Tip Pilih & Guna Jenis Batu Ladung Yang Tepat

Share

 

Batu ladung atau pemberat merupakan antara aksesori wajib yang diperlukan untuk memancing. Kebiasaannya, batu ladung berperanan dalam mengekalkan posisi perambut dan umpan anda.

 

Batu ladung lazimnya diperbuat daripada timah kerana ciri utama timah ialah ketumpatan tinggi dan menjadikannya berat, suhu lebur rendah menjadikan kos pembuatan murah, tahan karat dan tahan hakisan air laut.

 

 

Terdapat pelbagai jenis batu ladung yang ada di pasaran masa kini. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi kurang arif mengenai kesesuaian penggunaan batu ladung ini sama ada bentuk, saiz ataupun beratnya.

 

Batu ladung lonjong

 

Batu Ladung berbentuk panjang atau lonjong juga antara jenis pemberat yang biasa digunakan oleh pemancing tidak kiralah di pantai, kolam mahupun tasik. Batu jenis ini sangat efektif digunakan untuk pancingan tepi pantai ataupun kuala. Batu ladung jenis ini juga boleh diguna pakai untuk pancingan di kawasan berbatu karang.

 

 

Bentuknya yang menajam di kedua-dua hujung berpotensi untuk mengelakkan perambut anda dari tersangkut di celah-celah batu karang. Sama seperti batu ladung bulat, saiz batu ladung panjang juga digunakan mengikut kawasan memancing anda.

 

Batu ladung hidup

 

Batu hidup merupakan sejenis pemberat yang membenarkan tangsi bergerak bebas melaluinya tanpa diikat. Kebiasaannya batu jenis ini sesuai digunakan di kawasan muara dan ia juga sering digunakan untuk memancing di tasik, sungai atau kolam-kolam komersial.

 

 

Penggunaan batu jenis ini amat sesuai digunakan untuk memancing ikan siakap di muara-muara sungai kerana bagi sesetengah ikan (seperti siakap) ia akan memuntahkan kembali umpan apabila terasa ‘berat’ dan umpan tersangkut-sangkut pergerakannya. Jenis batu hidup yang popular ketika ini ialah ladung biji kana dan ladung bulat.

 

Batu ladung bulat

 

Batu Ladung berbentuk bulat sangat sesuai digunakan untuk memancing di kawasan yang pantai atau laut yang landai, berpasir ataupun berlumpur. Tetapi ia tidak sesuai digunakan di kawasan berbatu karang kerana bentuknya yang bulat sememangnya memudahkan batu jenis ini untuk tersangkut.

 

 

Cara penggunaan batu ladung ini bergantung pada keadaan air di kawasan anda memancing. Jika kawasan tersebut berarus deras, gunakanlah saiz yang lebih berat agar tali anda tidak hanyut terlalu jauh dari kawasan permainan ikan.

 

Batu ladung sauh

 

Batu sauh amat popular digunakan oleh kaki pancing dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Batu jenis ini amat bersesuaian digunakan di kawasan yang berarus deras terutamanya sewaktu air jalan pasang ataupun jalan surut.

 

 

Fungsi dawai di sekeliling batu sauh ini adalah untuk memastikan batu ini dapat mencengkam dasar laut sekali gus mengelakkan dari perambut kita dihanyutkan arus deras.

 

Batu ladung leper

 

Terdapat beberapa jenis batu ladung leper. Salah satunya direka untuk memastikan umpan tidak hanyut apabila dilontar ke kawasan tepi pantai. Namun begitu, batu jenis ini lebih sesuai digunakan untuk joran aksi ringan sahaja.

 

Ini kerana, kebiasaannya, ikan-ikan target untuk batu jenis ini hanyalah untuk ikan-ikan kecil seperti gelama, bolos dan sewaktu dengannya sahaja.

 

 

Satu jenis lagi batu ladung leper ialah yang kini menjadi pilihan ramai pemancing dasar laut dalam. Batu ladung leper ini biasanya datang dengan nombor berat sebenar batu ladung tersebut seperti 720 dan sebagainya.

 

Batu ladung sepit

 

Batu ladung sepit atau splitshot adalah sejenis pemberat atau batu ladung di mana terdapat banyak penggunaannya. Batu sepit adalah pemberat yang terdapat lurah pada badannya, di mana ia dikepilkan pada tali atau perambut untuk memberi berat pada umpan atau tali.

 

Penggunaannya pula amat senang sekali iaitu dengan memasukkan tali ke celah lurah dan mengepitnya.

 

 

Terdapat pelbagai lagi jenis batu ladung yang ada di pasaran masa kini. Ada batu yang berbentuk diamond, piramid, buah kana dan sebagainya. Namun begitu, pemancing haruslah bijak untuk menggayakan kegunaan batu ladung ini mengikut kepada spot memancing anda.

Published by
Amang