Tip Memanjangkan Prestasi Set Pancing

Share

 

Reel atau kekili merupakan alatan yang paling penting tidak kira yang berharga mahal atau murah. Secara kasarnya, reel merupakan antara kompartmen pancing paling mahal kerana binaan mekanikalnya. Nilai reel selalunya bergantung kepada rekabentuk yang sofistikated dan kualiti.

 

Oleh kerana reel merupakan antara peralatan pancing yang paling penting, maka penjagaannya juga amat penting untuk memanjangkan jangka hayat dan prestasinya. Selalunya sedikit penjagaan tambahan terutama setelah penggunaan di air masin perlu diketahui oleh kaki pancing.

 

 

Reel juga merupakan kompartmen yang paling perlu dititikberatkan penjagaannya. Ikuti beberapa tip di bawah untuk memastikan reel anda tahan lebih lama:

 

Bersihkan reel anda menggunakan air suam bersabun, bilas dan keringkan menggunakan kain yang bersih setiap kali jika anda memancing di kawasan air masin. Pastikan anda mengetatkan drag reel semasa proses ini bagi mengelakkan air masuk ke dalam reel.

 

Bahagian yang boleh digerakkan pada reel perlu diletakkan sedikit minyak pelincir atau semburan menggunakan WD-40 atau CRC. Lakukan perkara ini sebaiknya setiap kali selesai trip memancing walaupun ada trip menyusul dalam tempoh terdekat.

 

 

Tanggalkan reel daripada rod dan simpan di dalam beg reel atau kotak berasingan. Selain memanjangkan prestasi reel ia juga menyelamatkan bahagian tapak reel pada rod.

 

Reel anda perlu diservis sekurang-kurangnya sekali setiap 2 tahun. Kebanyakan kedai pancing menyediakan perkhidmatan servis reel sekiranya anda tidak tahu caranya. Sekiranya kerap bermain di air masin maka ia perlu diservis dengan lebih kerap.

 

Published by
Amang