Sebut sahaja elemen yang menjadi obsesi kepada kaki pancing, hampir semuanya ada pada spesies haruan. Daripada elemen keterujaan apabila deburan sambaran kail, sifat
karnivor dan agresif ikan ini mahupun kemampuan mengembalikan nostalgia lama, ikan haruan tidak dapat disangkal merupakan spesies kebanggaan pemancing di Malaysia.
Boleh dikatakan lebih separuh dari kaki pancing Malaysia, khususnya geng casting bermula dengan tangkapan ikan ini.
Tidak hairanlah spesies haruan memang cukup dikenali oleh kaki pancing di Malaysia tak kira yang bergelar otai atau yang baharu setahun jagung.
Kata orang kalau tak kenal spesies haruan ni, boleh bikin malu. Sedangkan yang bukan kaki pancing pun kenal akan spesies berkepala ular ini, lagikan kita yang hari-hari mengail.
Pancingan ikan haruan mampu membuatkan kaki pancing menjadi gian dek kerana kejutan hentaman pada umpan atau gewang.
Ads
Kaki pancing memang mengakui pancingan spesies snakehead ini mempunyai tarikannya tersendiri.
Spesies haruan juga merupakan spesies ikan pemangsa dan tarikan agresifnya secara tiba-tiba cukup membuatkan jantung anda berdebar-debar.
Terdapat dua cara pancingan haruan yang popular iaitu menggunakan umpan tiruan atau pun umpan hidup. Bagi istilah umpan hidup, umpan yang popular digunakan ialah katak,
anak ikan, cicak, cacing, udang sungai atau cengkerik. Katak merupakan umpan semula jadi yang paling popular.
Ads
Penggunaan katak boleh dilakukan dengan teknik merendam, unjunan atau pun mengilat. Selain itu banyak teknik pancingan menggunakan umpan semula jadi boleh digunakan
untuk pancingan haruan. Antaranya ialah teknik pelampung, rawai, taut dan juga tajur yang merupakan antara teknik tradisional yang popular.
Tetapi bagi kaki casting tegar, teknik mengilat menggunakan umpan tiruan paling diminati. Sebab itulah muncul pelbagai jenis, rupa, bentuk, nama, istilah dan variasi umpan jenis ini sama ada diperbuat daripada kayu, getah, plastik dan sebagainya.
Contohnya, katak rambutan, spinnerbait atau janggut, jump frog, katak getak, gewang minnow, gewang permukaan, soft plastic dan sesudu antara gewang tiruan yang boleh digunakan untuk menjerat ikan haruan.
Ads
Ini menunjukkan haruan memang merupakan spesies yang tidak memilih gewang malah hampir kebanyakan gewang mampu menaikkan spesies ini.
Pemilihan gewang pula haruslah mengikut keadaan perairan sama ada dalam, cetek atau berumpai. Namun, ramai yang gemar menggunakan gewang lebih-lebih lagi jenis permukaan seperti popper, pencil atau jumpfrog untuk memancing haruan.
Serangan hendap haruan ketika menghentam gewang yang menghasilkan deburan air memberikan satu perasaan yang mengujakan.
Seolah-olah diserang hendap oleh pemangsa ganas. Dan tarikan agresifnya selepas itu memang sukar untuk dijelaskan keseronokannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya bersama geng pancing dari Team Proton Shah Alam dan seorang lagi rakan dari Proton Tanjung Malim melakukan trip memancing 3 hari 2 malam. Walaupun dikatakan trip memancing di Pulau Tenggol tetapi sepanjang 3 hari, Pulau Tenggol hanyalah samar-samar sahaja dari kejauhan. Jarak lubuk kami dari Tenggol lebih dari dua jam perjalanan bot yang digunakan.
Menggunakan tanduk untuk umpan kasar, teknik apollo dengan hirisan sotong pasar dan ikan hidup dengan teknik hanyut di belakang bot. Lazimnya teknik apollo lebih digemari dari teknik lain kerana ia cepat mengundang ragutan ikan biarpun kecil.
Pada kedalaman air 170 kaki dengan bacaan pada kekili eletrik 70 meter, ramai berada di luar kabin bot berhadapan set pancing masing-masing menanti sepanjang malam. Sesekali ada juga sambaran kasar diterima membuatkan cadangan masuk tidur awal ditangguhkan.
Seekor siakap merah dan seekor aruan tasik masih bertahan dengan status tangkapan terberat ketika awal malam. Dalam pada itu jig turut dihulurkan kerana tukun bot dan kapal karam kebiasaannya spot terbaik melakukan aktivti jigging.
