Waktu terbaik untuk memburu pari ialah pada waktu pergerakan air mulai pasang dan mula surut. Namun pari juga agak aktif pada waktu air limpas iaitu surut sepenuhnya.
Jarak lontaran jauh bukanlah menjadi faktor utama untuk anda mendaratkan pari. Ada masa dan ketika pari juga bermain di tepian pantai. Namun ada yang beranggapan lebih jauh anda baling, peluang untuk mendaratkan ikan lebih cerah terutama pada waktu air jalan pasang, iaitu waktu ikan mudik ke tepian.
Apabila pari melarikan tali, anda jangan cuba sedaya upaya melawan kembali tarikan tersebut. Biarkan dan kendurkan sedikit tali joran anda. Jika ada tanda-tanda pergerakan tali bermakna anda mempunyai peluang untuk membuat karauan.
Pari biasanya berpasangan. Jika anda berjaya menaikkan seekor ada kemungkinan untuk anda menaikkan pasangannya. Dan biasanya si betina lebih besar dari jantan.
Seelok-eloknya gunakan gancu untuk membawa naik ikan pari ini ke daratan. Agak bahaya untuk mencekup ikan ini menggunakan tangan kerana faktor sengat di pangkal ekornya yang boleh membawa maut.
Pakai pakaian yang sesuai seperti berlengan panjang, topi dan bercermin mata hitam ketika memancing. Jangan lupa membawa bekalan air secukupnya.
Bawa kerusi khas untuk anda duduk. Sama ada berhampiran joran anda atau duduk di tepi pantai sambil memerhati dan menunggu joran anda mengena ikan.
Lain tempat lain tekniknya. Cubalah bertanya pada mereka yang lebih aris untuk ketahui teknik perambut dan umpan yang sesuai memburu pari di sesuatu kawasan.