Memang tidak dinafikan ada kaki pancing yang membuang terus mata kail selepas digunakan kerana tanggapan mereka, jika digunakan selepas ini ia tidak lagi kuat, tidak tajam dan mudah patah. Jika jenis harga murah terpulanglah kepada anda sama ada mahu menggunakannya semula ataupun tidak. Tetapi bagaimana dengan mata kail berharga mahal?
Satu set assist hook (dua mata kail) ada yang berharga hingga puluhan ringgit. Kurang-kurang pun belasan ringgit juga la. Tentu fikir berbelas kali nak dibuang, bukan?
Tahukah anda mata kail tersebut sebenarnya masih lagi boleh digunakan dan berfungsi baik jika anda mengendali dengan baik. Untuk penjimatan juga, adalah lebih baik sebenarnya anda menggunakan mata kail tahan karat.
Ads
Ia tahan lama dan selamat digunakan berulang kali. Jika ingin memancing di laut, pilih mata kail yang bertulis saltwater pada bungkusannya kerana ia sememangnya berupaya menahan hakisan air masin.
Cara penjagaan mata kail
Ads
Selepas pulang daripada memancing terutamanya di laut (air masin), jangan sesekali lupa untuk bersihkan dan bilas dengan air tawar. Kemudian keringkan di bawah sinaran cahaya matahari.
Selepas dikeringkan, periksa satu persatu mata kail. Perhatikan mana bahagian yang ada tanda karat. Jika ada, gosok dengan kertas pasir. Penting untuk anda menyimpannya dalam kotak pancing anda. Sila amati semula, jika kurang tajam, boleh gunakan kikir halus (handlife) dan asah pada bahagian berkenaan.
Ads
Jika mata kail agak berkarat adalah lebih baik anda membuangnya sahaja. Paling penting, mata kail yang telah anda bersihkan ini jangan sesekali dicampurkan ke dalam bekas atau pek mata kail yang masih belum digunakan. Anda perlu menyediakan satu bekas khas untuk mata kail yang terpakai.
Perkara yang sama juga jika anda menggunakan assist hook atau mata kail gewang. Jangan simpan begitu saja gewang-gewang di dalam tackle box selepas digunakan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Menurut cerita kawan-kawan yang pernah ke sana, terdapat banyak spesies yang mendiami sungai tersebut seperti baung, lampam dan sebarau. Selain daripada memancing, kami juga bercadang untuk memasang racik dan memasang jerat bagi menangkap ayam hutan yang selalu kelihatan di hutan berhampiran.
Perjalanan menuju ke port idaman dengan berjalan kaki dari tempat letak kenderaan mengambil masa hampir dua jam. Setelah bermandi peluh mengangkut barang-barang perkhemahan, barulah tempat yang dianggap strategik dijumpai. Kami terus memasang khemah dan menyediakan umpan bagi memulakan misi pemburuan. Saya memang gemar dengan kaedah casting. Tidak kira ikan spesies apa, yang penting kaedah casting ini memang menjadi ‘makanan’ saya. Lebih-lebih lagi bila ikan sebarau yang menyambar umpan. Terasa feel yang menakjubkan tatkala ia menyambar gewang.
Petang itu, kemeriahan memang terasa di port kami. Lauk untuk hidangan malam pastinya ikan baung rebus asam dan ikan sebarau panggang cicah dengan kicap bersulamkan cili api. Berbaloi rasanya trekking jauh ke tengah hutan, mendapat pot yang bagus dan dapat membaling gewang dicelah-celah bongkah kayu hingga berjaya menaikkan sebarau seberat 1-2 kg setiap seekor. Saya terasa bagaikan seorang sniper!
Malam itu, hujan turun renyai-renyai. Kami berempat mengambil keputusan untuk berehat sahaja di dalam khemah. Tetapi Asmadi yang terkenal dengan gelaran Madi Ayam mengambil keputusan untuk memasang jerat bagi menangkap ayam hutan yang dikatakan banyak terdapat di situ. Sahabat saya, Aidil bercadang untuk mengikut Madi memasang jerat. Shahril yang tidur di sebelah saya sudah lama berdengkur di buai mimpi setelah membelasah tiga pinggan nasi panas akibat penangan baung masak asam.
Cuma saya yang terkebil-kebil sejak Madi dan Aidil meninggalkan khemah setengah jam yang lepas. Puas saya mengiring ke kiri dan kanan sambil memujuk mata ini supaya terpejam lena namun tahap mengantuk saya masih lagi sifar. Akhirnya saya duduk bersila di dalam khemah sambil mata memandang cemburu ke arah Shahril yang tidur berdengkur-dengkur sejak tadi. Rasanya kalau dilanda tsunami pun, Shahril pasti tidak sedar akibat kekenyangan membaham baung masak asam tadi.