Rashid bersahaja jigging mengena ikan terlebih dahulu dengan sekor cupak. Kemudian beliau disertai Rahmad, Zainal, Zul, Dan menumpukan acara jigging seketika dari menunggu hasil dasar yang jarang-jarang ketika itu. Belum sempat ceria berterusan datang pula spesies yang nakal mencuri kepingan jig. Bila ada cupak, alu-alu tentu datang mencelah.
Saat ketika sunyi, set joran pantai yang digunakan penulis pula menerima getuan kecil. Dari getuan kecil, kemudian terasa berat sedikit dan akhirnya joran terus melengkung ke bawah sehingga terbenam sepertiga joran di dalam air.
Tanpa buang masa joran terus di pam ke atas biarpun ia masih mencecah sebahagian di dalam air. Ia bertujuan untuk mengekang ikan dari membuat larian ke arah bangkai bot Vietnam. Setelah dipujuk perlahan-lahan akhirnya ikan yang menelan sotong pasar mengalah dan muncul di belakang bot. Akhirnya muncul ikan kerapu gadang menghangatkan suasana seketika. Masing-masing tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan bersama kerapu 20 kg tersebut.
Tidak lama kemudian Zul yang memancing di belakang bot pula menerima sentapan kasar. Beliau yang tekun menunggu selepas kerapu pertama dinaikkan berpuas hati dengan sekor lagi kerapu berskala 4 kg lebih di penghujung malam.
Siang berikutnya tekong memilih untuk memancing ke arah timur lagi kira-kira dua jam dari lubuk pertama. Hampir 30 minit berlalu tekong mengambil keputusan untuk mencuba satu lagi lokasi berikutnya 6.8 batu nautika dari kedudukan kami ketika itu.
Menurutnya ia merupakan tapak unjam lama yang di tinggalkan setelah banyak unjam putus dilanggar kapal dagang. Unjam putus tetapi pemberat di dasar menjadi tukun dan pastinya menjadi pilihan untuk ikan dasar bertandang.
Kami memancing sambil berhanyut di kawasan tersebut untuk melihat potensi terlebih dahulu. Set pancing rata-rata teknik apollo berumpan sotong ketika itu banyak memikat ikan kerisi kasar dan beberapa ekor cermin.
Tiada kerapu mahupun spesies ikan dasar buruan. Akhirnya tekong mengambil keputusan untuk beredar apabila menyedari kawasan berkenaan tiada potensi untuk memancing. Kadang-kadang elok juga meneroka kawasan pancing baru dari semata-mata bergantung kepada lokasi yang sering dituju.
Dalam perjalanan kami ternampak kawanan ikan tongkol bermain di permukaan berhampiran dengan unjam. Lantas set mata rawai ‘mengolok aya’ dihulurkan di belakang bot. Sejam berlalu hanya dua ekor aya terpedaya dengan apollo tersebut sebelum bot berlabuh di hadapan unjam berkenaan. Sesi pancing diteruskan menjelang petang. Janji layan sahaja apa juga hasil yang sudi dengan umpan yang dihulurkan.
Seronok juga melayan ikan di kawasan unjam yang dipenuhi dengan kumpulan ikan selar kasar, selayang dan penghuni dasar walaupun kecil. Dalam kesibukan melayan set pancing apollo, kami tersentak seketika apabila melihat sekor ikan melompat ke udara beberapa kali.
Sebenarnya joran milik Zul mengena ikan tersebut. Dah lama tak melihat ikan belitung besar membaham umpan selayang yang dilabuhkan. Tersenyum puas Zul apabila akhirnya berjaya menangani daya juang ikan yang enggan mengalah hingga saat-saat akhir.
Keseluruhan tempoh memancing yang di lalui oleh geng ini tetap menceriakan, setidak-tidaknya apa juga hasil yang diperoleh bukanlah ukuran utama. Dalam perjalanan pulang, fikiran bermain di benak fikiran mencari waktu yang sesuai untuk bertandang lagi.
Beberapa tahun yang lalu, ajakan dari seorang rakan kerja untuk mengikuti pak ciknya memancing di Klang memang tidak saya lepaskan. Peluang sebegini memang datang hanya sekali sekala. Apatah lagi trip ini terdapat otai-otai yang turut serta.
Kami hanya memakai umpan udang hidup yang dibeli pangkalan jeti. Saya hanya membawa set pancingan ringan dan sederhana dari jenis seperti Toman X-Series dan Exori untuk joran, manakala Pioneer dan Abu Garcia untuk kekili.
Di lokasi pertama, ikan gelama mendominasi tangkapan dengan banyaknya. Puas melayan gelama, kami beralih tempat dengan harapan ada spesies lain yang boleh dipancing.
