Tidak dinafikan sotong hidup merupakan umpan terbaik jika anda memancing di laut pada waktu malam.
Ini disebabkan badan sotong mampu menyerap dan membebaskan cahaya dan ini akan menarik banyak pemangsa untuk membahamnya.
Namun untuk mendapatkan sotong hidup bukanlah mudah.
Sebagai alternatif, anda masih boleh menggunakan sotong yang sudah mati tetapi masih segar. Di sini kami berikan sedikit panduan bagaimana untuk memilih dan menyimpan sotong mati sebagai umpan.
Ads
⇒Pilih sotong yang segar. Sotong yang masih segar biasanya memiliki mata hitam bergelang putih dan berkilat.
⇒Pilihlah badan sotong yang kelihatan bersinar umpama pelangi apabila dilihat dari sudut yang terkena biasan cahaya. Lihatlah badan sotong dari berbagai sudut untuk memerhati biasan cahaya.
⇒Jika tidak ada sinaran saperti warna pelangi itu bermakna ia kurang efektif untuk dijadikan umpan.
Ads
Jika masih ada sinar pelanginya itu bermakna sotong tersebut masih mempunyai pigmen yang berupaya untuk menyerap cahaya dan memantulnya kembali seperti luminous.
⇒Sotong hendaklah disimpan dalam satu baris di dalam kotak atau tupperware. Jika sotong hendak diletakkan di dalam keadaan bertindan, sebaiknya anda letak kain lembut atau plastik di antara keduanya supaya tiada kesan tindanan di antara satu sama lain.
Badan sotong yang bertindanan akan menyebabkan ia cepat rosak. Kemudian simpan dalam peti sejuk.
Ads
⇒Jika anda memancing pada waktu malam, sebelum umpan sotong dilabuhkan, sebaiknya suluh dulu umpan tersebut dengan lampu suluh anda dalam anggaran 30-45 saat. Jika ada lampu biru atau cahaya ultraviolet atau lampu LED lebih baik.
Pigmen pada badan sotong akan menyerap cahaya tersebut dan akan memancarkannya kembali di dalam air laut yg gelap. Ini akan membuatkan umpan kelihatan saperti sotong hidup yang dalam kesakitan.
⇒Semua jenis sotong mempunyai pigmen tersebut, oleh itu pandai-pandailah anda memilih sotong untuk kegunaan pancingan anda.
Apa pendapat anda? Tinggalkan komen dan tolong share ya. Terima kasih!
Jangan lupa like & see first Facebook Majalah Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pernah atau tidak anda daratkan apa-apa saja spesies marin yang berstatus monster?
Admin percaya tentu korang gagal mendaratkannya kerana kalau tak dapat naik tentunya monster.
Asal tak naik je monster. Tapi, apa yang disiarkan ini ialah monster yang berjaya dinaikkan.
Lobster : Maine, Amerika Syarikat.
Lobster yang terbesar pernah ditangkap direkodkan di perairan Maine, New England di Amerika Syarikat.
Lobster ini seberat 27 paun dan besarnya kira-kira saiz kanak-kanak berusia 3 tahun. Ia diberi nama ‘Rocky’ dan sepitnya sahaja mampu mencederakan lengan seorang lelaki dewasa.
Beratnya tertumpu pada sepitnya dan ia dikatakan mampu mematahkan lengan jika disepit. Rocky telah dilepaskan kembali ke lautan beberapa hari selepas itu.
Red King Crab : Lautan Pasifik
Ketam juga merupakan salah satu hidupan akuatik yang mempunyai ciri-ciri yang unik serta mempunyai rasa yang lazat sebagai hidangan.
Namun begitu, tahukah anda ketam terbesar yang pernah dinaikkan mempunyai berat sehingga 15kg?
Itulah seekor ketam Varanger (Varanger king crab) dengan jarak hujung ke hujung hampir 2 meter yang pernah dinaikkan di Lautan Pasifik.
Ketam Varanger ini juga sering digelar sebagai “red king crab”.
Giant Squid : Lautan Artik
Sotong gergasi ini telah ditangkap di Lautan Artik dan direkodkan seberat 1089 paun. Ia telah mengatasi rekod berat sotong sebelum itu yang direkodkan di New Zealand iaitu 992 paun.
Panjang sotong gergasi dari Lautan Artik ini mencecah sehingga 6 meter panjang. Bayangkan betapa besarnya gergasi ini!
Pirarucu : Amazon, Brazil.
Arapaima gigas boleh dikatakan spesies legenda yang masyhur di kalangan pemancing.
