Memancing haruan tidak memerlukan set yang terlalu berat dan mahal. Bagi set joran, lebih bagus jika menggunakan set ringan dan sesuai tahap lenturannya.
Ini kerana, kesesuaian joran membantu dalam proses membaling dan menarik. Memancing haruan memerlukan proses baling tarik , jika set joran agak berat, setengah jam sahaja pemancing akan surrender mencari haruan.
Saya sendiri menggunakan joran 6″6′ panjang, medium heavy action, line 10-20 lb. Sehingga kini joran ini masih kental melawan tarikan sang haruan.
Sekiranya haruan yang dicari hanya sekitar 2lb ke bawah iaitu hampir 1kg, pemancing boleh menggunakan mesin pancing bersaiz kecil sahaja.
Jika bersaiz mega, saiz mesin yang lebih besar perlu digunakan. Tetapi, ketika memilih mesin pancing haruslah memeriksa beberapa perkara:
1. Panjang tali yang boleh diisi ke dalam spool
2. Jenis spool – pilih yang bahagian atas spool menyerong, bukan mendatar. Hal ini boleh membantu melancarkan proses membaling umpan secara tidak langsung umpan akan dapat mencapai jarak semaksimum mungkin .
3. Harga dan jenama yang bersesuaian – jangan terlalu murah, khuatir sekiranya mesin tidak tahan lama. Selalunya masalah pada bearing kerana tidak dapat menampung beban tarikan haruan.
Sebagai pemancing haruan tegar, kita semestinya mahu umpan yang dibaling mencapai jarak semaksimum mungkin. Kalau boleh sampai habis tali… hehehe.
Oleh itu tali yang digunakan haruslah tepat. Saya menyarankan agar menggunakan tali jenis benang (braided). Ini kerana tali benang lebih halus dan lancar dalam proses pancingan.
Tali tangsi biasanya agak kasar dan diameter besar. Secara tidak langsung akan mengganggu dalam proses membaling umpan.
Ketika membeli tali, perhatikan diameter atau ketebalan tali. Ini kerana tali yang halus lebih lancar dalam proses balingan. Saya sendiri menggunakan tali benang 50lb, diameter 0.27.
Kita sebagai manusia semestinya tidak mengetahuai apa yang dilihat oleh sang haruan di dalam air kerana mata dan pandangan haruan tidak sama seperti manusia.
Tetapi secara logiknya (namun tidak tahu kebenarannya) eloklah memggunakan kekili bewarna hitam agar kekili tidak dapat dilihat oleh sang haruan.