Memancing di kelong atau rumah rakit merupakan salah satu aktiviti santai bagi para sahabat pancing yang inginkan suasana damai, rileks dan menenangkan perasaan. Tidak lama dahulu, saya berkesempatan mengikuti satu trip memancing di kelong.
Ini kali kedua kami sampai ke kelong ini di mana hasil tangkapan pada trip pertama agak memuaskan hati. Kali ini seramai 8 orang turut serta yang mana kebanyakan pemancing ini cukup sibuk dengan tugasan kerja. Mereka memilih untuk memancing di kelong. Pilihan mereka kali ini adalah kelong Persatuan Nelayan Kampung Teluk, Pasir Panjang, Port Dickson.
Ads
Kami bertolak dari jeti nelayan Kg. Teluk jam 5.00 petang. Memandangkan kelong ini tidak berapa jauh dari daratan maka perjalanan bot cukup mudah dan cepat. Kadar bayaran (pakej) bagi kelong ini sekitar hanya RM280 bagi 8-10 orang.
Kelong ini beroperasi dari jam 3.00 petang hingga 10.00, 3 kali seminggu saja iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Sebenarnya kelong ini masih dalam proses pembinaan. Belum sempurna sepenuhnya. Kemudahan asas seperti lampu dan toilet masih dalam pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya penghujung bulan ini.
Ads
Namun ini bukanlah halangan bagi pemancing yang dtg untuk melepaskan gian dalam erti kata menikmati sentuhan ikan. Segala peralatan dan makanan mereka bawa sendiri.
Bermula jam 6.00 petang para pemancing mula melabuhkan Joran. Mereka tidak menunggu lama untuk menaikkan tangkapan. Pelbagai spesies berjaya didaratkan. Antaranya gemang, semilang, gelama, gelama papan, tetuka, senangin, seludu, tetanda dan beberapa spesies lain.
Ads
Pada malam hari mereka memancing sambil menikmati juadah makanan yang dimasak ataupun yang di bawa sendiri. Suasana harmoni inilah yang mampu merapatkan silaturahim yang dipenuhi gelak tawa sepanjang hari.
Kami meninggalkan kelong jam 10.00 pagi keesokannya. Segala tangkapan dibahagi sama rata untuk dibawa pulang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Dikatakan pernah terdapat tujuh tempayan emas di atas gunung tersebut, namun ianya telah jatuh ke dalam Sungai Semantan akibat bah besar melanda. Begitulah penjelasan Abang Chik, guide kami menceritakan kisah di sebalik Lubuk Tujuh, destinasi memancing kami.
Lubuk Tujuh menurut cerita lisan, merupakan sebuah gunung yang tinggi. Kini telah menjadi rata dan mempunyai alur sungai hasil daripada penggabungan anak-anak sungai seperti Sungai Krau, Sungai Bentong, Gapoi dan lain-lain mengalirkan airnya terus ke Sungai Pahang.
Perjalanan menaiki bot dari jeti Kampung Pekan Lanchang mengambil masa sekitar 30 minit untuk sampai ke Lubuk Tujuh dengan buah bot fiber menggunakan enjin sangkut 9.9 kuasa kuda dan 15 kuasa kuda.
Sebelum tiba di lokasi, Abang Chik, sempat singgah di beberapa lokasi di tebing sungai, terutama di bawah akar-akar pokok yang menjalar ke gigi air untuk menyauk udang sungai untuk dijadikan umpan. Kami menjadikan beting sisir sungai sebagai lokasi tempat bermalam dengan mendirikan dua khemah.
Waktu malam hanya dipenuhi dengan aktiviti ‘sembang’ dan aktiviti memancing menggunakan teknik rendaman dasar menggunakan umpan anak ikan di kawasan hadapan khemah. Pemandangan yang terhad pada waktu malam menyukarkan sesi memancing sekiranya kami menggunakan bot.
Kayu dan sampah hanyut di sepanjang sungai dikhuatiri akan menyebabkan bot boleh terbalik. Malam itu, beberapa ekor baung berjaya didaratkan pada sesi pancingan malam menggunakan anak ikan.
Ridzuan yang bangun awal pagi cuba casting menggunakan gewang. Lontaran demi lontaran dibuat di sekitar tebing sungai yang berumput. Beberapa kali melontar gewang, akhirnya satu sambaran diterima sebaik sahaja gewang betul-betul melalui satu rumpun kangkung yang berada di tepi sungai.
Lantas Ridzuan menyentap dan mengangkat joran ke posisi yang lebih tinggi bagi mengelakkan lariannya ke kawasan yang berumput. Tewas sang haruan dalam skala 1 kg.
Sesi pancingan diteruskan. Tumpuan sudah tentulah balingan ke arah lubuk yang dalam. Namun, balingan tepat ke lubuk banyak diakhiri dengan episod duka iaitu mudah sangkut di celah ranting dan reba kayu yang terperangkap di dasar.