Sayup-sayup di telinga, saya terdengar bunyi riuh rendah suara orang berbual-bual. Saya cuba picingkan telinga untuk mendengar dengan lebih jelas. Sah, di luar kawasan khemah saya bagaikan ada keramaian yang sedang berlangsung dalam keadaan meriah. Suara budak berlari, menjerit, suara wanita berbual sambil ketawa, semuanya jelas pada pendengaran saya. Sesaat itu juga, bulu remang saya tegak di tengkuk. Darah saya bagaikan berhenti mengalir dan badan mula berasa seram sejuk.
Teragak-agak saya sama ada mahu keluar dari khemah atau duduk membatu di dalam. Saya perhatikan Shahril yang masih lagi ‘pengsan’. Tidak teragak langsung untuk mengejutkan Shahril bagi menemani saya keluar dan memeriksa apa yang sedang berlaku. Semuanya bagaikan blur pada saya.
Namun atas desakan naluri yang kuat, saya mengambil keputusan untuk keluar melihat. Sebaik sahaja zip khemah saya kuak, terbentang di hadapan saya satu pemandangan yang luar biasa. Saya kini berada di tepi khemah orang kahwin yang berhias cantik.
Terdapat pelamin indah yang dihiasi dengan daun kelapa yang dianyam dan bunga-bunga segar berwarna merah dan kuning. Namun tempat duduk untuk makan di dalam khemah beratapkan nipah itu hanyalah bongkah kayu yang dipotong bulat. Budak-budak berumur lima enam tahun berlari-lari anak di dalam kawasan khemah dengan riangnya.
“Assalamualaikum sahabat,” tiba-tiba bahu saya disapa lembut dari belakang. Saya sedikit terpinga-pinga. Huluran tangan seorang lelaki berjubah putih, berserban kemas dan mukanya yang jernih saya sambut dengan jawapan salam.
“Silakan menikmati makanan yang ada. Jangan risau. Semuanya halal dan berada dalam pemeliharaan Allah SWT,” kata lelaki itu sambil tersenyum. Tangannya memegang tasbih yang sentiasa bergerak.
“Jangan risau. Kamu dan kawan-kawan selamat di sini selagi tidak mengganggu kawasan kami,” terang lelaki itu lagi seolah-olah menjawab soalan yang terdetik di dalam hati saya. Saya dibawanya duduk di dalam kawasan khemah sambil menikmati nasi, lauk daging yang amat lazat rasanya berserta ulam-ulam hutan yang saya sendiri tidak kenal. Setelah perut terasa kenyang, barulah saya meminta diri untuk pulang. Lelaki itu melepaskan saya setelah kami bersalam dan dia mendakap saya dengan erat. Bau lelaki itu sungguh wangi bagaikan memakai minyak atar.
Saya melangkah pulang mengikut kabus yang datang tiba-tiba. Sebaik kabus menghilang, saya sudah berada di tepi kawasan khemah. Saya ternampak tiga orang sahabat saya sedang sibuk mencari sesuatu.
“Kau orang cari apa?” tegur saya. Shahril yang melihat saya terus meluru lalu memeluk saya dengan matanya yang merah. Begitu juga dengan Madi dan Aidil. Mereka bagaikan sudah bertahun-tahun tidak berjumpa dengan saya!.
Saya menggeleng. Seingat saya, mungkin tidak lebih satu jam.
“Kau tahu dah pukul berapa sekarang?” asak Aidil pula. Saya masih menggeleng bagaikan orang mamai.
“Dah pukul tiga petang Din. Mana kau pergi dari malam tadi?” sekali lagi Madi menyoal saya.
Sekali lagi saya terperanjat mendengar jawapan Madi. Khemah sudah dikemaskan. Begitu juga dengan barang-barang yang lain. Tidak sampai lima belas minit, kami sudah meninggalkan pot sebarau dan baung itu.
Hanya di dalam kereta, saya bercerita tentang pengalaman aneh yang saya alami. Sesungguhnya di dalam dunia yang nyata ini, masih ada lagi dunia ghaib yang hanya dapat dirasai oleh orang-orang yang ‘terpilih’. Wallahualam.
Balik bercuti ke kampung kerana menguruskan perkahwinan adik perempuan bongsu memberikan satu pengalaman baru kepada saya. Satu pengalaman mistik yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Namun begitu saya berasa amat bersyukur kerana tidak mengalami sebarang trauma akibat kejadian yang tidak disangka-sangka itu.
