Toman dipancing dengan pelbagai kaedah. Sama ada menerusi teknik pancingan dasar, apungan atau mengilat. Pelbagai umpan juga boleh digunakan untuk memancing toman. Ikan hidup, hirisan ikan, belut, katak atau umpan tiruan. Dari pelbagai teknik dan umpan, mengilat atau casting menggunakan umpan tiruan atau gewang merupakan kaedah paling popular dan dikuti ramai.
Abaikan persoalan mengilat toman menggunakan set spinning atau baitcaster yang manakah lebih praktikal dan menyeronokan. Begitu juga gewang jenis apa yang afdal untuk casting toman. Sama ada gewang permukaan, gewang minnow atau crank, gewang selaman cetek atau dalam, sesudu, katak kayu atau getah, atau pelbagai jenis spinnerbait.
Sebaliknya, apa yang menjadi topik yang ingin dibicarakan ialah… Apakah gewang mahal berstatus tahyul saja akan disambar oleh toman??
Bagi pemancing yang baru berjinak-jinak dengan sukan memancing toman, antara dilema yang sering dihadapi adalah bajet untuk membeli gewang. Apatah lagi apabila harus berkomplot dengan masta-masta caster yang taksub pada gewang-gewang tahyul berharga tinggi untuk mengilat toman.
Gewang dengan nilai RM50 dan ke atas bolehlah dilabel sebagai gewang mahal. Tidak semua pemancing mampu untuk melabur dengan bajet sekasar itu demi menjerat seekor toman yang berkemungkinan akan menjahanamkan terus riwayat gewang tersebut.
Bagi membincang perkara ini, berikut merupakan pendapat dan buah fikiran pemancing yang sudah sekian lama berkecimpung dalam arena mengilat toman.
“Apa yang ada pada gewang mahal juga terdapat pada gewang murah. Bezanya yang paling ketara adalah dari segi renangan serta bahan atau material yang digunakan.
Ditambah pula dengan corak dan warna yang sangat menarik telah mempengaruhi pertimbangan para pemancing. Terdapat banyak pilihan gewang harga murah di pasaran yang perlu anda cuba keberkesanannya.
Yang penting anda mampu menggayakan gewang itu sendiri bersesuaian dengan lokasi dan jenis gewang itu sendiri. Toman lazimnya tidak terlalu memilih jika anda menggunakan sebarang jenis gewang. Yang paling penting bagaimana anda persembahkan gewang.
Gewang juga tidak melakukan aksi gaya renangan secara automatik. Tanpa bantuan dari pemain yang berpengalaman, gewang mahal seperti tidak bernilai.
Jadi, pendapat yang mengatakan toman hanya boleh dipancing dengan gewang mahal adalah tidak tepat sama sekali.”
- MASAI CASTER SHARPER
“Kalau mampu pakai yang mahal, pakailah… kalau tak mampu, gewang pun jadi jugak. Tentang gewang mahal dan murah ni susah sikit nak cakap. Orang ni banyak macam.
Kalau yang suka pakai yang jenis mahal mungkin salah satunya adalah kerana kualitinya, lain pada yang lain, nak tarik tarik perhatian orang pun ya.
Mungkin juga minat dia mengumpul barang-barang berjenama… tapi yang murah pun tidak ada kurangnya jugak. Cuma kena la pilih-pilih sikit.
Murah tapi ada kualiti… mengikut atas kemampuan la. Kesimpulannya, terpulanglah pada pengguna nak pilih mana yang bersesuaian.
Tapi hakikatnya semua gewang ikan hentam. Asal ada aksi renangan yang bersesuaian dengan ikan yang diburu dan juga teknik individu.
Purata boleh dikatakan 70% skil individu yang mendapat strike termasuk bijak melihat keadaan tempat, cuaca, air dan persekitaran yang untuk menggunakan gewang apa ketika itu.”
- TOPIK KUMPAW