Sekiranya korang bertemu kawasan-kawasan paya, parit, lopak atau kawasan penuh reba berhampiran dengan sungai, ambil masa untuk memerhati sekiranya ada kewujudan ikan bujuk di kawasan tersebut. Jika ada bunyi mencakup (sambaran ikan di dalam air), maka peluang untuk anda memperoleh lesen bujuk adalah tinggi. Bunyi mencakup ini biasanya boleh kedengaran pada waktu awal pagi dan lewat senja kerana pada waktu inilah bujuk aktif memburu makanan selain pada waktu malam.

 

Cara kedua untuk mengesan kehadiran bujuk adalah dengan mengesan kelompok anak bujuk. Untuk mengesan kelompok anak bujuk (hampir sama dengan kelompok anak haruan) perlulah fokus dan peka pada riak permukaan air. Lazimnya kelompok anak bujuk ini berada di bahagian tepi tebing parit atau paya. Oleh yang demikian mata perlulah fokus pada bahagian tepi tebing. Sekiranya bertemu kelompok anak bujuk yang masih kecil maka korang akan berpeluang untuk strike sepasang induknya.

 

Sekiranya menemui parit atau paya yang dipenuhi samai pula, korang perhatikan pula jika terdapat lubang atau ruang kosong. Lazimnya lubang ini menjadi ruang untuk bujuk timbul menghirup oksigen untuk bernafas. Maka ruang inilah korang gunakan sebagai spot untuk memancingnya dengan menggunakan umpan cacing, ikan atau katak.

 

TIP MENGUMPAN & MEMANCING

 

Sekiranya menggunakan cacing, sebaiknya gunakan cacing tersebut sebagai rasuah terlebih dahulu. Cincang sedikit cacing dan taburkan ke dalam lubang yang dipercayai tempat bujuk timbul tersebut. Biarkan seketika bagi meihat sebarang reaksi di permukaan lubang tersebut.

 

Atau korang boleh saja memancing dengan menggunakan umpan cacing. Sebaiknya cangkukkan cacing dalam jumlah yang banyak pada mata kail. Kemudian hulurkan saja umpan ke dalam lubang tersebut. Sama ada menggantungkan umpan di pertengahan air atau sampai ke dasar, umpan perlulah dihenjut perlahan-lahan. Jika ada bujuk yang menanti, dalam masa singkat korang akan menerima strike.

 

Kaedah yang sama boleh dilakukan jika menggunakan umpan ikan atau katak. Kekalkan unjunan perlahan di dalam lubang tersebut. Sekiranya menggunakan katak boleh juga membuat lontaran ke atas sama dan tarik perlahan-lahan sehingga umpan masuk ke lubang. Berkemungkinan korang akan menerima sambaran sejurus katak tenggelam di lubang tersebut.

 

Sekiranya menggunakan umpan katak dan di kawasan yang lebih terbuka pula dengan kaedah casting, sebaiknya biarkan katak tenggelam sebelum melakukan karauan. Ini kerana lazimnya bujuk kurang membuat sambaran di permukaan air. Ia lebih gemar membuat sambaran di dalam air. Apabila umpan katak tenggelam ke dasar dan buatlah karauan perlahan, berhenti seketika dan karau lagi.