Perairan Sedili sememangnya sudah cukup gah dengan pelbagai khazanah laut yang sentiasa membuat pemancing terigau-igau. Pelbagai spesies lautan yang berupaya melemahkan kepala lutut pemancing apabila bertarung dengannya.

 

Terdapat banyak spesies gred A boleh di pancing di perairan ini. Jika berkesempatan ke Sedili anda boleh cuba menerokai lubuk lubuk yang sememangnya menjanjikan pulangan lumayan jika kena cara dan waktunya.

 

Tip Menduga Perairan Sedili

 

Kemudahan bot-bot pancing di Sedili boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘darat & laut’. Bot darat membawa pemancing di kawasan sekitar Tukun Batu & Tukun Yu. Sesuai dengan namanya bot darat, servisnya adalah menduga lubuk lubuk sekitar 2 jam perjalanan dari jeti.

 

Walaupun tidak jauh dari pantai terdapat juga spesies ikan mega yang mampu membuat pemancing keletihan melawan asakan. Tenggiri, alu alu, aruan tasik, merah, ketarap malah yu kemejan sebesar budak 12 tahun pernah menjamah pancing sepanjang lawatan saya ke Sedili.

 

Tip Menduga Perairan Sedili

 

Kategori bot laut pula membawa pemancing jauh ke tengah sekitar Karang Ngah, Karang Long, Karang Laut , Pulau Aur dan Pulau Tinggi. Terdapat beratus-ratus lubuk ikan yang terbentuk disebabkan kapal karam, karang dan juga kawah dasar laut. Unjam-unjam persendirian yang dibuat sendiri oleh masyarakat nelayan Sedili juga banyak.

 

Semenjak kunjungan pertama saya ke Sedili hingga sekarang khidmat Tekong Mat Setia dan ayahnya Pak Aris memang menjadi pilihan utama saya. Ini adalah kerana kedua-dua tekong ini serta awak-awaknya Rambo dan Bobby tidak lokek ilmu, rajin dan sentiasa membuat perancangan rapi untuk memilih lubuk-lubuk yang berpotensi.

 

Ads

Tip Menduga Perairan Sedili

 

Lubuk Tenggiri

 

Tidak sah jika tidak mengaitkan Sedili dengan ikan tenggirinya. Lubuk seperti Karang Ngah dan Karang Long sememangnya amat terkenal dengan populasi tenggiri batang atau nama saintifiknya Scomberomorus commerson.

 

Spesies pemangsa ini seolah-olah bermastautin di sini kerana ia boleh di pancing sepanjang tahun. Banyak cara tenggiri batang ini boleh dijerat termasuklah dengan kaedah jigging atau mengunjun, namun cara paling popular di lubuk ini ialah dengan drift menggunakan umpan ikan kembong, tamban atau selar.

 

Tip Menduga Perairan Sedili

 

Ads

Kekili mendatar atau spinning boleh digunakan untuk kaedah drift. Penggunaan tali utama fluorocarbon amat sesuai disambung terus dengan coated steel 20lb sepanjang 6 inci. Dua bentuk mata kail Owner atau Gamakatsu (cutting point) mesti diikat pada coated steel itu.

 

Kebiasaannya tenggiri akan membaham bahagian kepala umpan dan kemudian barulah ia akan menelan semua umpan itu. Jika terasa halangan, tenggiri itu akan memuntahkan semula umpan. Sebab itulah kita selalu melihat umpan dihiris seperti pisau.

 

Tip Menduga Perairan Sedili

 

Selain itu tenggiri Sedili juga terkenal kerana kepandaian memutuskan tali utama ketika ia berenang laju menuju ke arah bot. Selalunya pemancing akan berhenti mengarau kerana menyangka ikan sudah terlepas. Ketika inilah tenggiri memutuskan tali utama.

 

Ebek Lubuk 60

 

Ads

Lubuk 60 diberi nama kerana kedalamannya iaitu lebih kurang 60 depa. Lubuk ini berbentuk kawah terletak berdekatan Tukun Yu. Di kalangan nelayan, lubuk ini terkenal dengan ikan ebek atau nama saintifiknya Alectis indicus. Ikan ebek ini sentiasa berlegar di sekitar lubuk mencari makanan. Diet utamanya sotong segar dan udang hidup.

 

Untuk memancingnya perambut mestilah panjang sekurang kurangnya 2 meter supaya umpan melayang cantik seolah melambai-lambai ebek untuk melahapnya.

 

Tip Menduga Perairan Sedili

 

Mata kail yang kukuh diperlukan kerana ebek akan memecut dan menjunam ke dasar di awal larian. Setelah letih ikan ini akan mengiring dan sesekali akan memecut membuatkan kita merasa amat letih untuk menaikkan ikan ini.

 

Set yang selalu saya gunakan untuk bertarung dengan Ebek ialah kekili mendatar Penn siri 50, rod PE 3-5, tali utama Power Pro 50lb dan perambut 3 meter suffix 40lb. Mata kail Gamakatsu saiz 3/0 berumpankan udang hidup kerap menjerat ebek di Lubuk 60. Selalunya ikan ini amat aktif pada sebelah pagi dan senja.

 

Tip Menduga Perairan Sedili

 

Banyak lagi spesies lain terdapat di perairan Sedili yang mampu memberikan debaran ketika cuba menawannya. Aruan tasik yang terkenal ganas, ikan jahan yang selalu meluruskan swivel Rosco, malah yu kemejan yang akan membuat kita terpaksa bergilir-gilir menahan renangan tanpa hentinya.

 

Sepanjang minat pancingan saya, Sedili banyak memberikan ilmu dan pengalaman praktikal yang tidak dapat dibeli di mana-mana kedai sekalipun.

Oleh: Fresh

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI