Taktik dan teknik memancing udang galah sebenarnya hampir sama saja di mana-mana padang pancing. Jika ada pun mungkin tidak terlalu ketara.
Walau bagaimana pun jika anda ingin memancing udang galah di Sungai Kuantan, Pahang, kami ada beberapa tip dan panduan untuk memperoleh lesen udang galah Sungai Kuantan.
Peralatan
Joran pendek 3 kaki atau 4 kaki sudah memadai untuk memancing udang kerana mudah dikendalikan di dalam ruang bot yang sempit.
Joran ultra light 2-6 paun atau 4-8 paun dapat member kita kepuasan maksima ketika melayan aksi ‘gostan’ pak janggut.
Kekili pula, sudah cukup dengan kekili kecil berharga ekonomi yang dijual secara longgok dan dimasukkan tali tangsi atau sulam 10-12 paun.
Manakala tangsi halus sekitar 8 paun sesuai dijadikan perambut dan diikat mata kail udang jenis sabit saiz 4, 5 dan 6 yang banyak dijual di kedai-kedai pancing.
Kami tidak menggunakan perambut dari tali sulam kerana tidak banyak ‘tukang gunting’ di sini.
Lagi satu, andai mata kail tersangkut reba atau tunggul, perambut tangsi lebih mudah putus dan sudah tentu batu ladung dapat diselamatkan.
Maklumlah harga batu ladung semakin mahal sekarang.
Umpan
Dari segi umpan pula, udang galah membedal apa sahaja umpan asalkan ia berbau dan hanyir.
Sudah pasti umpan kegemaran seperti pedal dan jantung ayam, cacing, umpun-umpun dan anak udang menjadi pilihan utama.
Tetapi kali ini kami menggunakan isi ikan yang dipotong dadu. Tidak menghampakan kerana sambutan yang diterima agak menggalakkan.
Memancing udang galah Sungai Kuantan boleh dilakukan sepanjang tahun kerana pasang surut air diimbangi oleh dua buah empangan iaitu Empangan Cherih dan Empangan Kobat yang lebih dikenali sebagai ‘gate’ di kalangan penduduk setempat.
Tip Tambahan
Mata mesti cekap mengesan getuan udang di hujung joran dan sensitif dengan tali yang menegang ditarik udang.
Kecekapan inilah yang membezakan tangkapan anda dengan rakan-rakan sama ada lebih banyak atau lebih ‘membangau’.
Jangan menyentap joran dengan kuat. Mata kail akan terlucut atau mulut udang akan koyak dengan tindakan sedemikian.
Cukup sekadar mengangkat tinggi joran dengan lembut dan bila terasa ada henjutan, kekili dikarau perlahan-lahan.
Semasa memancing, keselamatan harus sentiasa dititikberatkan, terutama jika memancing di bawah rimbunan pokok-pokok, dikhuatiri ia lokasi sang ular berehat.