Mencari udang galah ataupun lebih dikenali sebagai jenggo di Brunei sebenarnya tidak banyak bezanya dengan gaya pancingan di Malaysia. Jenggo boleh dipancing sepanjang tahun tetapi ketika awal tahun ialah musim yang terbaik di Brunei. Saya kira ia mungkin sama sahaja di Malaysia juga.
Dalam sesi memancing jenggo, umpan dan faktor air sungai sangat memainkan peranan yang penting. Umpan yang biasa kami gunakan di sini seperti cacing, bangkutut (anak udang), punpun nipah dan jantung ayam. Saya rasa umpan ini juga biasa digunakan di Malaysia.
Ads
Sebagai pemancing apatah lagi sebagai seorang tekong, mestilah pandai meliat keadaan air dan menjangka suhu air dan mencari lubuk-lubuk yang berpotensi. Suhu air yang agak sejuk ataupun perjalanan air yang agak laju sukar untuk mencari sepit biru atau jenggo.
Lubuk yang agak dalam dan mempunyai putaran air agak berpotensi disini. Ia sering menjadi lubuk yang sering dikunjungi oleh kami para pemburu jenggo. Harus difahami juga bahawa udang bergerak dalam kumpulan dan jangan berpindah agak telalu jauh.
Ads
Keadaan air yang bergerak surut agak mudah untuk mendapatkn sepit biru atau jenggo dan air bergerak naik pasang sukar untuk mencari kerana ia lebih suka bersembunyi dan pemancing perlulah memburu di bawah kayu atau akar-akar nipah.
Ads
Saiz Mata kail yang biasa kami gunakan adalah no. 4, 5, 6 dan halus agar tidak selalu lucut. Penggunaan satu mata kail di lubuk yang agak bersangkut dan dua mata kail di lubuk yang kurang sangkut.
(Oleh: Alay Syaa – Tekong Kb Brunei Darussalam)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Setiap hari, setiap inci lubuk-lubuk berpotensi di perairan Selat Melaka dari utara hinggalah ke selatan tanah air saban hari diteroka oleh pemancing.
Pemancing tradiosional, pemancing komersial mahupun pemancing rekreasi berlumba-lumba mengetuk lantai laut bagi mendapatkan `bantal emas’ yang bernilai tinggi.
Ada yang memanggilnya jenak, ada yang menggelarnya unga, tetapi lebih ramai lagi yang mengenalinya sebagai jenahak – si golden snapper bernilai emas.
Selaku pemancing rekreasi, saya sudah memburu spesies dari selatan tanah air sehinggalah ke menjangkaui sempadan tanah air.
Anehnya, perairan Sungai Besar yang terletak di Lembah Kelang, yang merupakan padang pancing yang dianggap berdekatan tidak pula dikunjungi.
Perairan Sungai Besar sebenarnya bukanlah destinasi baru dalam dunia pancingan jenahak.
Spesies bersisik emas ini sudah sekian lama dipancing dengan kaedah tradisional dan bot-bot pancing yang beroperasi kebanyakannya bot kayu.
Justeru apabila munculnya operator atau tekong jigging menggunakan bot laju fiber, dalam masa singkat khidmat operator yang kecil bilangannya ini menjadi rebutan ramai penggemar sukan memancing jigging perlahan.
Saya sendiri bersama beberapa orang rakan seangkatan terpaksa menunggu agak lama untuk mendapatkan khidmat tekong jigging Sungai Besar ini.
Berbanding perairan laluan kapal Port Dickson atau Pelabuhan Kelang, waktu terbaik untuk memburu jenahak di perairan Sungai Besar adalah ketika arus lemah.
Atau menghampiri air mati. Justeru itu kami terpaksa menunggu hampir tiga bulan untuk mendapatkan waktu tersebut sebagaimana yang disarankan oleh tekong.
Lubuk atau spot jigging juga berbeza. Bukan lubuk berkarang tebal atau jurang dalam yang menjadi sasaran, sebaliknya dasar rata dengan sedikit lubang cetek pula yang menjadi taruhan.
Lubuk-lubuknya hampir sama sebagaimana lubuk pencarian kerapu atau tong gas di perairan Pulau Jarak.
Di perairan ini juga jig-jig aksi perlahan bersaiz 200 gm dan ke atas, dengan pelbagai warna yang telah banyak mengorbankan nyawa jenahak di perairan lain seperti hilang taring.
Sebaliknya jig yang lebih ringan dari 40 gm hingga 100 gm dengan warna asas keperakan ternyata lebih berkesan.
Bukan jenahak saja yang menggemarinya, kerapu-kerapu saiz hidangan meja juga berselera membahamnya. Malah bapak tenggiri bersaiz 10 kg turum sama menggonggongnya.
Sama ada ikan-ikan di perairan Sungai Besar menyukai jig kecil atau faktor arus lemah mempengaruhi persembahan jig, panorama memancing pada hari dipenuhi dengan kilauan emas yang mempersonakan.
Pesta menuai jenahak dimulakan oleh tekong sendiri. Setelah lebih dari sekali tekong menaikkan jenahak dan spesies lain dengan jig ringan, kami tidak tertangguh lagi menyimpan jig-jig berat.
Selain menukar kepada jig yang lebih ringan, aksi dan gaya tekong berjigging turut kami copy & paste.
Tatkala kebanyakan trip jigging perlahan kebelakangan ini amat kurang hasilnya dan menghampiri kumpau, maka kejayaan kami mendaratkan 8 ekor jenahak (tidak termasuk spesies lain), bolehlah dianggap sebagai satu pesta!
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Pulau Ketam yang terletak berhampiran Pelabuhan Klang merupakan satu lokasi yang bertunjangkan perikanan sebagai sektor industri utama. Selain itu, pulau yang mempunyai sejarah tersendiri ini menjadi salah satu spot yang mempunyai daya tarikan berteraskan ekopelancongan bagi negeri Selangor.
Lebih dikenali kerana industri perikanan komersial, Pulau Ketam turut menawarkan alternatif bagi kaki pancing sekitar Lembah Klang untuk datang ke sini. Dahulunya, sangkar ikan di sini mampu menarik minat pelancong untuk datang ke sini.
Hari ini, beberapa sangkar ikan di sini turut menawarkan pakej bagi kaki pancing untuk melepaskan gian merasa tarikan ikan di samping menjadi spot menarik untuk bercuti bersama keluarga.
Salah satu sangkar terapung di sini yang boleh dikunjungi oleh kaki pancing ialah Greenway Floating Fish Farm atau sering juga dikenali sebagai Kelong Greenway di kalangan kaki pancing. Kelong ini merupakan satu lokasi yang lengkap dengan fasiliti dan merupakan spot alternatif yang menarik bagi kaki pancing selain jaraknya yang mudah diakses.
Lokasi Greenway Fish Farm ini terletak berhampiran dengan perairan Pulau Ketam. Perjalanan menaiki bot mengambil masa kira-kira 20 minit dari Jeti Pelabuhan Klang yang memang menyediakan perkhidmatan untuk ke sini. Menurut Vincent, pemilik Greenway Fish Farm, chalet ini sememangnya terapung dan dipegang oleh sauh yang besar.
Pada awalnya, pembinaan sangkar ini untuk tujuan ladang ikan atau ternakan ikan secara komersial. Setelah beberapa tahun, Vincent mengatakan Greenway Fish Farm ini telah ditranformasi sepenuhnya untuk tujuan tarikan percutian keluarga terutamanya kaki pancing. Tambahnya lagi, ini bertujuan agar kaki pancing dapat memancing dengan lebih selesa di sini.
Di sini, anda dapat merasai kehidupan seharian di laut. Malah bagi kaki pancing, anda boleh memancing 24 jam jika berkunjung ke sini. Dengan kemudahan fasiliti yang lengkap, pasti memberikan keselesaan kepada keluarga dan anak-anak. Kedalaman air di sini agak dalam iaitu kira-kira 40 kaki di bawah sangkar atau chalet ini.
Chalet atau bilik yang disediakan di sini agak selesa bagi kunjungan keluarga. Terdapat 2 jenis bilik iaitu bilik tingkat atas dan tingkat bawah. Satu bilik tingkat bawah mampu memuatkan 4 orang dewasa dan bagi kaki pancing, bilik bawah lebih sesuai kerana lebih mudah akses untuk anda melakukan aktiviti memancing. Bilik di tingkat atas pula memuatkan 2 orang untuk satu bilik.
Sumber air tawar pula diambil dari tanah besar dan pihak Greenway sentiasa memastikan bekalan air tawar mencukupi. Keadaan bilik air pula sangat memuaskan dan bersih. Bagi sumber tenaga elektrik, pihak pengurusan menggunakan generator dan bekalan elektrik cuma beroperasi dari jam 6:30 petang hingga 7:00 pagi.
Selain itu, beberapa kemudahan lain juga turut tersedia. Antaranya ialah hammock yang sangat sesuai untuk berehat santai sambil menikmati tiupan angin laut. Terdapat juga tempat untuk melakukan barbeku jika anda mahu menikmatinya pada waktu malam bersama keluarga tau rakan-rakan. Bagi kaki pancing pula, banyak rod holder dipasang untuk memudahkan anda meletakkan rod semasa memancing.
Saya percaya, hampir semua kaki pancing bermula dengan pancingan tebing, kemudian barulah berjinak-jinak ke langkah yang berikutnya. Di sini saya ingin berkongsikan apa yang saya alami dan mungkin juga anda juga turut mengalaminya.
Menebing (landbase)
Dahulu sewaktu mula-mula berjinak dengan pancingan muara, hampir serata jambatan sama ada yang dibenarkan ataupun larangan, jeti tinggal, kuala sungai dan pinggir hutan bakau diterjah pada setiap hujung minggu. Asalkan ada getuan dan aksi tarikan tanpa mengira apa jenis ikan sudah memadai.
Hilang rasa gelegak keinginan memancing. Dari berseorangan memancing, lama kelamaan dapat berkenalan dengan kaki pancing yang lain maka bertambah geng yang sealiran. Lubuk dan kawasan pancing dapat diperluaskan. Sebut sahaja pesisir pantai sepanjang Selangor hampir semuanya dijelajahi.
Ketika itu perumpun sarang menjadi umpan paling mujarab, beli hari ini boleh bertahan 4 hari jika simpan tempat yang sesuai. Kadang kala cuba juga menggunakan udang hidup yang dibeli di tepi jalan namun banyak kes ia ‘kojol’ dan kemerahan sebelum sampai di kawasan memancing.
Dengan akal yang ada maka umpan yang berada di kawasan berhampiran seperti siput, kupang dan anak ikan yang di pancing turut boleh dijadikan umpan sekiranya kehabisan perumpun.
Atas pengalaman itu hanya perumpun sahaja yang terbaik untuk bergerak ke serata di kawasan muara sungai menggunakan kenderaan darat. Masa itu agas atau nyamuk bukan halangan asalkan dapat menghilangkan stress tekanan kerja pada hujung minggu.
Lama kelamaan apabila asyik gelama, gegerut, bebolos, duri dan sesirat, tetuka dan anak tetanda yang berjaya didaratkan, hati mula berteriak mencari spesimen yang lebih besar, lebih nilai, lebih gred sesuai dengan pengalaman memancing sudah mengembang.
Namun bila setiap kali terpandang sampan pemancing mundar mandir di kawasan kita memancing, hati tertanyatanya bila pula masanya untuk merasai memancing bersampan. Dah sampai waktunya, takkan selamanya asyik nak menebing?