Kerap kali ragutan diterima dan jika lambat sahaja saja, alamatnya leburlah mata kail dan batu ladung. Situasi sukar diduga ini amat memerlukan ketangkasan dalam mengawal larian ikan.
Asri yang menggunakan umpan cacing ketika itu membuat lontaran kebahagiaan sisi lubuk dan memegang joran tidak mengambil masa yang lama untuk mendarat seekor spesies baung berat sekitar 1.2 kilogram.
Saya turut tidak ketinggalan, cuba untuk casting, sambil-sambil menunggu umpan pancingan dasar di getu sang ikan. Tiba-tiba terlihat riak air di sekitar reba kayu, menandakan ada ikan pemangsa yang sedang cari makan.
Dengan menggunakan gewang Rapala shad rad- redhead saya cuba casting sebaik mungkin ke sport tersebut. Lantas satu deburan kuat dan serentak itu juga, gewang yang dilontarkan ditarik kuat oleh ikan. Dek kerana air yang keruh, pada awalnya sukar untuk memastikan apakah ikan yang terjerat.
Walaupun sangkaan saya badong, kerana ia kuat melawan, belida yang saya anggarkan melebihi berat 1 kg ini cukup memuaskan hati saya.
Memandangkan Sungai Semantan, adalah salah satu cabang sungai yang bertemu dengan Sungai Pahang, patin adalah satu lagi spesies yang kami idamkan. Berbekalkan umpan buah ara sebiji dan dicangkukkan di mata kail, saya melabuhkan umpan di lubuk kedua yang tidak jauh dari pokok buah ara yang sedang gugur.
Saya menggunakan buah ara yang masak ranum dan mempunyai bau yang sangat harum. Bau yang kuat akan menarik sang patin untuk menjamah umpan. Selain patin, buah ara juga adalah umpan terbaik untuk memancing kelah.
Caranya, mata kail perlu dicucuk ke dalam buah ara dan hanya sedikit hujung mata kail terkeluar. Gunakan batu ladung bentuk buah kana sebagai pemberat. Saiz batu ladung pula perlu mengikut arus sungai.
Di lubuk ini saya berjaya mendaratkan seekor patin sungai skala 1.8kilogram setelah hampir satu jam menunggu. Ternyata percaturan pemasangan umpan dan pemilihan lubuk yang tepat menjanjikan hasil dan kepuasan yang maksima.
Lewat petang, kami bersiap pulang. Ternyata walaupun air Sungai Semantan sentiasa keruh, ia sebenarnya kaya dengan pelbagai spesies hidupan di dalamnya. Pendek kata kesabaran adalah kunci kejayaan jika berhasrat ingin menaikkan spesies rare Sungai Pahang.
Sekitar jam 8.30 pagi kami memulakan perjalanan menaiki dua buah bot. Saya dan Ame menaiki bot yang dikemudi oleh Nazri manakala Yeo yang mengemudi bot satu lagi bersama Asri dan Amir untuk menyelongkar khazanah Tasik Chini. Kedua-dua bot dipacu sederhana laju menghala ke sebelah kiri jeti.
Setelah perjalanan hampir 10 minit enjin dimatikan dan kami meluncur sambil berdayung merapati kawasan rumput-rumput kelecut yang kekuningan. Beberapa kali lontaran, Nazri yang pertama menerima sambaran.
Bunyi hentaman yang kuat menandakan toman saiz bagak yang menyambar tapi sayang ‘longkah’ di pertengahan jalan. Kami terus berdayung menyusuri lorong-lorong di celah mengkuang dan rasau sambil joran dihayun dalam usaha menghantar gewang ke arah kawasan yang diharapkan berpenghuni.
Mimix shockwave corak ikan koi yang saya lontar pula disergap. Padanan joran Expert Graphite Blue Carbon 10-20lb dengan kekili Ryoga 1016 yang dimuatkan tali sulam Tufline XP 30lb berjaya mengekang larian si toman yang cuba ‘main kotor’ dengan menuju ke dalam perdu mengkuang.
Hasil sulung trip ini dicangkuk kemas dan dinaikkan ke atas bot. Usai mengabadikan sekeping dua gambar sebagai ‘bahan bukti’ ia dilepaskan semula bagi meneruskan kehidupannya.
Enjin dihidupkan kembali dan Nazri selaku tekong memerhati sekeliling sambil mengemudi bot. “Sana.. sana. Nampak tak anak toman tu?” Ujar Nazri sambil menunjuk ke sebelah kiri bot.
Sebaik menghampiri kumpulan anak-anak toman yang masih merah itu, buzzbait milik Ame berwarna pink yang dikarau laju terus diterkam. Sang mama yang cantik berwarna kehijauan terang tertancap kemas.
