Hutan yang bising dengan suara dan bunyi unggas pada waktu malam adalah lebih baik daripada hutan yang sunyi sepi. Bila hutan sunyi sepi, pasti ada sesuatu yang tak kena…!

Namun itu cuma salah satu panduan jika kita ingin camping atau berkhemah di dalam hutan. Banyak lagi panduan yang perlu dipelajari sebelum melakukan aktiviti ini.

 

Kanopi hijau

Apabila sudah dapat tapak untuk mendirikan khemah, sebaiknya dongak ke atas melihat persekitaran pokok dan rimbunan daun (kanopi) yang masih hijau.

Maksudnya, bukannya kanopi yang dah mati kering supaya dapat mengelakkan risiko dihempap dahan atau ranting pokok apabila angin kencang.

 

 

Paras air

Pastikan jarak tapak untuk mendirikan khemah sekurang-kurangnya 5 kaki dari aras air sungai. Jangan dirikan khemah di kawasan landai tepi gigi sungai, biasanya kawasan landai akan ada banyak pokok rendah dan renek macam pokok senduduk.

Itu tandanya air selalu naik kat kawasan tersebut. Dirikan di kawasan yang pokoknya besar-besar.

 

Laluan denai

Tentukan laluan denai di dalam radius kawasan 20 meter dari khemah. Jangan dirikan khemah di dalam laluan denai kerana laluan denai bukan untuk kegunaan manusia sahaja, ia juga adalah laluan binatang lain.

Gajah atau seladang tentu tak suka kalau laluannya terhalang oleh khemah korang.

 

 

Bersihkan tapak

Bersihkan lantai tapak perkhemahan daripada daun-daun, ranting-ranting dan pokok-pokok renek.

Bersihkan dengan menggunakan alatan atau ranting-ranting pokok sehingga kelihatan lantai tanah.

Ia bagi mengelakkan risiko terkena sengat serangga atau binatang berbisa seperti lipan atau kala jengking yang bersembunyi.

 

Unggun api

Ketika membuat unggun api, selitkan beberapa batang kayu panjang. Ia sebagai senjata segera.

Bila ada bahaya contohnya perimeter diceroboh, capai saja kayu yang ada api ini sebagai senjata. Lazimnya binatang lebih takutkan api berbanding pisau atau parang.

 

 

Pagar perimeter

Jika perlu, buatkan perimeter tapak perkhemahan dengan memagarnya menggunakan tali tangsi dan loceng.

Ia sebagai alarm sekiranya ada binatang yang menceroboh masuk ke dalam perimeter. Boleh juga taburkan karbaid atau belerang kuning pada perimeter ini bagi menghadang ular atau binatang berbisa yang merayap.

 

Kepala air

Jika berkhemah di kawasan aliran sungai atau air terjun, jangan dirikan khemah terlalu hampir di kawasan tersebut.

Lebih molek andai jauh sedikit dari kawasan tersebut dan kawasan perkhemahan agak tinggi kerana apabila hujan, kawasan yang rendah akan ditenggelami air apabila dan datangnya kepala air.

Jika ada batu besar berhampiran aliran air, tandakan batu tersebut sebagai penunjuk paras air.

 

 

Rimbunan Buluh

Elakkan berkhemah di bawah rimbunan pohon buluh. Rimbunan buluh dan daun yang sudah mati kebiasaannya dihuni oleh makhluk berbisa seperti ular.

Andai tiada tempat, bersihkan dulu kawasan tersebut dan pastikan kawasan sekeliling ditabur dengan belerang untuk tujuan keselamatan.

Pohon buluh juga amat sinonim dengan makhluk halus yang menjadikan pohon tersebut sebagai tempat tinggal.

 

Masak air

Jika nak memasak air, jangan ambil air di bahagian tepi atau gigi sungai. Ambil kat bahagian tengah sungai atau tempat yang mengalir deras.

Rasionalnya tikus, rusa, kancil, babi dan lain-lain binatang kencing kat tepi sungai, arus akan tolak air kencing tu ke tebing.

 

 

Sisa Makanan

Sebaik-baiknya habiskan kesemua makanan tanpa meninggalkan sisa. Jika ada sisa makanan, hanyutkan atau tanamkan.

Ini kerana bau sisa makanan ini akan menarik perhatian beruang, gajah, kera dan pelbagai binatang lain untuk bertandang.