Trip Jenahak Bedal Umpan Udang Lipan, Umpan Besi & Umpan Getah ©

Share

 

Sudah agak lama saya tidak turun memancing bersama seseorang yang saya anggap sebagai sumber rujukan pancingan laut dalam.

Kali terakhir saya memancing dan bermalam di atas sampan Tamizam atau lebih mesra dengan panggilan Pok Mud sudah melebihi setahun.

 

Justeru apabila ada kelapangan masa untuk turun memancing bersama beliau, pastinya saya tidak akan lepaskan peluang begitu sahaja.

Apatah lagi pemancing yang akan turun memancing bersama Pok Mud kali ini adalah seorang tokoh eko pelancongan yang banyak membawa pelancong dari luar negara khususnya dari Eropah memancing di perairan negara.

 

Walaupun bukanlah tekong sepenuh masa namun pengalaman namun pengalaman Pok Mud sebagai pemancing dan tekong bukanlah baharu setahun jagung.

Perairan Perlabuhan Kelang atau Pintu Gedung, laluan kapal, paloh atau zeezone hinggalah ke sempadan antarabangsa, semuanya sudah lama menjadi padang mainan beliau.

 

jenahak normal yang pilih udang lipan

 

Hanya disebabkan beliau lebih selesa dengan pancingan dasar dan sampan yang digunakan juga direka bentuk bagi keselesaan menotok (teknik pancingan dasar berhanyut), maka populariti beliau di kalangan pemancing moden atau jigger kurang menjadi sebutan.

Namun ramai yang tidak menyedari pengalaman tekong-tekong pancingan dasar ini sangat efektif jika dimanfaatkan untuk trip jigging.

 

Hampir jam dua petang barulah kami berempat bergerak keluar dari Pangkalan Pengail menuju ke Pintu Gedung.

Sementara menanti arus bertukar lemah, manakala angin selatan masih bertiup kencang, kami berlabuh dan memancing di pintu selat terlebih dahulu.

Saya hanya memerhati Aziz Daud, Haji (kenalan Aziz Daud) dan Pok Mud memancing.

Aziz Daud dan kenalannya menerima strike namun berakhir dengan kekecewaan akibat rabut dan masalah teknikal. Apabila arus mula berubah, Pok Mud terus ke Pintu Gedung dalam keadaan angin selatan semakin menderu.

 

jenahak yang pilih untuk makan besi

 

Mereka bertiga menotok sementara saya pratikkan jigging perlahan di bahagian hadapan sampan.

Hanyutan pertama selepas melintasi beberapa zon potensi strike, Pok Mud membuka tirai tangkapan dengan mendaratkan seekor jenahak skala berat satu kilogram lebih menggunakan umpan udang lipan.

 

Tidak lama selepas itu, Pok Mud ulangi berhanyut di spot yang sama.

Kali ini saya lebih fokus berjigging dan ternyata berhasil. Jenahak hasil ‘umpan besi’ yang saya gunakan membuka mata Aziz Daud untuk mencuba umpan lain pula.

Satu joran beliau gunakan umpan udang lipan dan satu lagi joran beliau gunakan umpan udang tiruan (soft plastic shrimp lures).

 

jenahak yang pilih untuk makan udang getah

 

Hasil dari hanyutan seterusnya di spot yang sama lebih mengujakan.

Empat sentapan berlaku hampir serentak. Namun hanya Pok Mud sahaja yang berjaya mendaratkan.

Tidak lama kemudian, giliran udang getah yang digunakan Aziz Daud mengena. Walaupun saiznya agak kecil, namun itulah jenahak pertama yang didaratkan menggunakan udang getah tiruan di Pintu Gedung.

 

Begitu juga dengan jenahak yang saya daratkan. Menurut Pok Mud, saya merupakan orang pertama yang berjaya mendaratkan jenahak menggunakan jig di lubuknya itu.

Apabila arus bertukar deras, kami beralih ke lubuk yang lebih jauh ke tengah.

Namun sehingga hampir jam 11 malam tanpa tambahan hasil lagi, kami menamatkan trip dibuai angin selatan dan kembali ke jeti.

Published by
Amang