Jadi tidak hairanlah Lembah Amazon di Brazil ini mampu berbangga dengan spesies ikan naga sebagai rekod terberat pernah dinaikkan menggunakan rod dan kekili.
Spesies yang dijinakkan oleh pemancing profesional tersohor, Jakub Vagner pada 2010 ini telah merekodkan angka 339 paun (154 kg) dan ianya juga diperakui oleh IGFA sebagai rekod rasmi.
Cichla temensis : Rio Negro, Brazil
Berhampiran dengan Lembah Amazon, Rio Negro memang terkenal sebagai lokasi pancingan peacock bass ditambah dengan sokongan daripada pihak negeri untuk menjadikan lokasi tangkap dan lepas.
Pada tahun 2010, seorang pemancing warga Brazil iaitu Andrea Zaccherini, telah berjaya menaikkan seekor spesimen spesies C. temensis seberat 29.1 paun ketika trip memancing yang disertainya.
Ini seterusnya memadam rekod lama seberat 28 paun yang direkodkan hanya kira-kira 10 bulan sebelum itu.
Alligator Gar : Texas, Amerika Syarikat
Spesies yang menyerupai haiwan pra-sejarah ini berjaya dijinakkan oleh seorang pemancing dari Texas iaitu Brent Crawford.
Beratnya melebihi 300 paun dengan panjang berukuran 8 kaki 2 inci. Tangkapan Crawford dikatakan menjadi rekod terbesar alligator gar yang didaratkan dengan teknik pancingan busur (bow-fishing) mengatasi rekod lama iaitu 279 paun.
Bagi rekod tangkapan alligator gar menggunakan rod dan kekili, rekod terberat ialah 365 paun.
Blue Marlin : Kona, Hawaii
Marlin ini digelar marlin biru legenda Pasifik setelah ia berjaya didaratkan pada tahun 1984 di perairan Kona, Hawaii.
Panjang marlin ini mencecah sehingga 17 kaki dan beratnya pula direkodkan seberat 1656 paun. Ia mengambil masa lebih daripada 2 jam bagi pemancing menaikkan gergasi ini.
Begitu pun, ia dikatakan marlin kedua terberat yang pernah dinaikkan menggunakan rod pancing.
King Salmon : California, Amerika Syarikat
Seorang pegawai hidupan liar telah menangkap seekor salmon yang dikatakan terberat di selatan California.
Spesies salmon Chinook ini direkodkan seberat 85 paun dengan panjang mencecah 4 kaki.
Ikan ini dikatakan berenang sejauh hampir 100 batu menuju ke hulu sungai untuk menghempaskan telur sebelum mati kemudiannya.
Giant Stingray : Thailand
Pari air tawar yang terbesar pernah ditangkap telah direkodkan di Thailand. Dengan berat mencecah 770 paun ianya ditangkap oleh seorang warga British yang memancing di Thailand ketika membantu program tagging spesies berkenaan.
Ukuran spesimen sekitar 7 kaki panjang dan 7 kaki lebar ini mengambil masa hampir 2 jam sebelum berjaya didaratkan.
Giant Mekong Catfish : Thailand
Pada Mei 2005, seekor patin Mekong (Pangasionodon gigas) telah berjaya didaratkan yang mana saintis percaya ia merupakan yang terbesar pernah dinaikkan.
Saiznya sepanjang 9 kaki dan beratnya mencecah 646 paun hampir sebesar seekor beruang.
Oleh kerana ia dikategorikan sebagai spesies terancam, nelayan di sana cuba untuk melepaskan kembali, namun sayangnya Mekong tersebut mati.
Pancingan mengunjun atau jigging merupakan teknik khusus sukan memancing bagi memburu ikan pelagik mahupun demersal. Terdapat pelbagai spesies ikan demersal namun dalam sukan memancing jigging yang berkonsepkan pancingan ikan dasar, terdapat beberapa spesies yang menjadi sasaran utama.
Kerapu Boron
Boleh dikatakan, setiap pengamal slow jigging berhasrat untuk menundukkan kerapu boron atau tong gas ini. Walaupun daya juangnya cuma seketika namun aksinya selepas membaham jig itulah yang dirindukan. Pasti ramai pecinta jigging perlahan merindui aksi benamannya dalam usaha melarikan diri setelah tersangkut mata jig.
Info Kerapu boron:
Nama saintifik: Epinephelus malabaricus
Nama Inggeris: Malabar Grouper
Nama tempatan: Kerapu, boron, tong gas
Kerapu mampu survival dalam pelbagai habitat. Ia mampu hidup di kawasan terumbu karang, terumbu berbatu, muara, kawasan paya bakau serta lautan hingga kedalaman 150 meter. Boron atau turut digelar ‘tong gas’ merupakan hidupan laut yang lasak. Dengan kepala coklat dan badan panjang.
