Tidak lama dulu saya mengatur satu trip 3 hari 2 malam yang lebih memfokuskan kepada penggunaan teknik jigging untuk memburu jemuduk perairan Semarang, Sabah. Namun begitu peralatan dan kelengkapan pancingan dasar juga tidak ditinggalkan memandangkan perairan Sabah masih banyak penghuni dasar.
Untuk trip kali ini kami telah disertai oleh seramai 7 orang gandingan pemancing dari Sipitang dan Kota Kinabalu. Untuk persediaan, masing-masing membawa kelengkapan set jigging aksi mikro dan ringan dengan rod berkekuatan sekitar PE0.4 hinggalah PE3. Kekili pula bersaiz 2500 hingga 5000.
Dipadankan lagi dengan jig yang dibawa dalam pelbagai warna, saiz dan bentuk sekitar 28-80 gm. Untuk pancingan dasar pula rata-rata menggunakan kekili elektrik yang memang menjadi trend pada masa kini.
Walaupun sudah agak lewat, kami akhirnya bergerak dari jeti Kuala Penyu menuju Spot pertama sekitar jam 2 petang. Perjalanan yang mengambil masa sekitar 5 jam ke lokasi membolehkan saya dan Shuhairi mencuba teknik tundaan menggunakan gewang Rapala Magnum untuk menjerat spesies pelagik seperti tenggiri dan tuna. Namun tiada sambaran yang berlaku.
Dalam perjalanan, kami singgah di beberapa unjam untuk mencari umpan hidup. Biasanya pancingan dasar di perairan Semarang selalu menyasarkan spesies dari keluarga trevally, snapper, pari dan pelbagai spesies dasar lain.
Setibanya di spot pertama kami tidak membuang masa lantas terus menurunkan umpan sotong dan hirisan ikan basing untuk menjerat penghuni laut. Namun, trip kali ini menyaksikan ikan dasar agak kurang menjamah umpan. Mungkin disebabkan kurangnya arus bergerak lemah. Bagi yang kaki jigging, laju sahaja tangan melontarkan jig ke bawah sebelum mencuba pelbagai aksi mengunjun.
Dalam kepala masing-masing tidak kiralah spesies apa yang kena, asalkan ia aktif membaham. Namun ikan tenggiri, cupak antara ikan yang menjadi sasaran.
Lewat tengah malam, Syukhri memecah kebuntuan apabila dia yang mempertaruhkan set jigging mikro dengan tali sulam 10lb cukup bertuah apabila mendapat strike kasar. Lama juga aksi perlawanan tersebut sebelum cobia seberat 5.7kg berjaya ditewaskan.
Melihatkan Syukhri berjaya menaikkan ikan tersebut, kami bersemangat semula untuk meneruskan aktiviti jigging. Namun, malang selepas itu tiada lagi sambaran si bagak yang sudi menjamah jig walaupun aktiviti memancing diteruskan sehingga pagi.
Pada keesokan harinya sebaik selesai saran, kami mencuba teknik drift (umpan hanyut) pula memandangkan arus bergerak dengan cantik ke belakang bot. Teknik ini amat berkesan sekiranya ada arus sederhana laju. Biasanya umpan dilepaskan tanpa pemberat sejauh 50 meter atau lebih untuk memburu spesies yang suka merayau seperti tenggiri, barracuda dan GT.
Strike pertama yang sudi menjamah umpan hanyut adalah tenggiri seberat 4.5 kg. Selain itu spesies ebek juga berjaya diperdayakan selain bonus buat Shuhairi berjaya mendaratkan red snapper seberat 7.5 kg dengan kaedah umpan hanyut.
Selepas berjaya menewaskan red snapper, sekali lagi tuah berganda buat Shuhairi apabila umpan hanyut yang dilepaskan di belakang bot mengenai ikan layaran. Namun sayangnya tali perambut putus mungkin disebabkan tali perambut berkenaan yang telah bercalar sebelum ini. Lagipun memang bukan spesies tersebut yang kami sasarkan.
Selepas itu, kami meneruskan aktiviti sehingga pada malam hari. Apa yang boleh dibanggakan, Sting selaku tekong bot pula rajin menukar lokasi sekiranya sesuatu spot kurang mendapat sambaran.
Kegilaan berjigging memang sudah menjadi lumrah bila ada trip laut dalam, sejak dari hari pertama lagi rakan pemancing masing-masing berusaha menggunakan teknik dan skil yang ada untuk mencari hasil jigging yang akan menjadi trofi peribadi. Bermula dengan jigging malam yang rata-ratanya mempertaruhkan jig luminous, sehinggalah pada siang hari menggunakan pelbagai rupa bentuk dan warna jig.
Sepanjang hari, tidak kira siang atau malam, masing-masing sehabis daya mendapatkan strike dengan teknik jigging ini. Dan hasilnya bolehlah dikatakan begitu memberangsangkan apabila cupak, cobia dan bonito bersilih ganti kami naikkan. Walaupun ada yang terpaksa berputih mata apabila jig yang dihulurkan dicantas pemangsa bergigi tajam seperti tenggiri dan barracuda namun, semuanya berpuas hati dengan hasil yang diperolehi kali ini.
Pada hari ketiga iaitu hari penutup kami mengambil keputusan menamatkan trip pada jam 11 pagi dan bergerak untuk pulang. Mujurlah kami cepat bergerak pulang menuju ke jeti Kuala Penyu dan berjaya mengelak dari terkena ribut.