Sama ada handal berenang atau tidak, selesa atau tidak, jaket keselamatan adalah wajib untuk dipakai. Tiada alasan untuk tidak memakai jaket keselamatan kerana ia bukan sahaja alat bantuan jatuh ke air dalam, malah juga pelindung keselamatan lain.
Pastikan muatan sepadan dengan kapasiti sampan tersebut sehingga mengalahkan bot pendatang haram. Bawa alatan keperluan memancing sepadan dengan sesi pancingan. Tak perlu dibawa semua barangan pancing yang korang ada di rumah.
Ads
Pastikan pendayung ada dibawa bersama kerana sukar untuk diduga prestasi enjin bot. Walaupun enjin berkeadaan tip top sekali pun tetap pendayung wajib ada. Pastikan sebelum memulakan perjalanan, anda periksa sampan tersebut ada pendayung atau tidak.
Sentiasa pantau kedudukan rakan di atas sampan sebelum membuat balingan bagi mengelakkan insiden tercangkuk mata kail pada kepala rakan. Walaupun perkara ini sering diulang pesan namun tetap juga insiden tercangkuk mata kail terus berlaku.
Pakaian memancing yang sesuai dan selesa juga penting bagi tujuan keselamatan dan keselesaan.
Ads
Ada sesetengah pemancing yang begitu mementingkan konsep dan gaya dengan memakai jeans dan juga boot. Sedangkan ia boleh mengundang bahaya jika korang terjatuh ke dalam air.
Jika memancing di lombong atau tasik yang luas, sebaiknya guna gps bagi mengelakkan sesat sekiranya tidak mahir dengan selok-belok lokasi.
Ads
Sekiranya perlu parkir di bawah pokok bagi mengelakkan panas atau hujan lebat, pastikan betul-betul pokok tersebut tiada ular di atasnya. Selain ular, kera juga boleh menjadi ancaman atau mengundang musibah di luar jangka.
Sentiasa bertenang ketika memancing dan jangan sesekali melompat kegembiraan apabila berjaya menaikkan ikan. Apatah lagi jika rakan memancing korang kurang berjaya seperti korang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Boleh dikatakan hampir setiap minggu aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik casting atau pancingan dasar. Teknik melabuhkan umpan dan tunggu merupakan langkah terakhir sekiranya tiada mana-mana geng yang turun atau tiada port yang ingin diterjah kerana casting pilihan utama.
Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di pusat pengajian tinggi dahulu. Rakan-rakan yang lain agak kecewa kerana selalunya akulah yang menjadi mastermind kepada sebahagian komplot yang dibuat.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 12 tengah hari. Dalam hati terdetik “masih awal, ada peluang nak mancing petang ni”. Puas melihat pengantin setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus mencapai telefon bimbit dan menelefon Adnan. Rupanya Adnan sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir dua jam katanya. Racun punya racun, Adnan akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Banting. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku tidaklah terlalu jauh dan tidak terlalu dekat, hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih. Setibanya Adnan di pekarangan rumah, kami bercadang untuk naik satu kereta iaitu kereta aku.
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Adnan. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di setup tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Adnan untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Adnan bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Adnan mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan Maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan Isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh.
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Adnan yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?”
Pak cik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Adnan hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Adnan hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Nan!” Tetapi tidak diendahkan oleh Adnan sebaliknya Adnan terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Adnan, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Adnan sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Ada orang kata, ikan apa pun sedap kalau dibuat masak kari. Memang betul ada betul pendapat tersebut. Tapi kalau ikan yang sedap isinya agak dirugi dibuat kari kerana kari tersebut boleh membunuh rasa asal ikan itu. Jadi, kalau ada ikan yang kurang sedap rasanya seperti ikan alu-alu maka memang sesuai sangat dibuat kari.
Bahan-Bahan: (Bergantung kepada saiz ikan alu-alu)
1 ekor ikan saiz kecil dipotong
2 biji bawang besar (dikisar)
1 ulas bawang putih (dikisar)
1 inci halia (dikisar)
1/2 sudu biji sawi
1/2 sudu halba
2 sudu besar kari ikan (digaulkan dengan sedikit air dijadikan pes)
1 mangkuk air asam jawa
1 mangkuk santan
Sedikit air
Sedikit garam
2 tangkai daun kari
Cara-Cara Penyediaan:
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumiskan bahan kisar,biji sawi,halba dan daun kari sehingga naik bau.
2. Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air. Masak hingga betul-betul garing atau pecah minyak.
3. Masukkan air asam jawa dan ikan.Bila dah menggelegak masukkan santan dan garam.
4. Masak sehingga menggelegak beberapa minit dan bolehlah diangkat.
Setiap kali melalui sebuah plaza tol lebuh raya Kesas (bukan lebuh raya sebenar), saya pasti akan menghentikan motosikal di bahagian belakang pejabat pentadbiran tol itu.
Ada sesuatu yang amat menarik perhatian saya iaitu dua tiga buah motosikal yang diletakkan di bawah sepohon pokok yang teduh.
Bukannya motosikal itu yang menjadi tarikan tetapi aktiviti yang dilakukan di situ.
Suatu hari, saya menghentikan motosikal. Tujuan saya adalah untuk melihat aktiviti yang berlaku di situ.
Tepat tekaan saya, di tengah-tengah semak setinggi pinggang itu, terdapat sebatang anak sungai yang agak dalam tetapi jernih airnya.
Terdapat empat orang lelaki berusia pertengahan 40an sedang asyik memancing tanpa mempedulikan kehadiran saya.