Badannya dilitupi bintik hitam kecoklatan yang meningkat jumlahnya seiring usia. Ia mampu membesar sehingga 120 cm dan 150 kilogram berat.
Kakap Merah
Ia merupakan ikan sisik yang dianggap sebagai ikan trofi jika berjaya mendaratkannya. Dalam disiplin jigging, kakap merah dianggap rare species berikutan peluang untuk mendaratkannya amat tipis walaupun berpuluh kali trip memancing diadakan. Hingga dikatakan hanya jigger tahap masta saja yang bejaya mendaratkannya.
Info Kakap Merah:
Nama saintifik: Lutjanus argentimaculatus
Nama Inggeris: Mangrove jack
Nama tempatan: Kakap merah, siakap merah, tambong
Ikan kakap atau lebih popular dengan panggilan MJ di kalangan pemancing lazimnya hidup di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan.
Apabila matang ia akan berhijrah ke laut lepas. Justeru ia menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pemancing untuk membezakan kakap merah yang didapati di muara dengan kakap merah di laut dalam.
Temerih
Dalam skop jigging masa kini, temerih atau ibu gelama dianggap sebagai spesies buruan paling atas masa kini. Ia berikutan bukan sahaja kerana kesukaran untuk memperolehinya, bahkan disebabkan tahap kekuatan pertarungannya yang luar biasa berbanding spesies. Seperkara lain, ibu gelama yang lazimnya ditumpaskan melalui teknik slow jigging ini, saiznya besar-besar belaka.
Info Temerih
Nama saintifik: Argyrosomus japonicus
Nama Inggeris: Mulloway, Jewfish, Kingfish
Nama Melayu: Ibu gelama, temerih
Argyrosomus japonicus adalah spesies ikan berwarna keperakan dan hijau gangsa yang tergolong dalam keluarga Sciaenidae. Di Australia ia dikenali sebagai mulloway atau jewfish dan kob dusky di Afrika Selatan. Ibu gelama ini mampu mencapai panjang kira-kira 180 cm (80 kg berat), walau bagaimana pun purata saiz yang biasanya ditangkap sekitar 3-15 kg.
Spesies Merah
Ia merupakan spesies buruan utama dalam dunia pancingan dasar. Namun dalam disiplin jigging, spesies ini masih menjadi satu persoalan yang tidak terjawab sama ada ia benar-benar membaham jig. Atau dalam erti kata lain, bukannya jig hybrid atau jig yang diletakkan umpan. Namun peluang untuk memperolehnya dengan menggunakan jig sahaja tetap ada terutamanya ketika ia kelaparan.
Info Merah
Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama Inggeris: Crimson Snapper
Nama tempatan: Merah, merah pucat
Spesies yang mudah dikenali berikutan keseluruhan badannya termasuklah sirip berwarna merah atau merah jambu. Profil dorsalnya berkepala curam dan bermulut kecil. Ia mampu membesar sehingga 60 cm namun pada kebiasaannya yang didaratkan dalam lingkungan saiz 45 sahaja.
Melihat dari sudut pancingan, si bantal emas atau John’s snapper ini mungkin merupakan spesies ikan snapper yang paling digemari di kalangan kaki pancing. Atribut atau nilai utama tentunya pada nilai rasanya, malah tidak keterlaluan jika dikatakan jenahak merupakan antara spesies ikan paling sedap jika dikira di kalangan spesies ikan estuari.
Begitu pun, sesuai dengan statusnya sebagai tertiary consumer, pemangsa kepada pemangsa ini masih merupakan spesies ikan yang agresif dan agak licik. Agresif di sini merujuk kepada naluri jenahak sebagai ikan pemburu hendap.
Jenahak mampu memberikan kesulitan kepada pemancing pada awal pertarungan terutama sejurus menerkam umpan. Pertarungan yang agresif biasanya dalam tempoh yang singkat sebelum darjah kesulitan dan cabaran pertarungan bertukar daripada naluri pemangsa yang agresif kepada pertarungan kelicikan.
Apabila menyedari pertaruhan tenaganya pada awal pertarungan gagal, jenahak akan menukar strategi kepada bertahan di sebalik struktur atau karang yang ada. Ketika ini, objektif utamanya tidak lagi untuk menghauskan stamina pemancing, sebaliknya tertumpu kepada stamina dan keupayaan tali pancing yang digunakan. Jika pemancing berjaya mengekang kedua-dua darjah pertarungan ini, maka nikmat kepuasan pastinya hadir setelah ‘emas lautan’ ini dapat dicungkil.
