Trauma Disampuk Lembaga Ngeri Ketika Mancing

Share

 

Kami melontar umpan ke lubuk. Sambil menunggu umpan diragut umpan, kami memandang sekitar lubuk. Kelihatan beberapa orang sedang leka dengan pancing masing-masing. Ada juga yang sekadar menonton. Harap-harap kali ini kami semua akan berhasil, InsyaAllah.

 

Matahari sudah mula terbenam, namun joran kami masih belum terusik. Hanya riak halus air yang kelihatan. Seolah-olah tiada ikan-ikan besar yang hidup di lubuk itu. Lubuk itu juga hanya tinggal kami, pemancing lain sudah pun balik apabila senja.

 

Sesudah beberapa kali juga mengganti umpan yang baru walaupun umpan sebelumnya bagaikan tidak disentuh langsung. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu. Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik.

 

Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing. Namun hasilnya tetap sama, tak ada hasil langsung.

 

 

“Isy… kenapa tak ada seekor pun naik ni?” bisik hati aku.

 

“Belum rezeki agaknya…” Aku terus berdialog sendirian.

 

Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter dari tempat aku duduk. Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air.

 

“Apa tu aaa…? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu.” Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan. Bimbang juga aku nak menegur sesuatu yang kelihatan pelik.

 

Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan-lahan membentuk satu objek lain yang sesungguhnya menyebabkan aku tergamam. Jelas di hadapan, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai.

 

 

Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pak cik aku yang tadi berada tidak jauh dariku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut. Lembaga tersebut mengerbang-ngerbangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arah aku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut.

 

Tiba-tiba aku rasa seluarku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.

 

“Lan! Lan oii…! Kau tengok apa tu?”

 

Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur.

 

Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekelilingku.

 

Pak cik aku terus memanggil-manggil namaku. Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya pandangan mata aku menjadi gelap. Aku pengsan.

 

Apabila aku kembali membuka mata, aku dapati sudah berada di rumah. Kelihatan ibuku berada di sebelahku.

 

 

“Mana pak cik?” spontan aku bersuara.

“Pak cik ada kat luar tu…” ibuku menjawab.

 

Aku rasakan badan aku begitu lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah. Pak cik aku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.

 

“Kau kena sampuk semalam agaknya”. Pak cikku bersuara sambil tergelak kecil. Aku masih terpinga-pinga. Memori macam belum pulih sepenuhnya.

 

Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya. Dia terus menggulung semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.

 

Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut. Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam. Mungkin aku dah trauma agaknya.

Published by
Amang