Saya masih ingat lagi, saya dan isteri serta dua orang anak kecil kami pulang pada hari Khamis. Sengaja kami mengambil cuti awal untuk membantu ibu dan ayah menguruskan perkahwinan Azian, adik bongsu saya.
Segalanya berjalan dengan lancar sehinggalah saya berjumpa dengan teman lama, Rosli. Saya dan Rosli sudah berkawan sejak kecil lagi. Kami anak kampung yang dibesarkan dalam suasana desa yang belum tercemar. Melastik burung, mengail ikan, memanjat pokok, bermain tembak-tembak dengan menggunakan senapang gajah merupakan aktiviti harian kami dahulu. Apabila dewasa dan mula bekerja kami terpisah. Namun, kenduri begini menemukan kami kembali.
Petang Jumaat itu, saya dan Rosli sama-sama mengacau rendang daging Minang di bawah pondok kecil di belakang rumah ibu. Ketika inilah Rosli rancak bercerita tentang pengalamannya memancing ikan di Sungai Tembat yang terletak hanya 2 kilometer dari rumah ibu saya.
Kata Rosli, selain keli, haruan, puyu, sepat dan belida juga menghuni di situ. Kadang kala kalau bernasib baik, lampam dan jelawat juga boleh menjadi mangsa umpan. Mendengar cerita Rosli itulah yang membuatkan hati saya begitu membara untuk pergi memancing.
Tidak sampai sepuluh minit berbincang, kami sudah mengambil keputusan untuk pergi memancing pada malam itu juga, sebaik rendang daging ini masak.
Usai solat Isyak, saya, Rosli dan dua lagi rakan pemuda kampung, Azmi dan Palawi menunggang dua buah motosikal menuju ke Sungai Tembat.
Pemergian kami tidak sesiapa pun tahu. Kalau diberitahu kepada isteri tentu dia akan berleter panjang. Maklumlah banyak lagi kerja di dapur yang menunggu.
Dengan menggunakan cacing dan cengkerik sebagai umpan, kami mengambil port di sepanjang tebing sungai untuk mencari mangsa. Sedetik demi sedetik masa berlalu. Malam itu memang malam yang gemilang. Semua umpan yang dilabuhkan dimakan mangsa dengan rakus.
Saya sendiri sudah memperoleh tiga ekor ikan keli dan seekor belida bersaiz dua tapak tangan. Kami memancing tanpa bersuara. Hanya bertemankan asap rokok yang dijadikan penghalau nyamuk yang menyanyi riang di gegendang telinga.
Sepanjang berada di situ, hati saya langsung tidak teringat kenduri di rumah. Saya asyik melayan tarikan ikan yang menjadi mangsa umpan yang saya taburkan. Saya tidak kisah sama sekali sama ada saya mendapat ikan kecil atau besar. Yang penting keseronokan menarik ikan di hujung tali kail yang mendatangkan feel luar biasa kepada saya.
Dalam asyik melayan tarikan ikan itulah saya tidak sedar sepasang mata besar berwarna merah tajam memerhati pergerakan saya dari rumpun buluh yang terletak di belakang saya. Ketika angin sejuk berhembus diikuti dengan pergerakan awan tebal gelap menutup cahaya bulan penuh malam itu, pergerakan mata merah itu semakin hampir dengan tempat saya duduk di tebing sungai.
Saya hanya berasa bulu roma saya meremang tiba-tiba dan mendengar jeritan kawan-kawan yang menyuruh saya lari. Itulah ayat terakhir yang singgah di gegendang telinga sebelum saya merasakan pandangan saya kelam dan saya tidak sedarkan diri.
Saya hanya tersedar apabila mendengar bunyi azan yang mendayu-dayu di telinga. Sebaik sahaja saya membuka mata, saya melihat wajah isteri yang sembab dan wajah ayah yang sugul duduk di bahagian kepala saya. Melihat saya membuka mata, barulah mereka tersenyum dan isteri memeluk saya dengan erat.
Saya jadi terpinga-pinga dengan kejadian sebenar yang berlaku. Perasaan hairan itu menjadi Tembatbah apabila melihat ruang tamu itu dipenuhi dengan jiran tetangga yang datang. Tok Sidang Majid dan Imam Syukri juga tersenyum memandang saya. Saya disuruh minum segelas air yang sudah dibacakan Surah Yassin.
Laju saya minum kerana terlalu haus. Akhirnya, saya tahu juga kisah sebenar apa yang berlaku. Menurut Azmi dan Palawi, mereka menjerit menyuruh saya lari kerana ketika itu mereka ternampak kelibat seekor harimau sebesar kerbau jantan keluar meluru daripada rumpun buluh menuju ke arah saya.