Alhamdulillah kami berjaya mendapat tarikan dari pari, ketuka, malong, mengkerong, senangin, mayong dan ikan duri. Bersyukur saya dengan tangkapan yang diperolehi.
Sebelum pulang ke jeti, kami singgah di muara sungai untuk menghabiskan saki baki umpan udang hidup.
Unggas dan nyamuk antara ‘rakan’ yang tidak diundang tetapi mereka tidak segan silu menghisap darah kami. Itu semua tidak mematahkan semangat saya.
Selang 30 minit kemudiannya, rod saya membengkok menandakan adanya sentapan dari ikan. Dengan berhati-hati, saya mengarau tali dan hasilnya seekor ikan daun baru.
Dalam pada masa yang sama, terdengar satu kocakan air dan pak cik kawan saya memberitahu itu kemungkinan siakap yang mengejar anak-anak ikan.
Saya dengan segera mencangkuk umpan udang hidup dan membaling ke arah kocakan air tadi. Tidak sampai pun 10 minit, rod saya melentur kuat diselangi bunyi drag menandakan tali dipaksa keluar.
Walaupun menggunakan joran berharga ekonomi, saya cukup sayangkannya dan apa yang penting sekali, ia mampu menahan asakan dari makhluk air ini.
Tali semakin banyak keluar dan drag diketatkan sedikit demi sedikit. Apabila ikan keletihan dan timbul di permukaan air, dengan badannya yang berkilat, saya dengan spontan menjerit… siakap!
Ia merupakan rekod pertama kali saya mendapat siakap. Walaupun badan, kaki,dan tangan bengkak-bengkak dikerjakan oleh unggas dan nyamuk, tapi dengan tertewasnya seekor siakap berskala 2.1kg, membuatkan saya cukup ceria malam itu.
Sampai di jeti pada pukul 3 pagi dan tanpa berlengah lagi saya terus memandu pulang ke rumah kerana pada pukul 8.30 pagi nanti saya terpaksa menjalani rutin harian sebagai seorang pekerja pejabat.
Badan letih adalah lumrah selepas memancing satu hari suntuk tetapi tangkapan yang dibawa pulang terutama tangkapan ’istimewa” pengubat kepada segala keletihan tersebut. Trip bersama otai-otai akan diulangi di masa depan.
Bertolak dari jeti sekitar jam 10.00 pagi, haluan bot tidak terus memecut laju ke Lucornia, sebaliknya buat persinggahan di kawasan pelantar minyak terlebih dahulu untuk jigging. Ekoran cuaca yang berubah-ubah sepanjang perjalanan, hujan dan berangin mengakibatkan laut sedikit kucah dan kurang selamat untuk berhanyut lama di kawasan pelantar minyak, sesi jigging terpaksa dipendekkan masanya.
Walau bagaimana pun Jamie Chester, wakil media Australia berjaya juga mendaratkan seekor GT skala saiz sederhana. Sementara kami selaku media tempatan dan wakil Tourism Malaysia sekadar menaikkan ikan aji-aji, tongkol dan pisang-pisang bersaiz kecil.
GT, aji-aji, pisang-pisang dilepaskan kembali ke laut sementara tongkol disimpan untuk dijadikan umpan segar. Dalam aktiviti trolling ketika menyambung perjalanan ke perairan Lucornia, Jamie mempamerkan kehanyiran beliau apabila berjaya mendaratkan seekor wahoo pula.
Namun ketibaan kami di Lucornia disambut sepi oleh penghuni-penghuni dasarnya. Beberapa kali berpindah spot hingga ke lewat malam, belum ada hasil yang benar-benar boleh dibanggakan.
Hari kedua
Aktiviti memancing wakil media antarabangsa ini tak ubah seperti waktu pejabat. Awal-awal pagi bangun memancing, sebelum lewat malam semuanya masuk tidur. Sementara kami bagai tak cukup masa memancing. Justeru, ruang belakang bot yang cukup luas untuk memancing dikhususkan kepada mereka untuk jigging dan sebagainya.
Sementara kami banyak melabuhkan umpan ke dasar dan bersantai. Bila jemu menunggu barulah ikut sama jigging. Namun untuk jigging lama dengan purata kedalaman laut 150-230 meter, bukanlah sesuatu yang santai.
Seharian berpindah-pindah lubuk, bersauh dan berhanyut, namun hasilnya masih mengecewakan. Kerapu gergasi atau kertang, ruby snapper, yellowfin tuna, dogtooth tuna yang diidamkan langsung tidak kelihatan.
Hanya pelbagai jenis kerapu dengan skala saiz 2-5 kilogram, ikan durian, ikan lolong bara atau pimpong yang rajin menjamah umpan. Hanya pada sebelah malam barulah sedikit ceria apabila lubuk berkedalaman 170 meter banyak didiami kelompok tongkol di pertengahan air.
