Dua hari sebelum trip, hampir seluruh negeri menerima hujan sepanjang hari sehinggakan ada beberapa kawasan dan negeri banjir.
Di Lembah Klang pula walaupun tidak lebat namun hujan berterusan dari siang membawa ke malam.
Cuaca yang hampir sama berlaku di Teluk Kemang yang menjadi lokasi padang pancing kami.
Justeru kami berempat tidak menaruh harapan tinggi trip jigging pada tarikh 25 Rabiul Akhir itu bakal membuahkan hasil lumayan.
Namun jangkaan kami ternyata jauh meleset. Mungkin kerana cuaca sedemikian membuatkan penghuni lautan kelaparan.
Lubuk pertama yang menjadi persinggahan tekong Shariman ternyata berpenghuni. Jig rakan kami, Azmi menerima sambaran kasar namun mangsa berjaya meloloskan diri.
Yakin mangsa yang rabut itu ialah `bantal’ atau jenahak bersaiz kasar, Shariman kembali berhanyut di lubuk berbeting tersebut.
Kali ketiga memasuki lubuk tersebut, giliran saya pula menerima sambaran. Tidak sampai seminit kemudian Shahrulnizam turut sama menerima sambaran.
Menyedari kejadian rabut atau lucut boleh menyebabkan impak negatif, kami berdua perlu bersabar melayan aksi benam mangsa yang dipercayai adalah bantal.
Tidak lama kemudian dua ekor bantal selamat didaratkan!
Setelah tiada sambaran lagi di lubuk tersebut, tekong Shariman segera ke lubuk utama sasaran trip – lubuk gerepoh atau giant trevally (GT).
Hanyutan kali kedua di lubuk berolak itu, Shahrul Nizam sekali lagi menerima sambaran. Melihat pada kesulitan Shahrulnizam mengekang tentangan yang diberikan mangsa kami percaya ia bukan sekadar GT tapi GT yang betul-betul giant.
Beberapa minit bertarung keputusan berpihak kepada mangsa.
Melihat pada sisik yang tertinggal pada salah satu assist hooks milik Shahrulnizam itu sudah cukup membuktikan mangsa adalah giant GT.
Kami kembali berhanyut di lubuk berkenaan dan jig 120 gm yang saya gunakan menerima sambaran ketika sedang jatuh.
Agak cuak juga saya pada awalnya kerana bimbang set pancing saya tidak mampu bertahan sekirnya mangsa itu adalah giant GT.
Mujurlah mangsa tersebut hanyalah GT anggaran saiz dua hingga tiga kilogram sahaja. Selepas daripada itu bertalu-talu kami menerima sambaran sehingga hampir kami berlima menerima sambaran secara serentak.
Sekitar jam dua petang dan arus mula berubah, kami tinggalkan lubuk tersebut setelah hampir dua puluh ekor GT dan talang kami daratkan.
Sebelum kembali ke pangkalan, sekali lagi kami singgah di lubuk pertama yang menghasilkan dua ekor bantal.
Mungkin disebabkan perubahan arus lubuk berkenaan sunyi sepi tanpa penghuni.