Sensasi tarikan ikan pari tentulah kerana kekuatannya. Kombinasi kekuatan tarikan, berat dan bentuk badan serta keupayaan untuk memekap di dasar air cukup untuk membuatkan pemancing mengerah keringat untuk menariknya ke gigi air.
Bagi mengesan kehadiran pari, pemancing perlu memantau lopak-lopak yang menjadi kediaman pari ketika air laut surut. Lazimnya apabila air pasang, pari akan kembali mendiami lopak tersebut dan di situlah umpan akan dilontarkan.
Berbanding dengan pancingan pari secara bersampan, alur laluan pari akan menjadi taruhan umpan apabila tibanya musim pari. Selain itu, pancingan pari juga memerlukan teknik yang tersendiri lebih-lebih lagi apabila sang pari memekap di dasar.
Sesetengah pemancing akan menjentik tali atau menggerakkan tali apabila ikan memekap ke dasar. Ada juga yang membiarkan dahulu atau mengendurkan tali jika ada tanda-tanda ikan memekap ke dasar. Apabila ada pergerakan, barulah tali dikarau semula dan cuba elakkan ikan memekap kembali.
Diet pemakanan ikan pari tertumpu kepada moluska, cecacing, krustasia, ikan, kerangan, ketam dan udang. Ikan pari mencari mangsanya yang bersembunyi dalam pasir atau lumpur dengan membalikkan pasir menggunakan sisinya atau sirip pektoral.
Sesetengah ikan pari menjadikan arus air yang kuat sebagai sumber makanan kerana arus kuat membawa pelbagai invertebrata bersamanya. Spesies ini menjadikan ikan, sotong dan juga obor-obor sebagai sumber makanannya.