Tip & Trik Nak Punggah Cencaru Kelong Acheh!!

Share

 

Memancing cencaru ni memang seronok tetapi kalau setakat dua tiga ekor atau naik secara seekor demi seekor pun kurang seronok juga.

Tidak dinafikan malah sememangnya penggunaan sabiki atau biasa disebut sebagai apollo amat berkesan untuk memancing ikan cencaru.

Namun di Kelong Acheh, penggunaan sabiki sahaja amat perlahan hasilnya. Berikut merupakan perkongsian pemilik Kelong Acheh untuk memancing cencaru.

 

Langkah 1

 

Pertama sekali perlulah mencari ikan umpan seperti tamban dan selar dengan menggunakan apollo. Sebaiknya dapatkan ikan tamban.

 

Untuk dapatkan ikan tamban ini gunalah apollo saiz 4 hingga 6. Manakala apollo yang bagus untuk digunakan ialah apollo udang warna-warni (udang getah pada mata kail).

 

Jika boleh biarkan ikan umpan ini hidup dengan menyimpannya di dalam bekas simpanan berudara. Atau disimpan bekas berais kerana kesegaran umpan amat penting untuk memancing cencaru.

 

Langkah 2

 

Apabila mendapati kehadiran ikan cencaru mula memasuki kawasan kelong, gunalah ikan tamban ini sebagai umpan. Ikan tambah dibuang sisik dan kemudian dipotong kecil.

 

Isi ikan ini kemudian dicangkukkan pada mata kail apollo saiz 12 hingga 16.

 

Apollo enam mata kail ini tidak perlu digunakan kesemuanya. Memadai hanya menggunakan 3 mata saja dengan cara memotongnya kepada dua bahagian. Secara tidak langsung ia lebih menjimatkan.

 

Langkah 3

 

Apollo 3 mata kail yang telah dicangkukkan isi ikan tamban itu kemudiannya dilontarkan ke spot berdekatan kelong. Ia tidak perlu dilontar jauh.

 

Biarkan batu ladung mencecah dasar dan kemudian sekadar tegangkan tali pancing dan tunggu. Konsepnya sama seperti pancingan dasar memancing ikan merah dan lain-lain lagi.

 

Penjelasan lanjut:

 

Kawasan sekitar kelong boleh dianggap sebagai cetek. Oleh yang demikian kebanyakan ikan pemangsa atau pelagik seperti cencaru akan turut turun ke dasar jika menemui makanan.

Disebabkan inilah memancing ikan cencaru menggunakan sabiki atau apollo yang diletakkan umpan segar lebih berkesan berbanding sekadar menggunakan apollo saja.

Selamat mencuba!

 

Published by
Amang