trip Kecebur – Set Pancing RM5K Terjun Laut ©

Share

 

Apa reaksi dan perasaan anda sekiranya set pancing kesayangan bernilai ribuan ringgit terlepas dari genggaman dan tercampak ke laut dalam sekelip mata?

Selain keselamatan diri, kelengkapan pancing juga perlu dikendalikan dengan baik agar tidak terjun ke laut ketika sedang bertarung dengan ikan berstatus monster.

Saya yang berada di lokasi kejadian hanya dapat menyaksikan set pancing rakan trip (Bobby) tenggelam dibawa pergi ke dasar laut oleh pemangsa yang tidak dikenali pasti spesiesnya.

 

Hasil terakhir sebelum ia terjun ke laut

 

Trip jigging perlahan bersama tekong Pak Ali di Port Dickson hari itu berjalan seperti biasa-biasa saja.

Malah seperti menampakkan petanda bakal pecah tong berikutan pada awal pagi lagi sudah ada ikan yang menyambar jig yang kami gunakan namun gagal didaratkan.

 

Setelah beberapa kali kejadian tali bersilang dengan pemancing lain, Bobby menyangkakan kejadian sama berulang.

Sejurus beliau bertanyakan perkara tersebut kepada pemancing lain, secara tiba-tiba set pancingnya direntap kuat dan dihenjut dengan deras.

Dalam keadaan tidak bersedia set pancingnya tergelincir dari genggaman dan tercampak ke laut.

 

Antara hasil lain hari itu

 

Saya sendiri dapat melihat set pancing itu terapung seketika di permukaan air namun agak jauh untuk dicapai. Kemudian, joran Temple Reef Levitate yang dipadankan dengan kekili Shimano Ocea Jigger Limited berserta power handle Livre tenggelam ke perut laut.

Menyedari apa yang berlaku, tanpa berlengah tekong mengarahkan kami berhenti jigging dan kembali ke lokasi tersebut dalam usaha untuk mendapatkan kembali set pancing yang lenyap di lautan luas dan dalam.

 

Sambil berhanyut di kawasan tersebut, kami berlima berusaha dengan cara tersendiri mencarinya.

Setelah tiga kali berhanyut di kawasan tersebut, usaha saya menyeret jig 250gm di dasar laut membuahkan sesuatu.

 

Namun sesuatu yang tersangkut pada mata kail itu dirasakan terlalu berat seumpama menarik sampah atau karang besar. Sesekali ada juga seperti tarikan berlaku.

Saya tidak menaruh harapan tinggi sehinggalah kelihatan ada tali pancing yang tersangkut pada split ring jig dan apabila tali pancing itu ditarik, maka muncullah set pancing yang dicari-cari.

 

Bobby kembali beraksi walaupun kekok menggunakan kekili kayuhan kanan

 

Sorak-sorai bergema di tengah lautan sejurus set pancing yang hampir satu jam tenggelam di dasar laut selamat kembali ke tangan pemiliknya.

Ternyata rezeki berpihak kepada pemiliknya. Saya sendiri sukar untuk percaya ia berjaya ditemui semula.

 

Setelah ianya selesai, kami meneruskan kembali berjigging mencari ikan pula. Biarpun tidak banyak hasil yang diperolehi, sekurang-kurangnya kami pelajari sesuatu yang baru pada trip tersebut.

Kami sudah tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya set pancing terjun ke laut.

 

Rezeki saya setelah berjaya menemui set pancing Bobby
Published by
Amang