Tip & Trik mancing tengas dari otai tengas!!

Share

 

Ikan tengas merupakan penghuni utama di sungai-sungai banjaran pergunungan. Hidupnya memerlukan air yang sejuk, kepekatan oksigen yang tinggi malah menggemari sungai berjeram.

 

Baginya, menyusur sambil diam setempat dalam arus deras bukanlah perkara sukar. Tabiat ini menjadikannya sangat bertenaga.

Justeru itu ikan tengas mampu melakukan loncatan melepasi air terjun setinggi 3 meter dengan sekali lompat sahaja!

 

Menurut otai-otai pemburu tengas, ikan tengas yang besar tidak akan muncul ketika siang hari.

Apabila matahari terbenam, barulah makhluk ini keluar daripada tempat persembunyiannya di bawah batu-batu besar dan menyusuri kawasan cetek mencari makanan.

 

 

Sebenarnya terdapat dua jenis tengas yang dipanggil oleh orang Melayu. Yang paling kecil, Acrossocheilus deauratus yang turut dinamakan ikan daun atau ikan batu.

Biasanya ia membesar sehingga ke saiz tapak tangan sahaja, berwarna perak kehijauan, dan boleh dilihat bergerak berkumpulan dalam air tenang dan berpasir dalam anak-anak sungai.

Tengas yang sebenar iaitu kejor biasanya bersembunyi dan mendiami lubuk dalam atau jeram yang deras.

 

Apabila memancing tengas, kita perlu banyak mengendap iaitu bergerak senyap, perlahan dan menyamarkan diri dengan persekitaran.

Kaedah mengendap ini sebenarnya lebih penting berbanding pemilihan umpan. Tengas hidup dalam persekitaran yang terdapat makanan mengalir laju mengikut air, jadi spesies ini tidak begitu memilih makanan.

 

 

Walau apapun umpan terbaik yang digunakan, tengas tidak akan menyentuhnya sekiranya ia dapat melihat anda.

Jadi, anda perlu berpakaian hijau, berselindung di sebalik batu atau pokok ataupun duduk di bawah bayangan sekiranya mahu mengendap tengas.

 

Berkenaan dengan umpan pula, tengas menggemari pelbagai umpan termasuklah palet, biskut (campur sedikit kunyit sebagai pewarna) dan juga roti canai!

Belalang, cengkerik, cacing dan lundi pasir juga merupakan kegemarannya lebih-lebih lagi dalam air keruh. Walau bagaimanapun, umpan terbaik apabila air keruh ialah perut ayam.

(Sumber: Aznir Malek)

Published by
Amang