Tip Memancing & Melayan Tarikan Ikan Tudung Periuk

Share

 

Pemancing tidak perlu ke tengah laut atau kawasan air dalam untuk memancing ikan tudung periuk. Habitat tudung periuk lebih tertumpu di kawasan pesisiran pantai, selat dan muara sungai namun ia tidak gemar pada air payau.

 

Pilihan utama ikan ini adalah pesisir pantai yang mempunyai dasar berbatu dan karang kecil. Kawasan pilihan yang lain termasuklah tepi-tepi dermaga, kawasan batu pemecah ombak, dan jeti-jeti bot. Dasar berpasir menjadi kegemaran kerana ia mudah mencari makanan yang tersembunyi di dasar walaupun ia banyak menghabiskan masa di pertengahan air.

 

 

Melihat pada rupa dan bentuk mulut yang dimiliki, kita boleh membuat andaian sekiranya mengunakan mata kail besar pasti hasilnya mengecewakan. Dengan mulut kecil menjadikan spesies ini pandai mengutis terlebih dahulu umpan pada mata kail yang besar.

 

Sebagaimana spesies lain yang berkongsi habitat yang sama seperti kitang, telinga gajah, gedabang dan bagang, kesemua jenis ikan leper ini boleh dikelaskan dalam ikan aksi ringan atau light action game fish yang cukup menghiburkan.

 

 

Ini kerana spesies sebegini jarang bertindak menyelinap ke kawasan reba apabila terkena pancing. Sebaliknya ia gemar bertarung di kawasan terbuka dan daya lawan cukup menawan terutama ketika ia melintang dan bertahan dari kedudukan pemancing.

 

Badan yang leper dan lebar memberi cabaran bagi pemancing untuk menewaskannya dengan mudah. Ketika larian melintang inilah membuatkan pemancing sentiasa berubah kedudukan mengawal pergerakan tali pancing yang sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan.

 

 

Biasanya tentangan yang diberikan lebih tertumpu di pertengahan air dan sesekali ia menujah ke dasar apabila pemancing terlalu gopoh untuk mendaratkannya. Untuk keseronokan melayan, cubalah tali utama 8 Ib hingga 15 Ib dengan mengunakan joran dalam kelas yang sama.

 

Untuk lebih keseronokan juga seeloknya sekadar menggunakan tali tangsi. Bagi pancingan ikan tudung periuk ini tidak memerlukan kapasiti tali yang banyak untuk disimpan di dalam gelendung kekili. Set pancing untuk melayan apollo juga sudah lebih dari sesuai untuk digunakan.

 

 

Waktu yang dikatakan terbaik untuk memancing tudung periuk ini kira-kira 30 minit selepas air mula pasang dan lokasi biasanya di muara-muara sungai kecil. Di pinggiran pantai pula lontaran dibuat jauh sedikit dari kawasan batu karang dengan mengunakan pemberat kecil sahaja. Masa terbaik di kawasan pantai ialah ketika tiada angin kencang yang bertiup dari arah laut.

 

 

Sebagai pemburu makanan dasar bermulut kecil, umpan yang sesuai untuknya terdiri dari hirisan ikan dan sotong, udang yang dikopek kulitnya, umpun-umpun, isi sesiput dan moluska bercengkerang seperti kupang, siput sudu, kepah, kerang dan ketam juga boleh digunakan. Umpan jangan terlalu besar sekadar menutupi mata kail saiz 10 (mata udang paling berkesan).

Published by
Amang