Perancangan trip menghulu sungai ini dibuat kira-kira 3 bulan sebelum trip. Kami semua dari group GEMPAK SOUTHERN HOOK JOHOR yang diketuai oleh Cip Alhad, manakala saya pula sebagai guide dalam trip ini.

 

Geng lain yang turut serta dalam trip ini ialah Jep Yatiman, Hafis, Hakim, Acai, Zul Kapan, Pak Haidan, Nawi Lejen, King Azman, Mok Faizal dan Zaki.

 

Pada tarikh yang dijanjikan semua geng berkumpul di jeti Loji Nitar, Mersing. Jam 8.00 pagi kami membuat sedikit taklimat sebelum Bertolak. Air sungai ketika itu adalah sangat cetek. Oleh kerana kami semua sudah sampai, trip ini kami teruskan juga.

 

Trip Gempak Memancing Lais

 

Segala Peralatan pancing dan kelengkapan lain kami masukkan ke dalam 6 buah bot fiber (1 bot 2 orang pemancing).

 

Kami juga membawa 2 unit gergaji berantai untuk memudahkan jikalau ada rintangan seperti pokok tumbang.

 

Jam 8.30 pagi kami bot mula bertolak menghulu sungai untuk ke lubuk ikan lais yang bernama Sungai Mati. Lubuk yang berada di hulu Sungai Lenggor, Mersing ini dikatakan tempat berkumpul ikan lais ketika musim air besar atau banjir. Bila air sungai surut semula maka ikan-ikan lais ini akan berkumpul dan terperangkap di sana.

 

Ads

Trip Gempak Memancing Lais

 

Perjalanan kami perlu berhati-hati dan perlahan kerana air sungai yang kecil dan cetek. Banyak tunggul kayu yang timbul. Kami perlu mengelak tunggul-tunggul kayu ini supaya tidak terlanggar bot dan mengakibatkan bot bocor.

 

Disamping itu juga banyak pokok tumbang yang merentang sungai. Dengan menggunakan gergaji berantai kami bergotong-royong memotong dan membuang pokok-pokok yang merentang sungai ini. Ini membuatkan perjalanan kami menjadi lebih lambat.

 

Apabila perjalanan hampir sampai di tempat yang dituju air sungai menjadi lebih cetek. Kami perlu turun dan menarik bot masing masing yang terkandas di dasar pasir. Ada beberapa tempat yang cetek dan kami perlu turun untuk menarik bot. Akhirnya kami sampai ke lubuk tersebut setelah 7 jam perjalanan.

 

Trip Gempak Memancing Lais

 

Ads

Kami segera memasang peralatan pancing dan terus memancing. Umpan yang kami gunakan adalah cengkerik. Memang betul ikan lais banyak di sana. Semua geng tak henti-henti menarik ikan ini satu persatu. Ikan lais saiz 3-4 jari banyak didaratkan.

 

Jam 6.00 petang kami naik ke darat di tebing lubuk tersebut untuk mendirikan khemah dan menjadi kediaman kami. Unggun api juga kami buat pada waktu malam.

 

Petang itu kami memasak bersama-sama. Selepas makan malam kami mencuba untuk memancing ikan baung. Namun hasilnya agak kurang memberangsangkan. Hanya 3-4 ekor sahaja ikan baung yang kami peroleh bagi setiap bot.

 

Trip Gempak Memancing Lais

 

Kami bertukar semula kepada pancingan ikan lais dengan menggunakan pelampung yang diikat light stick. Lais juga galak makan pada waktu malam. Pantang baling saja pasti pelampung akan cepat tenggelam. Jam 1.00 pagi kami pulang ke khemah untuk berehat dan tidur.

 

Ads

Hari kedua

 

Selepas sarapan, kami sambung kembali aktiviti memancing ikan lais di lubuk yang sama. Pada sebelah pagi juga ikan lais galak memakan umpan. Teknik memancing lais yang kami praktikkan ialah perambut stail apolo 2 mata. Mata saiz kecik no 12 Cap Helang sudah mencukupi. Batu ladung gantung saiz 4-6 sudah memadai. Jam 12.00 tengah hari kami kembali ke khemah untuk berkemas dan pulang semula ke pangkalan.

 

Trip Gempak Memancing Lais

 

Hasilnya… 6 tong ais ikan berjaya kami pancing. Semua geng sangat gembira dan kami anggap misi ini berjaya.

 

Perjalanan balik ke pangkalan lebih lancar kerana banyak rintangan pokok yang tumbang semalam telah dipotong.

 

Trip Gempak Memancing Lais

 

Namun salah sebuah bot kami terlanggar tunggul dalam air dan bocor. Nasib baik bot masih boleh dinaiki hingga selamat tiba ke pangkalan. Jam 4.00 petang kami sampai ke pangkalan sekaligus menamatkan sesi memburu lais hulu Sungai Lenggor.

Oleh: Wak Zairul

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI