Sebelum kita pergi kepada taktik dan teknik memancing udang galah, kita perlu memahami udang galah dan habitat yang ia hidup.
Udang galah hidup berkelompok dan selalunya terdapat di kawasan yang mempunyai reba atau struktur yang terdapat di dalam sungai.
Memahami situasi sesuatu lubuk adalah perkara yang paling utama sebelum melabuhkan umpan.
Sekiranya arus air deras maka mereka akan berselindung di kawasan tepi dan semasa tiada arus atau arus perlahan mereka akan ke tengah sungai.
Gagal memahami tabiat udang ini bakal menyebabkan kita rentung sepanjang hari.
Udang galah aktif apabila air sungai bersuhu suam dan akan kurang makan apabila air sungai sejuk atau terlampau tawar.
Musim yang paling baik untuk memancing udang adalah pada musim panas atau kemarau.
Udang galah adalah haiwan jenis omnivor iaitu spesies yang makan serba-serbi yang dijumpainya.
Bagi saya, umpan yang saya selalu gunakan adalah perumpun, cacing, isi ikan, jantung ayam yang dibakar sedikit dan dihiris, isi ikan kembung, kulit ayam dan ikan longkang atau
gapi yang ditangkap dan disimpan dalam bekas plastik selepas direnjiskannya dengan sedikit belacan dan dibekukan selama sehari dua.
Boleh dikatakan udang galah akan makan serba jenis benda yang berdaging yang berbau.
Untuk mata kail pula saya selalu menggunakan mata kail no 1 hingga 5 kerana saiz ini paling sesuai di mana adakala saya pakai jenis berduri (barb) dan ada masa jenis tidak berduri (barbless). Apa yang penting mata kail itu mestilah tajam.
Satu lagi tip yang saya hendak berikan adalah supaya menggunakan ‘burley’ atau rasuah untuk memikat udang datang.
Caranya gunakan makanan kucing yang basah yang dijual di kedai di dalam tin ataupun paket. Saya akan membuatkan lubang pada tin atau paket dan meletaknya di bawah bot atau sampan.