Petang itu cuaca agak terang dan laut juga tenang walaupun air laut sudah surut sedikit. Siap semuanya, kami memulakan perjalanan menuju ke destinasi yang sudah ditetapkan oleh Pak Seman sebelum ini. Kami memang percaya dengan kepakaran Pak Seman dalam menentukan lubuk yang mempunyai ikan jenis gred A. Maklumlah, Pak Seman 20 tahun berpengalaman bergelumang laut dalam.
Perjalanan menuju ke lubuk idaman mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Kesempatan itu saya mengambil kesempatan untuk melabuhkan badan di dalam kabin.
Bot yang terbuai akibat alunan ombak membuatkan saya benar-benar di alun mimpi indah. Benar kata orang-orang tua, tak baik tidur selepas asar. Tidur saya petang itu walaupun nampak nyenyak pada pandangan mata kasar namun saya gelisah sebenarnya akibat mimpi ngeri yang dialami.
Dalam mimpi itu saya ternampak bot yang saya naiki dimasuki oleh makhluk besar seperti sotong kurita yang besar. Saya juga nampak dengan jelas bagaimana Man Toya dibelit oleh makhluk berkenaan sebelum dibawa masuk ke dalam laut. Saya terbangun sambil beristighfar panjang dan meludah sedikit ke sebelah kiri.
Saya meraup muka sambil memandang sekeliling. Sudah gelap rupanya. Jam di tangan menunjukkan jam 7.45 malam. Maghrib sudah masuk. Saya bergegas mengambil wuduk. Ketika itulah saya bertembung dengan Man Toya dan Izzat yang sudah melabuhkan joran di belakang bot. “Lena betul kau tidur, tak sampai hati aku nak kejut” kata Man Toya sambil tersenyum ke arah saya.
“Aku letihlah…” jawab saya ringkas. Selesai solat, aku mengambil tempat di sebelah Nasha. Dengan menggunakan set sekili Tica Taurus 6000 dan joran Shimano Beast Master, saya mengharapkan dapat menaikkan ikan tenggiri bersaiz besar. Dengan teknik drift berumpankan tamban hidup, joran saya disentap oleh tenggiri bersaiz 10 kilogram. Naik lenguh juga tangan saya ketika ‘pertarungan’ menaikkan tenggiri itu ke dalam bot. Alhamdulillah, tercapai juga impian untuk mendapatkan tenggiri.
Menjelang tengah malam, tangkapan kami menjadi semakin berkurangan dan Pak Seman mengambil keputusan untuk menukar lubuk. Perjalanan ke lubuk kedua ini mengambil masa selama hampir 1 jam. Saya berbual dengan Man Toya, manakala Nasha tertidur
Laut yang tadinya tenang tiba-tiba bergelora akibat hujan lebat yang turun berserta ribut petir yang disertai dengan angin yang kuat. Bot yang kami naiki membuai tinggi mengikut alunan ombak yang tinggi. Kami semua terpaksa berpaut di dalam bot.
Air laut juga sudah mulai masuk ke dalam bot. Situasi mencemaskan ini mengingatkan aku pada kisah-kisah tentang pelayaran di laut dalam. “Ribut besar! Pakai jaket keselamatan” pekik Pak Seman. Dia sedang bertungkus lumus menjaga stereng. Aku dapat lihat wajah Pak Seman cemas dengan keadaan yang tidak terduga itu.
“Ini angin tenggara!” kata Izzat separuh menjerit. Aku percaya dengan kata-kata Izzat kerana dia adalah anak nelayan yang dibesarkan dengan laut.
Bot yang kami naiki terumbang-ambing dipukul ribut. Hatiku resah dan sedikit takut. Tiba-tiba aku ternampak Man Toya berlari ke belakang bot. Mungkin mahu menyelamatkan jorannya. Aku memekik memanggil nama Man Toya dalam keadaan hujan lebat dan angin yang berdesir kuat.
Tiba-tiba entah mana datangnya, aku ternampak ombak besar berbentuk jejari sotong kurita bagaikan ‘merangkak’ naik ke dalam bot lalu cuba menarik apa saja isi yang ada di dalam bot keluar. Pada masa yang sama Man Toya yang sudah berjaya mencapai jorannya sedang berusaha untuk berjalan masuk ke dalam kabin. Ketika itulah ombak berbentuk jejari sotong kurita itu ‘mencapai’nya lalu menariknya ke dalam laut.
Aku, Izzat dan Nasha terpaku menyaksikan peristiwa yang berlaku di hadapan mata kami. Tiga saat selepas itu baru aku tersedar dan terus melaungkan azan sebanyak tujuh kali. Ribut beransur tenang dan kami berlari ke tepi bot untuk mencari kelibat Man Toya di dalam laut yang masih bergelora namun kelibatnya sudah tidak kelihatan lagi.
Hampir tiga jam kami mencari-cari Man Toya namun tetap tidak berhasil. Pak Seman memaklumkan tentang kecelakaan itu kepada pihak berkuasa. Menjelang jam enam pagi, bot kami dihampiri oleh bot maritim dan gerakan mencari diperluaskan lagi kawasannya namun, jasad Man Toya masih belum dijumpai.
Waktu kami pulang ke jeti, orang ramai sudah memenuhi kawasan itu dan kepulangan kami disambut dengan soalan yang bertubi-tubi dan air mata daripada kaum keluarga Man Toya.
Badan yang letih dan hati yang sedih membuatkan kami tidak mampu untuk menerangkan apa-apa. Hanya kepada pihak berkuasa kami membuat laporan tentang peristiwa kemalangan yang berlaku. Sudah dua tahun berlalu sejak kejadian ini. Jasad Man Toya masih lagi bersemadi di dalam perairan di kawasan Sedili.
Aku, Nasha dan Izzat tidak lagi keluar memancing. Hobi kami bertukar terus sejak tragedi yang berlaku. Ada kala, pada satu-satu ketika, aku terfikir sama ada mimpi yang aku alami sebelum kejadian itu adakah merupakan satu amaran atau sekadar mainan tidur menjelang senja. Dan hingga kini juga, tiada jawapan pada persoalan itu!