Tip Mengesan Dan Memancing Ikan Kemejan

Share

 

Sebagaimana ikan pari dan yu, kemejan boleh dipancing dengan kaedah joran dan kekili. Ia merupakan pemangsa dasar atau bottom feeding di mana ia memburu makanan di kawasan lantai laut. Ia jarang mengejar mangsa hingga ke permukaan seperti mana ikan aruan tasik.

 

Namun kedua-dua spesies ini boleh berkongsi lubuk dan wilayah pemburuan. Fakta ini boleh diguna pakai berdasarkan ramai pemancing memperoleh kedua-dua spesies ini di satu lokasi dan pada masa yang sama.

 

 

Umpan boleh dilabuhkan terus hingga ke dasar sekiranya anda memancing di kawasan berpasir (terutamanya bagi pancingan pantai) dan menggantung umpan kira-kira sedepa dari dasar jika kawasan berkarang.

 

Teknik perambut terbaik ialah yang mengunakan tanduk yang disusuli perambut sepanjang 2 hingga 5 depa bersesuaian dengan keadaan terutama jumlah pemancing di atas bot pada satu-satu masa. Jika jumlah pemancing atas bot agak rapat perambut panjang boleh mengundang tangsi berpintal sesama sendiri.

 

 

Sementara teknik perambut apollo tidak sesuai untuk memancing ikan ini kerana umpan yang terlalu dekat dengan perambut utama menyukarkan ikan bermucung panjang mendekatinya. Mulutnya jauh ke bawah dari muncung yang tersentuh tangsi menyebabkan ia sensitif dan meninggalkan umpan.

 

Memancing apa jenis ikan pun, pemancing perlu tahu diet yang paling diminati atau yang biasa kita sebut makanan asasi untuk dijadikan umpan. Walaupun ramai tahu ikan kembong dan sotong merupakan umpan antarabangsa, tapi tidak ramai tahu teknik yang betul menghidupkan umpan mati serta memanjangkan hayat umpan hidup pada mata kail.

 

 

Tidak kira apa ikan besar dan bergred tinggi  pasti tergoda apabila melihat umpan dalam keadaan `sakit’ yang tidak perlu bersusah payah memburunya. Di antara jenis umpan yang biasa digunakan untuk memancing spesies campuran yu dan pari ini ialah ikan pelagik seperti selayang, tamban, selar, kembong, pelaling dan lolong.

 

Jenis ikan pelagik sesuai di waktu siang manakala sotong lebih efektif di waktu malam. Namun kedua-duanya tidak mendatangkan masalah jika digunakan siang dan malam asalkan kena pada tempatnya.

 

Jika pada waktu malam umpan sotong hidup atau segar tiada, anda boleh cuba dapatkan ikan lolong mengunakan appollo berwarna putih berkilat. Lolong adalah di antara ikan pelagik yang tidak segan menyambar apollo tidak kira siang arau malam.

 

 

Apa yang pemancing perlu miliki untuk berdepan dengan spesies yang gemar membuat larian kencang mendatar? Apa yang diperlukan ialah kekili yang memiliki sistem tegangan yang baik dan lancar. Tali utama perlu keluar dari gelendung kekili tanpa tersekat-sekat supaya menjamin keupayaan tali utama tersebut bertahan dan mengelakkan tekanan setempat (static pressure).

 

Tali utama berkekuatan 20Ib-40Ib sudah cukup memadai. Perambut 40Ib-60Ib jika anda menggunakan tali utama kurang dari 40lb dan 60Ib-100lb jika menggunakan tali utama melebihi 40Ib. Perambut tangsi yang lembut tetapi tahan calar lebih sesuai digunakan untuk persembahan umpan yang lebih cantik. Namun perlu cukup lasak kerana spesies kemejan memiliki barisan gigi yang kasar umpama kertas pasir sebagaimana ikan pari juga.

 

 

Published by
Amang