Tobat Nak Mancing Lagi Di Lubuk Tobat

Share

 

Kisah ini diceritakan oleh seorang rakan yang sememangnya seorang kaki pancing tegar. Ia sudah lama berlaku di negeri Selangor. Begini ceritanya…

 

Tengah hari yang cerah, cuaca yang baik untuk pergi ke Lubuk Tobat. Matnoor dan Bob menyiapkan persiapan mereka untuk memancing ikan tengas. Di Lubuk Tobat memang terkenal dengan ikan tengas yang besar sehingga mencecah lebih 3kg.

 

Perjalanan bermula dengan menaiki motosikal dan bersambung dengan berjalan kaki di tepi jeram sungai mendaki bukit untuk sampai ke lubuk tersebut. Pada jam 2 petang mereka tiba di Lubuk Tobat dan agak memenatkan, mereka pun merehatkan diri di tepi jeram sungai sambil menyiapkan kelengkapan untuk memancing tengas.

 

 

“Letak je dah lekat ikan tengas,” kata Matnoor pada Bob dengan senyum melebar. Memang lapar betul ikan tengas di sini. Matnoor dan Bob asyik menaikkan ikan tengas yang boleh tahan saiznya.

 

Tidak lama kemudian ikan semakin kurang menyambar umpan. Bob mula naik mencari port yang lebih sesuai lebih tinggi dari port yang dipancing oleh Matnoor.  Biarlah Matnoor seorang diri terus melayan di lubuk tersebut.

 

Tidak sampai setengah jam, Matnoor melihat Bob berlari bergegas turun dari celah-celah batu sungai menuju ke arah Matnoor. Sebaik sahaja sampai di tepi Matnoor, Bob menepuk bahu Matnoor sambil bersuara cemas.

 

 

“Mat… jom blah!”

 

Dengan tiba-tiba, selepas ditepuk oleh Bob, Matnoor melihat keadaan sekeliling menjadi gelap gelita, mereka memang terkelu melihat keadaan sekeliling, mereka merasakan keadaan baru jam 4 atau 5 petang, tetapi jam di tangan menunjukkan pukul 10 malam.

 

Keadaan yang gelap di hutan tebal, yang tidak ada kampung yang berhampiran. Mereka pula tidak membawa sebarang lampu, dengan hanya pemetik api rokok yang dijadikan lampu untuk menyuluh mereka pulang ke bawah. Dalam serba kepayahan dan mendebarkan mereka berjaya juga keluar dari kawasan tersebut.

 

 

Sehingga ke hari ini, Bob dan Matnoor masih mengatakan mereka baru sahaja tiba di Lubuk Tobat, tetapi hari sudah gelap dengan tiba-tiba. Memang sukar untuk diterima oleh akal. Mujur tak disesatkan atau hilang begitu saja.

Published by
Amang