Rohu, ikan berasal dari India ini sudah lama berkembang biak di kolam bekas-bekas lombong terutamanya di Perak apabila ia diternak di lombong yang ada membela itik.
Apabila itik sudah tiada, kebanyakan rohu ini tertinggal dan membesar serta membiak di lombong tersebut.
Rohu merupakan ikan yang tidak mudah mengalah apabila terkena pancing boleh dikategorikan sebagai kelah lombong dengan pecutan hingga ke gigi air.
Namun kini amat sukar untuk menjejakinya di lombong-lombong tinggal, hanya keazaman yang tinggi mengkaji semula dan memperbaharui teknik pancingan, pencarian lubuk baru dan umpan dapat menggoda rohu liar ini.
Apabila kebanyakan lubuknya telah diketahui umum mengakibatkan pencariannya menjadi sukar kerana ia semakin sensitif untuk dipancing.
Pelbagai resepi dan adunan umpan serta teknik pancingan telah dipraktikkan, namun masih ramai pemancing lombong gagal menawannya terutama rohu yang bersaiz 5 kilogram ke atas.
Suatu ketika dahulu, Bidor merupakan kawasan utama pancingan rohu separa liar. Bermula sebagai ikan peliharaan di lombong-lombong itik, kini ia telah menghuni lombong-lombong yang ditinggalkan.
Taburannya meluas ke kawasan sekitar dari Kampar ke Tapah hingga ke Batu Gajah. Saiz purata rohu di sini antara 1kg hingga ke 3kg.
Sebelumnya tangkapan gergasi melebihi 5kg ke atas agak mudah. Akibat tuaian melampau dari pemancing dan penjaring menyebabkan saiz idaman ini amat sukar dicapai melainkan mempunyai lubuk rahsia sendiri.
Ikan terbesar pernah dipancing di kawasan ini kira-kira 8kg dan mungkin ada lebih besar mengikut saiz lombong yang didiami.
baca juga kenali ikan rohu
Kerahan tenaga rohu bila bertarung dengan pemancing amat mengujakan. Aksi pancingan separa ringan merupakan set terbaik bagi menjinakkan rohu separa liar.
Set ultra ringan boleh juga dicuba jika inginkan tarikan maksimum tapi tenaga rohu sukar dijangka. Acapkali tekanan yang diberikan oleh rohu ini menyebabkan kita berputih mata.
Joran aksi sederhana berkuatan 8-17lb amat sesuai apabila lenturannya mudah mengawal asakan pantas spesies ini.
Kekili saiz 1000-3000 amat sesuai dengan padanan tali mono 10-20lb apabila pecutannya dapat diserap dengan baik.
Mata kail yang biasa digunakan adalah mata udang saiz 12-16 yang diikat merambai seperti mata bom. Satu set ikatan merangkumi 4-6 mata diikat sama panjang.
Campuran dedak ayam atau dedak 929, dedak 928, power bait perisa pandan, sedikit tepung gandum dan minyak udang adalah cadangan resepi untuk menjerat spesies ini.
Biasanya setiap pemancing punyai resepinya sendiri dan ikan ini kadang-kadang sudah culas dengan apa yang dihidangkan.
Justeru, kepelbagaian bancuhan umpan perlu dicuba sekiranya ada tanda-tanda ikan mulai kurang menyentuhnya.
Sebaiknya bancuhan adunan tidak terlalu peroi dan sedikit tepung perlu dicampur agar ia liat sedikit bagi mengawal gangguan ikan-ikan kecil.
Umpan tadi perlu dihidangkan secara seketul-seketul yang dimasukkan ke setiap mata kail seperti buah anggur.
Seelok-eloknya bancun umpan dengan menggunakan air lombong mengikut petua pemancing-pemancing otai.
Sajian ini lebih kurang sama dengan umpan yang biasa digunakan dengan umpan yang biasa digunakan pemancing kolam berbayar. Jadi, persembahan kolam berbayar ini juga boleh dicuba di lombong.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan