Tip & Trik Memancing Di Pelantar Minyak!!

Share

 

Pancingan di perairan pelantar minyak merupakan satu trip memancing yang agak ekstrem dan memerlukan bukan sahaja tenaga malah perbelanjaan yang besar juga.

Justeru perlu ada perancangan rapi sebelum bertarung dengan monster-monster di pelantar minyak.

 

Sekiranya kewangan kurang mengizinkan untuk membayar kos trip secara langsung, maka perlulah membuat tabungan sekurang-kurangnya setahun awal daripada tarikh bertolak.

Kos trip dalam anggaran RM800-RM1000 (sewa bot). Selain itu perlu sediakan dalam RM500 lagi bagi menampungkan kos pengangkutan, makan minum serta peningkatan kos trip sekiranya ada ahli yang menarik diri.

 

Wajib ada satu kekili elektrik atau mesin ‘bangla’ yang lengkap dan sempurna. Sekiranya belum ada maka kenalah berusaha mendapatkannya (bukan murah harganya) atau meminjam daripada kawan-kawan.

Set kekili elektrik wajib ada sekiranya pancingan dasar merupakan fokus utama trip.

 

Selain itu set jigging (kekili, joran dan jig) juga perlu dibawa. Jika berhasrat untuk main GT maka set jigging perlulah yang sepadan. Begitu juga kalau berhasrat nak main popping.

Yang pasti satu set ringan untuk kegunaan apollo umpan hidup atau mencandat sotong wajib di bawa.

 

Perlu buat persiapan rapi. Jika pergi dengan peralatan tidak sesuai dan ala kadar, ada baiknya tidak payah pergi kerana mungkin anda akan buang duit, letih badan dan rugi masa.

 

Stamina dan kesihatan badan juga perlu dijaga. Elakkan demam atau sakit sebelum bertolak.

Bagi kaki jigging mereka ada kalanya bersenam di gym untuk membentuk ketahanan otot tangan, kaki dan badan.

 

Bersedia untuk menukar sistem tidur kerana aktiviti memancing di pelantar minyak lebih aktif pada waktu malam.

Sementara waktu siang bot lebih banyak bergerak untuk bertukar lubuk atau sebagainya. Jadi, alangkah ruginya jika kita tidur ketika pemancing lain bergasak dengan ikan.

 

Published by
Amang