Tip Padu Menewaskan Spesies Ketarap

Share

 

Ketam bakau atau nipah adalah umpan terbaik untuk memancing ketarap tetapi udang hidup dan sotong segar juga boleh digunakan. Oleh kerana ikan ketarap ini selalu berlegar mencari makanan di kawasan karang maka set pancing yang sedikit melampau diperlukan walaupun saiz ikan tak sebesar mana.

 

 

Taktik ikan ketarap melepaskan diri bila terkena pancing ialah menyelusup ke dalam karang dan ini menyebabkan perambut selalu putus bila bergesel dengan karang yang tajam. Set yang sesuai ialah reel spinning dikunci dengan drag maksimum dan dipadankan dengan rod PE 3-5 yang keras dan pendek. Tali utama yang sesuai ialah 50lb disambung perambut pendek maksimum 1meter sahaja.

 

 

Bila Ketarap menjamah umpan kita mestilah cepat bertindak mengangkat joran setinggi yang boleh sambil menahan asakan ikan yang akan meluru ke karang. Tahan seketika dan kemudian buatlah 4-5 karauan secepat mungkin supaya ikan ditarik jauh dari kawasan karang.

 

Untuk menyediakan umpan, ketam nipah ini mesti dikopek cengkeranya dan dipotong empat bahagian jika umpan itu besar. Ketuk sedikit kaki nya supaya aroma ketam itu keluar membuat ketarap lebih cepat menjejak umpan.

 

 

Setelah umpan dicangkuk ke mata kail, hulur perlahan-lahan dan bila sudah jejak ke dasar, tarik atau pusing kekili untuk menggantung umpan setinggi 1 meter dari dasar. Jika kena musimnya kita tidak menunggu lama untuk ketarap membedal umpan.

 

 

Published by
Amang