Suatu ketika dahulu saya sentiasa berfikir bahawa tatkala paras air rendah atau surut di tasik empangan atau sungai pergunungan adalah masanya pemancing berpesta ikan kerana kawasan yang luas menjadi mengecil membuatkan ikan-ikan tertumpu.

 

Namun, setelah sekian lama memancing persepsi itu terpaksa saya ketepikan. Ia ternyata tidak seperti apa yang saya jangkakan. Ini kerana selalunya trip ketika paras air rendah di tasik-tasik empangan adalah kurang hasil tangkapannya.

 

Persoalannya sekarang, adakah benar ikannya kurang? Ke mana perginya ikan-ikan ini pada waktu tersebut, tak mungkin semuanya menghilang sedangkan pada masa yang lain seperti lepas hujan banyak pula tangkapannya.

 

 

Banyak faktor yang boleh menyebabkan tangkapan ikan sangat berkurangan ketika paras air surut. Antara yang saya perhatikan ialah:

 

Paras air yang turun menyerlahkan banyak tunggul kayu serta reba yang selama ini tenggelam. Struktur-sruktur yang baru timbul ini biasanya sangat padat.

Pancingan menjadi berisiko, hanya mereka yang berani saja yang sanggup melemparkan gewang ke reba sebegitu kerana tahu kebarangkalian gewang untuk putus lebih tinggi berbanding menaikkan ikan.

Ramai yang lebih memilih untuk mensasarkan kawasan yang kurang tunggul-tunggul kayu. Jadi faham-fahamlah jika ikannya kurang.

 

Ketika paras air rendah juga menyebabkan jarak antara permukaan air dan reba menjadi bertambah rapat.

Kalau air tinggi masih ada peluang nak main ikan, tapi ketika air rendah sekejap saja ikan sudah lekat ke reba. Kebiasaanya strikes itu masih ada tapi dalam 10 kali gewang dirembat ikan hanya beberapa ekor saja yang dapat didaratkan.

 

 

Jika diperhatikan ketika air surut, tebing-tebing tanah merah terserlah, keadaan tasik empangan yang luas membuatkan selalu ada tiupan angin yang menghasilkan ombak-

ombak kecil dan ia sentiasa menghempas tebing-tebing tanah merah ini lalu menghasilkan keladak-keladak terampai yang akhirnya akan membuatkan air tasik menjadi agak keruh.

Keadaan ini berlanjutan selama mana musim kering berlangsung. Ikan sukar melihat gewang yang dipersembahkan lantas membuatkan peratusan sambaran kurang.

 

Keadaan musim kering yang berangin kuat juga salah satu faktor ikan kurang ketika air surut.

Pancingan menjadi sukar kerana kurang konsentrasi pemancing apabila bot sentiasa berubah kedudukan akibat angin, lemparan gewang juga selalu tersasar dari lokasi yang diinginkan akibat tiupan angin terutamanya di tempat toman menimbul.

 

Permukaan air yang sentiasa berombak menghasilkan biasan dalam air yang mengelirukan penglihatan ikan.

Malah untuk memainkan gewang permukaan terutamanya pencil bait juga tidak secantik semasa air tenang akibat ombak-ombak yang terhasil menjadikan ikan kurang berminat untuk menyergapnya.

 

 

Keadaan cuaca yang kering berminggu-minggu membuatkan proses pemeluwapan sentiasa berlaku lantas membuatkan oksigen mudah hilang dari permukaan air. Malah, perimeter permukaan air juga sentiasa panas. Bila keadaan ini berlaku.

 

Hidupan seni yang menjadi makanan ikan-ikan kecil akan turun ke kawasan yang dalam di mana masih ada lagi kandungan oksigen. Ikan-ikan kecil juga akan berlegar di kawasan yang dalam ini juga untuk mencari makanan.

 

Sedia maklum lokasi yang dalam ini berselirat dengan reba, jadi ikan-ikan pemangsa menjadi sukar dijejaki kerana ia juga lepak rapat ke reba untuk mengendap ikan-ikan kecil. Keadaan ini bileh juga menyebabkan kita ingat ikan kurang ketika paras air rendah.