Pancingan spesies GT berlaku di serata dunia, lebih-lebih lagi bersaiz besar memang memberikan impak kepuasan memancing secara total jika berjaya didaratkan.
Tidak terkecuali di Malaysia, rata-rata pemancing mahu merasai tarikan kuasa spesies ini sehingga menjadi obsesi.
Kuasa larian, henjutan padu dan kelicikan ikan GT menjadikan ikan ini sebagai musuh yang sukar ditewaskan, namun inilah musuh yang sering didambakan kaki pancing.
Menjadi satu kebanggaan dan trofi peribadi apabila gerila lautan ini dapat ditewaskan dengan set pancing.
Selalunya, pancingan GT di Malaysia boleh dilakukan dalam beberapa keadaan dan teknik. Antaranya ialah pancingan dasar, jigging atau jig-cast untuk GT bersaiz juvenil dan menggunakan gewang.
Paling memberikan kepuasan pastinya jika menggunakan gewang top water dengan teknik popping.
Terbaru, trend munculnya banyak kolam air masin menawarkan GT sebagai ikan tarikan. Dengan berkonsepkan C&R, spesies ini menjadi nilai tambah kepada koleksi kaki pancing.
SET PANCINGAN
Jika anda memancing spesies ini yang bersaiz besar dan menggunakan popper atau pencil, anda perlukan set dengan kekili spinning yang kuat atau set konvensional yang mampu membuat balingan gewang ini dengan jauh.
Jika teknik popping dan memburu GT bersaiz besar, kekuatan tali utama sekitar 100lb dan leader monofilamen kekuatan 200lb.
Andai memancing dari tebing dalam keadaan kawasan berbatu, anda boleh gunakan kekili konvensional dan rod panjang untuk jarak lontaran lebih jauh.
Pastikan kekili anda mampu membuat isian tali yang banyak kerana anda terpaksa kekal di tebing ketika memancing.
Namun di Malaysia, tersangat sikit kawasan padang pancing sebegini sekali gus ia tidak popular.
Apa pun pilihan set pancing anda, pastikan semuanya berada dalam kondisi terbaik. Jika terdapat kondisi tidak baik pada mana-mana peralatan tak kira kail, split ring, ikatan atau tali, pertarungan anda mungkin selesai dalam masa yang singkat.
UMPAN PANCINGAN DASAR
Dalam pancingan dasar, GT tidak cerewet membaham umpan. Anda boleh menggunakan ikan tamban atau selar hidup dengan teknik dasar atau separuh air.
Udang hidup juga mampu menaikkan spesies GT terutama jika pancingan di kawasan yang lebih hampir dengan muara atau pesisir.
GEWANG / UMPAN TIRUAN
Tak dinafikan, melihat popper anda dihentam sang gerila tropika ini cukup memberikan kepuasan.
Antara yang popular ialah Halco Rosta dan River2Sea antara popper yang popular untuk GT. Selain itu anda juga boleh menggunakan pencil popper dan stickbait.
Ketika popping, cuba gunakan beberapa variasi kelajuan ketika karauan dan karauan popper menggunakan hujung rod agar popper menghasilkan percikan yang menarik perhatian GT.
Ketika karauan persembahan, berikan masa ketika pause untuk memberi ruang sang GT melakukan serangan.
Selain itu, teknik light jigging dan jig-cast juga sesuai untuk perairan cetek terutamanya ketika memburu GT bersaiz juvenil.
Pelbagaikan warna jig dan cuba pelbagaikan rentak kayuhan jig. Anda juga boleh mencuba sesudu kerana potensinya juga tinggi di kawasan perairan cetek.