Hampir setiap jig yang dimainkan di kedalaman 70-80 meter akan disambar pemangsa. Biarpun berskala saiz kecil namun cukup seronok melayan henjutan yellow fin tuna, dogtooth tuna dan tongkol. Sementara aksi pancingan bottom sering diganggu oleh pelbagai jenis yu.
Hari Ketiga
Jam 4.00 pagi penulis masuk tidur, jam 7.00 pagi penulis dikejutkan dengan keriuhan rakan-rakan pemancing menaikkan ikan. Rupanya sejak jam 6.00 pagi mereka yang belum tidur atau baru bangun tidur mula menuai hasil perut Lucornia.
Jig prototype leaf jig seberat 350 gram yang dimainkan dengan kaedah slow jigging milik wakil media Jepun, Masahiro Shibata mempamerkan keberkesanannya. Bermula dengan hasil usaha Pok Mud (media tempatan) mencubanya dan berjaya mendaratkan seekor Ruby Snapper dengan skala saiz 8 kilogram, nasib Masahiro Shibata ternyata lebih bertuah.
Jig dengan reka bentuk tulang sotong katak itu ternyata turut digemari giant grouper atau kertang. Namun menarik keluar kertang seberat 39 kilogram dari dasar sedalam 200 meter menggunakan kekili mendatar bukanlah satu tugas enteng.
Tersadai Chief Editor Majalah Perfect Boat itu dibuatnya. Tidak lama kemudian, Hairi, wakil Tourism Malaysia pula menggamat suasana apabila hasil bottomnya berjaya menaikkan ruby snapper terbesar dengan saiz 13 kilogram. Ekoran kehadiran bot pancing lain, lubuk bonus tersebut terpaksa ditinggalkan dan beralih ke lubuk lain pula.
Menjelang tengah hari tatkala rakan-rakan trip seronok menjamu sasimi dan umai yellowfin tuna segar, penulis masih berusaha mencari satu lagi lesen ikan sasaran. Biarpun lubuk terbaru berkedalaman 190 meter ini seperti kurang memberangsangkan, namun penulis tetap positif.
Ternyata bila berfikiran positif, hasilnya juga positif. Tidak sampai sepuluh minit umpan tongkol segar berada di dasar, hujung joran bergetar seperti ada getuan kecil. Setelah beberapa ketika barulah penulis membuat sentapan dan jelas terasa ada sesuatu yang mengena.
Melihat pada aksi kekili elektrik yang seperti menderita menarik pemangsa, ia sudah cukup mendebarkan kerana sebelum ini aksi yang sama menyebabkan tali utama lebih 100 meter terputus. Dan akhirnya, ruby snapper dengan saiz 10 kilogram cukup membuatkan penulis tersenyum puas.
Menjelang senja, kawasan dalam ditinggalkan dan kawasan beting cetek pula ditujui bagi memenuhi keinginan wakil media antarabangsa untuk melakukan aktiviti popping. Namun hasil popping kurang memberangsangkan. Hanya light jigging saja berhasil menaikkan kerapu karang. Seterusnya menjelang malam, bot memecut laju ke kawasan pelantar minyak yang terletak dalam perjalanan pulang ke Miri.
Hari Keempat
Hasil bottom malam terakhir di beberapa pelantar minyak ternyata menghampakan, begitu juga dengan aksi jigging. Hanya sebuah pelantar minyak saja yang mana penghuninya banyak memutuskan tali dan meleburkan jig.
Begitulah dengan nasib jig prototype yang sebelumnya banyak menaikkan ikan pelbagai spesies. Kekangan dari GT berstatus mega menyebabkan tali sulam 80lb dan perambut 150lb putus juga. Dalam perjalanan pulang ke Miri, beberapa lubuk turut dicuba namun hampir tiada hasil yang benar-benar memuaskan hati.
Yang pasti, walaupun di Jepun, Australia atau New Zealand memiliki ikan-ikan yang lebih berstatus mega, namun wakil-wakil media antarabangsa tetap mengiktiraf perairan negara kita juga antara yang terbaik.
Info Bot Pancing
Bot Marine Harvest sememangnya bot pancing terbaik untuk ke perairan Lucornia. Bot dengan saiz 23.8 meter panjang, 4.6 meter lebar, maksimum kelajuan sehingga 28 knot, sudah cukup selesa dan laju untuk membawa ahli trip seramai 13 orang. Yang pastinya, Lucornia yang terletak lebih 90 batu nautika dari Miri hanya memakan masa perjalanan kurang dari 5 jam!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...