Di Malaysia, juvenil atau sering kita gelar tetanda boleh ditemui di kawasan muara sebelum spesies ini bermigrasi ke lautan apabila dewasa. Jenahak dewasa juga boleh ditemui di kawasan berhampiran muara disebabkan untuk mengawan.
Saiz sebiji bantal dengan berat antara 1 kg hingga 6 kg merupakan saiz yang banyak dipancing oleh pemancing tempatan. Biasanya jenahak sebegini mudah dipancing di kawasan kedalaman lebih 30 kaki atau lebih dengan dipenuhi struktur karang, kapal karam, tukun dan sebarang bentuk struktur yang lain.
Jenahak biasanya ditemui berkumpulan dalam habitat yang disebutkan tadi. Jika pemancing menemui lubuk jenahak, pesta jenahak akan dimulakan namun perlu diingatkan, jika seekor jenahak terlepas atau terlucut ketika dipancing, jenahak lain di lubuk yang sama akan menjadi culas dan berhenti memakan umpan seterusnya.
TEKNIK PANCINGAN DAN UMPAN
Di Malaysia, terdapat dua aplikasi teknik pancingan jenahak yang terkenal dan terbukti berkesan untuk memburu spesies bernilai tinggi ini. Aplikasi teknik pancingan yang pertama ialah teknik pancingan dasar dengan menggunakan umpan hidup atau umpan mati.
Teknik pancingan dasar ini boleh dikatakan teknik tradisi memancing jenahak dan telah diaplikasikan sejak sekian lama. Tanyalah mana-mana pemancing yang old-timer di Malaysia, pasti akan memberikan jawapan yang sama. Aplikasi pancingan dasar terbukti berkesan kerana sifat ikan jenahak sebagai ikan yang gemar berlindung di struktur habitatnya dan akan membuat serangan hendap jika ada mangsa yang melintasi kawasan tempat hendapannya.
Kekuatan set pancing pula antara set sederhana hingga berat bergantung kepada lapangan pancing dan arus. Biasanya bantuan ‘bangla’ akan direkrut untuk pancingan di kawasan yang kedalaman lebih 30 kaki. Kekuatan perambut sekitar 50lb hingga 80lb sudah memadai dengan kepanjangan perambut sekitar 2 meter.
Umpan hidup dan umpan mati merupakan pilihan untuk teknik dasar. Umpan sotong hidup seperti cumit dan sotong kurita dikatakan umpan terbaik untuk memikat John’s snapper yang bersaiz besar. Udang hidup pula mampu menaikkan jenahak pelbagai saiz malah jika ada modal lebih, anda boleh mencuba udang lipan.
Selain itu, tamban dan umpun-umpun juga mampu menaikkan spesies ini bergantung kepada teknik pancingan anda. Walaupun masa bagi spesies jenahak memburu mangsanya ialah sepanjang hari, namun teknik dasar pancingan jenahak lebih sinonim pada waktu malam.
Malah sering kali jenahak bersaiz besar acapkali dinaikkan pada lewat malam atau awal pagi. Begitu pun, sesekali dan sesetengah kawasan terdapat juga jenahak yang berjaya dipancing disiang hari. Di sinilah aplikasi teknik pancingan kedua menjadi alternatif kepada pemancing yang ingin memburu jenahak.
Aplikasi teknik kedua pula menggunakan umpan artifisial atau umpan tiruan iaitu mengunjun besi atau jigging. Teknik slow pitch atau slow jigging ternyata begitu praktikal memikat jenahak pada siang hari. Malah, teknik slow pitch menjadi kegilaan terbaru kepada pemancing jenahak tempatan sejak kebelakangan ini.
Dengan berat jig khusus untuk slow pitch bergantung kepada arus lapangan pancing, unjunan perlahan di kawasan berstruktur tidak dinafikan mampu menaikkan jenahak bersaiz gadang @ bantal. Teknik slow pitch boleh diaplikasikan dalam persekitaran kedalaman air antara 20 kaki hingga 30 kaki dengan set pancing sederhana (PE2- PE3, Jig 180-250 gram). Cuma perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah spot untuk melabuhkan jig perlu betul-betul di kawasan lubuk yang mempunyai ‘emas hidup’ ini.
Jika bernasib baik mendapat sambaran, kepuasannya memang secukup rasa. Apa tidaknya, bayangkan sekelip mata ketika syok mengunjun, ‘sapppp’ rod melentuk dan jig anda diragut. Fuhh, menjerit drag bak hang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...