Menurut Nazri yang biasa casting toman di sini, cara permainan toman di Tasik Chini berlainan sedikit dengan tempat-tempat lain. Jika gewang dilontarkan ke tengah ‘highway’ atau menunggu toman mengambil udara baru melontar gewang alamatnya berjanggutlah kerana toman-toman di sini mendiami di kawasan yang cetek.
Spot pilihan seperti di tepi rimbunan kelecut dan rasau, di celah lorong-lorong mengkuang dan paling mencabar spot yang agak hardcore yang pastinya dihuni banyak toman bersaiz kasar iaitu di celah–celah tunggul mengkuang mati.
Tunggul-tunggul yang berceracak dan di dalam air pula berselirat dengan batang serta akar mengkuang pastinya menjadi tempat yang selesa bagi sang toman beristirehat sambil memerhati mangsa yang lalu.
Bagi para caster yang mengidam dentuman padu sanggup mengambil risiko dengan spot yang sebegini. Apa yang membuat saya bersemangat ialah kata-kata Yeo, “Yang penting ikan mau sambar. Macam mana nak tarik keluar, kita ikhtiar kemudian”.
Tengah hari kami berehat seketika, naik ke jeti. Masa keemasan ini ada yang mengambil kesempatan melepaskan lelah seketika dek kepanasan berada di tengah tasik. Usai solat jamak dan nasi pun sudah turun ke perut, kami menyambung kembali misi pencarian toman Tasik Chini. Sesi petang bertambah meriah lagi dengan kehadiran sebuah lagi bot yang dinaiki oleh Masri dan Ijad.
Nampaknya permukaan tasik sudah mula kucah dek tiupan angin. Gewang jenis kecoh dikeluarkan dari lurebox. Jumpfrog, buzzbait dan popper berperanan dalam situasi sebegini. Kali ini saya menaiki bot yang di kemudi oleh Yeo pula. Gumum antara ‘spot laut’ yang disarankan oleh Yeo untuk dicuba. Beberapa sambaran yang menggoncang dada berlaku di Gumum. Asri yang mengambil tempat di haluan bot paling banyak mendapat sambaran.
Gewang selaman tidak dapat diperturunkan nampaknya. Rata-rata ahli trip yang casting kali ini membawa gewang jenis permukaan (top water). Tidak dinafikan keracunan apabila dentuman sambaran yang memercikan air dipermukaan tasik dapat dilihat sendiri membuatkan ramai caster lebih suka ‘bermain’ dengan gewang permukaan.
Saya dan rakan-rakan memilih buzzbait pada trip ini kerana aksinya yang memang bising dan kecoh. Terbukti keberkesanannya menjerat sang toman lagipun harganya tidaklah mahal. Kalau putus direntap toman tidaklah ‘terasa’ sangat.
Sesi petang agak kureng hasilnya berbanding pagi terutama ketika matahari sedang mula menampakkan diri. Bagaimanapun tasik ini masih berpenghuni. Tidak rugi sekiranya para caster hendak menduga penghuni Tasik Chini kerana toman masih banyak.
Menurut Nazri sebarau pun ada kat sini. Kalau bernasib baik, silap-silap ‘badong’ pun boleh sambar gewang anda. Pasti senyum terukir sampai ke telinga. Tapi apa pun, harus kita ingat, kita sebagai pemancing kalau boleh yang sedang-sedang, seekor-dua boleh ambil makan.
Menurut laporan Sinar Harian edisi Pahang kelmarin, dua lelaki yang sedang memancing di atas Jambatan Sungai Endau, di sini, maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di kilometer (KM) 159.5 Jalan Kuantan – Johor Bahru sekitar jam 1.35 awal pagi (Ahad).
Pemancing malang dikenali sebagai Mohd Fadhlan Mohd Shahidi, 32, berasal dari Pekan dan Mohd Misran Mohd Daim, 44, berasal dari Mersing, Johor.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor yang dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berusia 30 tahun itu dalam keadaan mabuk sebelum terbabas melanggar kedua-kedua mangsa ketika melalui lokasi kejadian.
“Pemandu telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin untuk siasatan lanjut manakala mayat kedua-kedua mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat,” katanya.
Sementara itu melalui akaun Facebook Mohamad Hafidin Daim (adik kepada Allahyarham Mohd Misran Mohd Daim (Mees River) turut menyatakan kebenaran berita ini dan telah mengesahkan Allahyarham abangnya itu telah selamat dikebumikan di Felda Nita 1 selepas zuhur kelmarin.
Menurut para kenalan Mohd Misran, Allahyarham merupakan seorang pemancing udang galah yang sangat berpengalaman dan pemergian beliau adalah satu kehilangan yang sangat besar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...