Sesuai dengan namanya, umpun pasir menjadikan kawasan berpasir sebagai habitatnya. Kebiasaannya umpun jenis ini senang ditemui di kawasan yang mempunyai pasir yang kasar.
Ada banyak cara untuk mendapatkan umpun pasir ini. Cara yang paling mudah adalah dengan penggunakan skop atau cangkul sahaja.
Namun untuk mendapatkan saiz umpun pasir yang lebih kasar, teknik menangkap menggunakan tangan amat popular.
Biasanya, campuran dedak ayam dan belacan atau ikan busuk sering digunakan untuk menarik perhatian umpun ini keluar dari pasir dan tangan haruslah sepantas yang mungkin untuk menarik umpan ini.
Ads
Ikan sasaran:
Gelama, bolos, daun baru, semilang, gerut-gerut, kerapu, tetanda, pari.
Ads
Cara digunakan:
Umpun-umpun pasir dicangkuk padat pada mata kail. Lebih efektif jika menggunakan perambut 2 mata atau apollo.
Ikan siakap merupakan spesies gamefish yang menjadi buruan ramai pemancing terutamanya kaki casting. Namun untuk berjaya dapat strike bukanlah mudah. Di sini kami sediakan beberapa pendedahan berguna untuk korang mengenal lebih mendalam perihal siakap.
Dipercayai ikan siakap akan mudik hulu sungai dari bulan Jun hingga Ogos setiap tahun dan akan menjadikan muara sungai sebagai tempat persinggahan. Pada masa ini ramai nelayan dan pemancing akan tertumpu ke muara sungai untuk memburu siakap. Lazimnya ikan siakap ini mematuk pancing pada awal pagi atau lebih dikenali sebagai kepala pasang oleh para nelayan.
Jangka masa ikan galak makan umpan biasanya tidak lama, hanya sekitar setengah jam dari bermulanya air pasang pagi. Waktu permulaan pasang, arus bergerak perlahan dan waktu inilah siakap aktif memakan umpan.
Siakap akan kembali aktif apabila arus air kembali tenang iaitu di antara penghujung pasang dan permulaan surut. Jangka waktu di antara akhir pasang dan permulaan surut ini tidak lama. Sebab itulah timing air pasang dan surut di muara sungai amat penting dititikberatkan.
Sementara itu ada juga di beberapa tempat, waktu-waktu paling sesuai untuk memburu siakap pada musim air mati. Pada masa tersebut, air pasang malam agak besar dan menghasilkan arus yang agak deras.
Keadaan ini amat sesuai untuk ikan-ikan dari laut memasuki muara mengikut arus. Sebaliknya pada siang hari air pasang dan surut tidak besar perbezaannya. Keadaan sebegini menghasilkan arus air yang lembut, amat sesuai untuk ikan-ikan khususnya siakap singgah dan bermain-main di reba.
Bila bercakap tentang ikan belanak, ramai kaki pancing lebih mengetahui spesies belanak ini sebagai antara umpan yang efektif untuk memburu spesies predator seperti siakap dan kerapu.
Namun, di sebalik keberkesanan dijadikan umpan, mungkin ramai juga yang tidak tahu bahawa ikan belanak ini amat lazat untuk dijadikan hidangan di meja makan (terutama bagi yang bersaiz besar). Mana taknya, dengan isi yang padat dan berlemak, pastinya ia mampu membuka selera sesiapa sahaja.
Pasti ramai juga yang tertanya-tanya, adakah spesies belanak ini boleh dipancing menggunakan joran? Jawapannya, YA, memang boleh.
Tetapi untuk memburu spesies ini bukanlah mudah, terutama bagi spesies belanak bersaiz besar yang turut dikenali dengan nama tamok, jempul dan loban. Spesies yang bersaiz besar ini dikatakan boleh mencapai berat sehingga 2 kilogram, malah mungkin ada yang lebih besar dari itu.
Untuk keseronokan yang lebih, sebaiknya guna set pancing yang sepadan. Paling menyeronokan jika dipancing dengan menggunakan set ultra ringan. Tali utama atau tangsi sebaiknya tidak melebihi 12lb (dikatakan tali yang lebih halus lebih berkesan untuk memburu spesies yang agak culas ini).
Mata kail bersaiz kecil (mata kail udang saiz 7 dikatakan paling efektif). Ada pemancing yang menggunakan mata kail yang banyak, sama seperti mata bom atau mata rambai untuk memancing spesies ini.
Jika memancing di rumah rakit, kelong, umpan popular adalah menggunakan roti. Cebisan roti akan ditabur sedikit demi sedikit di kawanan tamok agar ia menghampiri pemancing bagi memudahkan balingan umpan yang berisi mata kail dilakukan.
Pastikan mata kail tajam. Pelampung bersaiz kecil perlu digunakan dan jarak pelampung dengan mata kail hanya sejengkal sahaja. Bila pelampung tenggelam, sentap perlahan, agar mata kail tertusuk ke mulut ikan belanak.
Ada juga yang berpendapat penting untuk merasuah dahulu ikan belanak ini dengan biskut yang telah dihancurkan. Jika tiada biskut, lebihan nasi atau cebisan roti juga boleh digunakan. Apa yang penting adalah untuk mengumpulkan kumpulan belanak dalam kawasan memancing.
Selain umpan dan mata kail, ada juga yang berjaya memperdaya ikan ini menggunakan bom jaring (bomb net) dan baling pada kawanan belanak tersebut. Pasti ada yang akan tersangkut di jaring itu. Namun dengan cara ini, Ia tidaklah begitu thrill jika dibandingkan memancing menggunakan umpan dan mata kail.
Patipok atau pecah periuk (Lobotes surinamensis) adalah spesies yang gemar mengikut sampah yang dihanyutkan dari muara sungai ke laut seperti batang pokok tumbang, pokok nipah yang hanyut.
Ikan ini menjadikan sampah sarap atau apungan sampah sebagai lokasinya mencari makan. Jika terserempak dengannya ketika memancing di tengah laut, jangan sesekali menganggapnya hanya sampah sarap, tetapi ia sebenarnya rezeki terpijak buat anda.
Lontaran Umpan
Dalam memburu penghuni apungan (selain patipok, ada spesies lain juga menghuni apungan besar), teknik menghanyut umpan dan melontar perlu dilakukan sehampir mungkin ke apungan tersebut.
Perambut
Perambut sepanjang setengah depa menggunakan perambut kabel ataupun tali mono 60 paun boleh dipraktikkan dalam memburu spesies ini. Setting kasar ini penting bagi memastikan dapat menarik mangsa keluar dari halangan apungan.
Umpan
Umpan sotong atau hirisan kembung sangat sesuai digunakan untuk menjerat mangsa yang kebiasaannya mencari makanan di sekitar apungan yang hanyut. Spesies pelagik ini pada kebiasaannya akan melarikan umpan antara dasar dan permukaan air.
Set pancing
Set pancing yang digunakan juga tidak perlulah menjurus kepada set yang terlalu berat kerana, aksi tarikannya memang dinantikan pemancing. Cuma perlu seimbang agar dapat merasai keseronokan sebenar melayan penghuni ini.
Umpan alternatif
Secara amnya, ikan patipok akan menjamah apa jua umpan yang dilontarkan berhampiran kumpulan mereka.Selain hirisan kembung dan sotong, batu ladung yang diikat bulu itik juga mendapat sambutan dan tidak keterlaluan jika saya katakan spesies ini mudah dipancing jika terkena lubuknya. Selain itu mikro jig dengan sotong getah juga boleh digunakan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...