“Banyak dapat ikan bang?” tegur saya ramah. Lelaki yang berbaju merah belang-belang putih itu mengangguk sambil tersenyum.
Di hadapannya terpacak dua batang joran yang talinya terlunjur masuk ke dalam air sungai yang mengalir dengan tenang itu.
“Ikan apa bang?” sekali lagi mulut gatal saya bertanya.
‘’Kat sini banyak ikan haruan, puyu dan keli,” jawab lelaki itu sambil mengambil satu bekas putih yang berisi ikan yang ditangkapnya.
Saya menjenguk. Terlihat dua ekor haruan sebesar tangan budak dan tiga ekor puyu yang memang enak dimasak lemak!
Malam itu juga saya menelefon Fazil dan Rahim untuk keluar minum di kedai restoran Mamak.
Selepas pekena dua bungkus nasi lemak panas dan segelas teh tarik, saya mula menceritakan pengalaman saya tadi.
Apa lagi, mereka berdua sungguh teruja mendengarnya dan kami bertiga mula merancang untuk pergi menjaring di kawasan itu pada malam Sabtu, yakni pada hari Jumaat pada sebelah siangnya.
Saya, Fazil dan Rahim sebenarnya agak malas memancing ikan. Kami lebih suka memasang jaring terutama pada masa hujan lebat dan air sungai menjadi keruh.
Pada waktu yang telah dijanjikan, kami bertiga pergi ke kawasan tersebut dengan menunggang motosikal.
Tiba di kawasan belakang pejabat tol, kami meletakkan motosikal di bawah sebatang pokok yang agak rendang.
Malam itu cuaca agak baik cuma berangin. Kawasan itu lengang dan permukaan air sungai berkilau kerana dipanah cahaya bulan penuh.
Setelah menghabiskan sebatang rokok, saya dan Rahim mula mengambil jaring manakala Fazil pula sedang bersedia untuk turun ke dalam sungai bagi membantu memasang jaring.
Kami melakukan pekerjaan itu dengan senyap. Mood untuk berborak seakan-akan hilang.
Sesekali saya memandang ke dada langit. Awan hitam yang pekat dan tebal ditambah dengan keadaan angin yang semakin kuat bertiup menyebabkan saya boleh membuat satu anggapan yang mudah iaitu hujan lebat akan turun pada bila-bila masa sahaja.
Sebaik sahaja jaring siap dipasang, rintik-rintik hujan mulai turun. Fazil mengajak kami berdua berteduh di bawah pondok sesikat yang ada di situ.
Timbul pertanyaan di hati saya, bila pula pondok sesikat ini ada di kawasan ini tetapi soalan itu hanya bermain di fikiran sahaja.
Hujan makin kasar berserta guruh yang berdentum. Tiba-tiba saya dapat melihat sesusuk tubuh berlari anak menuju ke pondok tempat kami menumpang berteduh itu.
“Lebat hujan malam ni” katanya sambil tersenyum. Saya mengangguk kepala. Lelaki tadi bertopi keledar dan memakai baju hujan berwarna hitam.
Mukanya tidak kelihatan sangat kerana dilindungi oleh cermin penutup pada topi keledar yang dipakai.
“Pak cik dari mana?” Tanya Rahim.
“Saya dari Jalan Kebun. Ingat nak ke rumah anak di Seksyen 13 Shah Alam.
Sampai sini tiba-tiba hujan lebat” jawabnya sambil kepala ditundukkan seolah-olah orang sedang bertakafur.
Entah kenapa mulut saya hanya membisu. Tidak ada niat langsung untuk menyampuk perbualan antara kawan saya dan pak cik itu.
Pada masa yang sama hidung saya bagaikan terhidu bau darah yang amat meloyakan tekak.
Semakin lama bau hamis itu semakin kuat menusuk ke hidung hingga menjadikan saya agak gelisah.
Tiba-tiba petir memancar. Cahayanya yang terang itu tepat menyuluh ke kawasan pondok kami sedang berteduh.
Hampir menjerit saya kerana terkejut dan pada masa yang sama takut apabila melihat pak cik yang berdiri di hadapan saya itu ‘berubah’ menjadi manusia yang berlumuran darah.
Darah yang mengalir dari atas kepalanya terlalu banyak hinggakan membentuk satu aliran yang bercampur dengan air hujan yang mula berlopak di hadapan pondok kami.
Pak cik itu hanya memandang kami dengan sayu dan bertukar bentuk menjadi seolah-olah kabus putih yang kemudiannya hilang begitu saja.
Saya lihat muka Fazil dan Rahim pucat. Sempat juga saya melihat jam tangan. Tepat jam 1 pagi.
Kami bertiga kemudiannya berlari anak menuju ke surau kecil yang ada di dalam kawasan tol itu untuk berteduh dan berbaring.
Keesokan harinya barulah kami berani untuk melihat jaring yang dipasang.
Saya sempat berbual dengan seorang pekerja yang sedang bertugas menyapu di situ. Saya menceritakan pengalaman seram yang dialami.
Kata pekerja itu, sudah ramai pemancing yang terkena. Kononnya pakcik itu merupakan seorang mangsa kemalangan ngeri yang pernah berlaku di situ.
Dia menunggang motosikal tanpa mengikut di jalan motor yang dikhaskan. Akibatnya, motosikalnya bergesel dengan sebuah treler 16 tayar. Dia meninggal dunia di situ juga.
Walaupun seram kerana diusik, saya dan kawan-kawan berasa gembira kerana habuan yang kami dapat pada malam itu agak berbaloi juga.
Lepaslah juga hajat saya untuk menyuruh orang rumah memasak gulai lemak puyu kesukaan saya!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...