Tip Mengilat Port Pulau Berbatu

Share

 

Perairan negara kita banyak di kelilingi pulau-pulau berbatu. Bagi pulau yang boleh diakses seperti Pulau Setindan di Mersing, ia adalah satu peluang untuk memancing spesies yang gemar mendiami celahan batu terutamanya pelbagai jenis ikan kerapu.

 

Tip Peralatan & keperluan

 

 

Joran

Joran 6 hingga 7 kaki aksi ringan atau sederhana. Tidak disarankan menggunakan joran lebih lembut kerana ia memberi kelebihan kepada ikan untuk menyusup ke celah batu.

 

Kekili

Apa saja saiz kekili menegak dan bagi kekili mendatang (spinning) siri 2000-5000 sudah memadai.

 

Tali

Jika menggunakan tali mono (tangsi) dari 10-20lb. Sebaiknya gunalah tali yang tahan geseran dan jika menggunakan tali sulam 15lb-30lb, pastikan leader 20lb-40lb yang panjang sekurang-kurangnya 2 meter.

Ini kerana tali mudah putus jika bergesel pada batu-batu atau teritip yang tajam.

 

Gewang

Gewang selaman cetek jenis floating berwarna cerah, spoon berwarna silver dan soft plastic lebih sesuai digunakan.

Gewang selaman cetek aksi floating ini amat berkesan menarik minat kerapu dengan lenggoknya, malah mudah dilihat. Risiko tersangkut di bebatu pun kurang.

 

Panduan Casting:

Sebaiknya bergerak pada waktu pagi ketika menghampiri surut kering. Pada waktu ini bolehlah melangkah dari satu batu ke batu lain lain hingga dapat pusing satu pulau. Dan akan bergerak pulang pada waktu petang ketika air mula pasang penuh.

 

Pancing ketika air surut ada sedikit kelebihan kerana jika gewang tersangkut, paras air tak terlalu tinggi atau membimbangkan untuk mengambil kembali gewang tersebut.

Seandainya tersangkut di tempat berisiko harap lupakan saja. Sebaiknya bawa lebih dari satu set gewang.

 

Lontaran gewang ke arah bebatu harus stabil. Pastikan arah angin juga penting agar lontaran tak mengecewakan. Buatlah lontaran 4-5 kali pada satu tempat kemudian beralih ke tempat lain pula.

 

 

 

Pakailah kasut getah. Kasut getah ini sangat efisien mencengkam ketika berjalan di atas bebatu yang tajam dan licin.

Walau bagaimana pun berhati-hati ketika melompat dari satu batu ke batu. Risiko mendapat kecederaan jika tersilap langkah.

 

Ketika gewang telah diragut ikan,usah layan lama-lama kerana tak mustahil ikan berjaya bawa ke celah batu. Kerana kerapu memang habitat tinggalnya di celah dan rekahan bebatu.

 

Bawa bonjot sekali kerana jaring ini amat sesuai bagi memastikan ikan kekal hidup. Sekiranya ikan dah mati, kepala asyik terfikir nak cepat balik. Khuatir ikan dah tak fresh, sementara membawa tong ais amat menyusahkan.

 

Keselamatan diri harus diutamakan. Beritahu tempat lokasi pancingan kepada keluarga atau teman. Bawa handphone, tak lupa beg sandang untuk bawa alatan pancing, makanan dan air minuman.

 

(Sumber: Zulkifflee Hussin)

 

Published by
Amang