Bersampan dan tekong
Dari situ mula beranikan diri menyewa sampan kecil berserta tekong untuk memancing di sekitar Pelabuhan Klang. Barulah puas dapat melabuhkan umpan di tempat yang selama ini kena lontar sekuat tenaga. Dari atas sampan cuma hulur sahaja ke bawah. Menggunakan khidmat tekong kadang kala masa memancing terasa terlalu singkat, tekong kenalah banyak kerja lain yang dilakukannya.
Almaklum beliau bukan tekong sepenuh masa. Mana cukup nak menyara keluarga kalau hanya bawa orang memancing dengan kadar sewa RM200. Sampan berukuran 19 kaki menggunakan enjin sangkut 30Hp dengan kapasiti muatan 3 orang pemancing dan seorang tekong. 4 orang berada dalam sampan kecil tidak banyak pergerakan yang boleh dilakukan.
Duduk setempat seharian hingga kematu punggung. Belum masuk ke anak sungai bila tekong terpaksa menjala mencari bekalan umpan udang hidup. Keluar dari anak sungai muka merah-merah dipenuhi dengan tompokan lumpur sungai dan kesan lebam dek sang agas. Bila bersampan sesekali dapat merasa tarikan sembilang, ikan pari, tebal pipi dan senangin.
Spesies ikan yang gemar udang hidup atas sebab itu kami tiada pilihan lain kecuali mengikut tekong menjala di anak sungai bila air dah surut. Banyak juga kes terpaksa menunggu tekong yang tidak muncul-muncul. Masa memancing terbuang begitu sahaja. Panas hati membara apabila sering kena tipu dan kansel trip pada saat akhir.
Sendirian
Hati pemancing jarang sekali merasa puas. Bila tak tahan penangan agas, suruh tekong pergi menjala dahulu dengan kos tambahan umpan dan minyak dipersetujui. Dapat lama lagi memancing tanpa membuang masa mencari umpan. Apabila kita ada waktu terluang, tekong pula ada hal lain. Kemudian hati mula memberontak lagi, sewa sampan bawak sendiri lagi senang.
Lebih mudah, ada waktu terluang, beli umpan, isi minyak, bayar duit sewa sampan, start enjin terus ke lubuk. Bebas ke sana ke mari berpindah apabila hasil tidak menepati sasaran. Setiap kali air bah, setiap kali pantai berubah, pepatah yang hakiki kenyataannya.
Mana tidaknya, kalau memancing di tebing senang nak cam kawasan, ada jalan, ada pokok dan kesan lama kita memancing, tapi kalau di tengah sungai nak cam pokok tiba-tiba dah hilang ditebang dan ada yang tumbang ke air.
Kemudian apabila membuat penilaian dan rumusan trip keputusan hasil amat tidak berpadanan dengan kos yang dileburkan untuk memancing. Melihat orang lain membawa hasil yang lebih baik maka hati sekali lagi tersentak. Kawasan sama, argggh… Mungkin nasib mereka lebih baik. Atau mereka kena lubuk, tapi kita kena serbuk!
Apabila sukar nak cam lubuk kerana keadaan tebing yang berubah dek pembangunan, maka tiada jalan pintas lain kecuali menggunakan alatan yang sesuai. Selepas itu dunia pancing mula mengenal GPS dan carta pasang surut.
Mana boleh kalah sepanjang waktu. Memancing perlu ada pembaharuan, perlu ada revolusi seperti pesisir pantai dataran muara Klang, dari hanya Pelabuhan Selatan, Kemudian Pelabuhan Utara dan seterusnya Pelabuhan Barat.
Ketika pembinaan Pelabuhan Barat, banyak lubuk dan lokasi kapal karam tempat tumpuan memancing dimusnahkan, laluan diperdalami untuk memudahkan kapal dagang masuk ke pelabuhan.
Pesisir pantai dan hutan bakau digondol dan diganti dengan jeti dan dermaga siap sekali dengan papan tanda ‘KAWASAN LARANGAN MEMANCING’. Itu juga satu revolusi…!!!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...