Apabila bayangan itu hilang, saya seolah-olah dirasuk apabila mula merangkak dan mengaum dari tebing. Saya juga mula meratah ikan mentah saya yang dapat tadi seekor demi seekor. Mereka cuba menghampiri saya untuk membawa saya balik namun kekuatan yang ada pada saya sangat luar biasa.
Namun apabila Rosli melaungkan azan dan membawa ayat Nabi Sulaiman barulah saya menjadi lemah dan mudah dipapah ke atas motor.
Di rumah ibu juga, saya bagaikan dirasuk apabila mula menjerit, mengaum dan bercakap benda-benda yang merepek. Hanya setelah Imam Syukri dan Tok Sidang datang, barulah saya beransur pulih dan mula sedar diri.
Saya bersyukur kerana tiada apa-apa yang lebih buruk berlaku kepada saya selepas itu. Sesungguhnya, saya percaya itu adalah ujian yang Allah SWT berikan supaya saya sentiasa beringat dan lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Penggunaan perut ayam sebagai umpan pancingan ikan air tawar, terutamanya di kolam pancing air tawar komersial bukan sesuatu yang baru. Malah, ia merupakan antara umpan terawal yang digunakan berikutan ikan-ikan kolam yang datangnya dari kolam ternak, turut diberikan perut ayam sebagai salah satu diet tumbesarannya.
Selain penggunaan di kolam pancing, umpan perut ayam khususnya yang telah diperam untuk sesuatu tempoh sehingga menerbitkan bau yang busuk, turut digunakan untuk memancing ikan baung di sungai-sungai. Ia sememangnya umpan yang sangat mujarab bagi memburu spesies yang enak dibuat masak tempoyak ini.
Persoalannya di sini, adakah wajar umpan perut ayam yang berbau busuk itu turut digunakan untuk pancingan di kolam komersial?
Secara peribadi, saya bukanlah anti umpan sebegini tetapi penggunaannya di kolam-kolam memancing terutamanya apabila berlangsungnya pertandingan, benar-benar mengganggu ketenteraman. Seperkara lain, umpan-umpan berbau ini bukan sekadar mencemarkan kualiti udara tetapi turut menjejaskan tahap kebersihan lokasi di mana ia dipakai.
Terutamanya apabila umpan perut yang tidak habis digunakan itu dibiarkan begitu saja di lokasi memancing.
Bagi pihak admin, rasanya sudah sampai masanya umpan sebegini diharam penggunaannya selari dengan pancingan gaya moden masa kini. Itu pendapat admin, pendapat korang pula bagaimana?
“Bagi saya… ini hanya pendapat saja. Tidak ada salahnya menggunakan organ haiwan. Nama pun pertandingan. Jadi, mesti ada ketelusan dalam prasyarat tu sebab mereka mengeluarkn yuran pertandingan. Sama ada menang atau kalah, mereka rela untuk menyertainya. Mengapa perlu ada halangan…!? Cuma perlu dititikberatkan tentang kebersihan selepas penggunaannya atau selepas pertandingan.”
Encik Abu
“Saya juga sependapat dengan admin. Tidak wajar… penggunaan organ haiwan akan menyebabkan masalah bau dan mengundang lalat… jijik tau tak jijik…!”
Syidi Baik
“Setuju min… memang tidak wajar digunakan lagi. Sampah pun malas nak buang dalam tong sampah. Ni lagi la organ haiwan yang baunya menusuk kalbu.”
Shah Zi
“Kebanyakan kolam memancing sekarang memang dah tak dibenarkan guna umpan organ dah. Apa lagi kalau waktu pertandingan, marshal dok perati je… ni area Klang Selangor la.. area lain tak tau la.”
Laksamana Awan
“Wajar… kalau di tempat aku memang lumayan hasil tangkapan. Saiz memang memuaskan… memang terkejut ketika umpan disentap.”
Raymond Ganya
“Boleh jer… jangan banyak syarat kalau pancing kolam bayar. Kalau banyak syarat lama-lama pemancing berkurang… siapa rugi?”
Lan Ruslan
“Tak wajar… boleh menyebabkan kolam ikan berbau busuk. Kalau dah kolam berbau busuk, lama-lama pemancing pun berkurang. Yang datang pun cuma kaki-kaki umpan busuk je.”
Mohd Nazim Ismail
“Tidak wajar dalam pertandingan. Baunya sangat busuk mengganggu pemancing lain. Bayangkan juga tidak semena-mena umpan tu terkena kat muka korang? Uwekkkk!”
Jeffrey Engan
“Wajar… Kebiasaannya bab kebersihan dan bau-bauan ini akan menjadi tanggungjawab penganjur.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...